Akaun Instagram Yang Melakukan “Deepfake” Wajah Mark Zuckerberg Masih Tidak Dipadam Oleh Pihak Facebook

Sebuah video yang memanipulasi wajah Mark Zuckerberg telah dikongsikan di Instagram pada awal minggu ini. Walaupun video tersebut tidak benar dan mempunyai maklumat palsu di dalamnya, Facebook masih tidak memadamnya sehingga hari ini.

Menurut jurucakap Facebook, video tersebut lebih dikenalpasti sebagai sebuah kandungan palsu di dalam Instagram. Apabila sistem kesahihan maklumat mengesahnya ia tidak benar, ia tidak akan dipaparkan pada halaman seperti Explore dan paparan Hashtag.

Video yang dipaparkan ini menggunakan teknologi “deepfake“, yang mana komputer akan mempelajari mimik muka individu yang dikehendaki, dan memadankannya dengan mimik wajah individu yang dilakonkan. Dengan kecanggihan kecerdasan buatan (AI), komputer mampu menghasilkan video yang dimanipulasikan ini dengan hasilan seumpama video sebenar.

Walau bagaimanapun, suara yang dimimik pada video Mark Zuckerberg ini kedengaran berbeza daripada di dunia nyata. Gaya bahasa dan sebutan yang dituturkan tidak berpadanan dengan personaliti Mark Zuckerberg yang sebenar.

Dengan adanya penyalahgunaan teknologi seperti ini, ia menyebabkan pengguna perlu berhati-hati dengan info yang diterima dan dikongsikan dalam bentuk video. Ia dapat dimanipulasi dengan hanya menggunakan sejumlah bingkai gambar dan video untuk dipadankan pada wajah individu yang dilakonkan.

Sumber : Amanz