Power Bank: Tip Pembelian & Penjagaan

Telefon pintar sekarang ini boleh
dianggap sebagai teman rapat manusia. Hampir kebanyakan aktiviti  manusia dilakukan di hujung jari, termasuklah
berkomunikasi, mencari maklumat, berhibur dan lain-lain. Bahkan artikel ini pun
dibaca menggunakan telefon pintar di tangan anda.

Mengikut laporan yang dikeluarkan
oleh Nielsen Informate Mobile Insights, rata-rata pengguna menghabiskan masa lebih
3 jam di telefon pintar mereka. Tempoh penggunaan ini sudah pasti mengurangkan
kadar bateri telefon. Jadi, mahu tidak mahu, telefon pintar hendaklah dicas
semula bagi mengembalikan kuasanya.

Bagi mereka yang kerap berada di
rumah, tidak ada masalah, tinggal sambungkan telefon pada pengecas. Tapi, macam
mana pula dengan mereka yang kerap mengembara? Lebih-lebih lagi, sekarang, musim
balik kampung, perjalanannya pula mengambil masa yang panjang. Manalah tahu,
dalam perjalanan, ada masalah berlaku, dan terpaksa buat panggilan yang penting
terutamanya panggilan kecemasan. Pada masa yang sama pula, bateri telefon
sedang nazak.

Dalam situasi sebegini, power banklah,
yang menjadi penyelamat membekalkan kuasa kepada telefon yang sedang nyawa-nyawa
ikan. Cirinya yang mudah dibawa ke mana-mana dan mampu menyimpan kapasiti
bateri yang besar menjadikannya pilihan ramai.

Gambar 1: Power bank (sumber: vecteezy)

TULEN VS TIRUAN: MEMBEZAKANNYA UNTUK
MENDAPATKAN YANG TULEN

Gambar 2: Membandingkan antara tulen dengan tiruan (sumber: Freepik)

Namun begitu, dengan kepesatan
teknologi yang ada kini, bukan saja peranti atau peralatan elektronik menjadi
semakin canggih, bahkan produk-produk tiruan juga semakin bercambah bak
cendawan tumbuh selepas hujan.

Lambakan produk tiruan, contohnya
power bank menimbulkan kekeliruan kepada pengguna ketika membelinya. Oleh itu,
sebagai langkah berhati-hati, saya kongsikan kepada anda beberapa tip untuk
membezakan antara yang tulen dengan tiruan sehingga anda berjaya mendapatkan
power bank yang tulen.

Langkah pertama sebelum anda membeli power
bank adalah dengan merujuk laman web pengeluar power bank yang
terkemuka. Antara produk power bank terkemuka di pasaran Malaysia yang boleh
saya senaraikan ialah Pineng, Pisen, Xiaomi, Aukey dan Anker.**

**mungkin ada jenama lain yang saya terlepas
pandang, boleh kongsikan di ruang komen

Tujuan merujuk laman web tersebut adalah untuk
menyemak dan mendapatkan maklumat power bank dari segi kod produk, kapasiti
bateri
dan harga.

Di bawah ini, saya cuba ringkaskan perbezaan
yang dapat dilihat antara tulen dan tiruan dari ketiga-tiga aspek yang saya
sorotkan (highlight) sebelum ini.

  • Kod produk

Perkara pertama yang anda perhatikan ketika
menelusuri laman web power bank, tentulah senarai produk yang ditawarkan. Tetapi
jangan lupa perhatikan sekali kod produk di sebelahnya.

Kenapa kod ini penting? Jawapannya, ada
sesetengah power bank di pasaran meskipun memiliki nama yang serupa dengan yang
tulen namun kodnya pula berbeza. Jadi, jika kod itu tidak disenaraikan pada
laman web produk yang tulen maka tentu-tentunya ia adalah tiruan.

  • Kapasiti bateri

Selain kod, kapasiti bateri yang dipaparkan
juga perlu diberi perhatian. Sesetengah produk tiruan bagi mengelakkannya
dikesan, kodnya turut meniru yang tulen. Namun, apabila melihat dari segi kapasiti
baterinya, ia berlainan.

Dalam aspek ini juga, kebiasaanya produk tulen
menawarkan kapasiti bateri sebanyak 5 ribu, 6 ribu, 10 ribu, 15 ribu, dan 20
ribu mAH. Manakala produk tiruan, kebiasaannya mereka menawarkan kapasiti
bateri yang terlalu rendah atau terlalu tinggi seperti 1 ribu, 3 ribu atau 30
ribu mAH. Jika kapasiti bateri yang anda jumpai berlainan dengan kebiasaan yang
tulen, berkemungkinan produk itu tiruan. Apa-apa pun, pastikan rujuk pada laman
web pengeluar.

  • Harga

Aspek harga tidak terkecuali untuk
diperhatikan secara teliti kerana kebanyakan pembeli mudah terpedaya dengan
harga yang begitu murah sehinggakan terbeli produk yang tiruan.

Power bank yang tulen biasanya dijual pada
harga yang sepadan dengan kapasiti baterinya manakala yang tiruan pula dijual
dengan harga terlalu murah. Sebagai contoh, untuk power bank berkapasiti 20
ribu mAH, yang tulen biasanya dijual dalam lingkungan harga RM50 ke atas dan
tiruan dalam harga RM20.

Perbezaan harga yang jauh adalah kerana produk
tiruan dikilangkan dengan kos yang rendah dan bahan yang tidak berkualiti.

Ringkasnya, langkah merujuk laman web
pengeluar ini amatlah berguna ketika membeli power bank lebih-lebih lagi
melalui kedai atas talian seperti Shopee dan Lazada.

Bagi mereka yang
memilih kedai bukan atas talian, mereka berpeluang untuk membelek-belek power
bank sebelum melakukan pembelian. Oleh itu, berikut aspek yang perlu diambil
kira.

  • Bahan pembuatan

Ketika
membelek-belek power bank, perhatikan secara teliti pada bahan yang digunakan.

Pertama, dari
segi luaran iaitu bahan kerangka penutup, produk tulen diperbuat daripada bahan
plastik yang berkualiti seperti ABS dan PVC manakala produk tiruan hanya
berkerangkakan plastik yang murah dan nipis menyebabkannya tidak selesa
digenggam juga panas ketika dicas.

  • Berat power bank

Setelah melihat
kepada luaran power bank, pasti anda ingin tahu isi dalamannya. Tapi sayangnya,
anda tidak dibenarkan mengumpil. Oleh itu, cara mudah untuk mengetahui isi
dalamannya adalah dengan  merasakan berat
power bank.

Produk tiruan
terasa ringan ketika digenggam berbanding produk tulen kerana isi dalamannya
hanyalah litar mudah dan beberapa plat besi atau kampit kecil pasir berperanan
sebagai pemberat.

  • Pembungkusan

Sambil-sambil
membelek power bank, anda disarankan untuk melihat pembungkusannya sekali.

Power bank yang
tulen dibungkus dengan rapi di dalam kotak yang premium manakala yang tiruan
hanya dibungkus ala kadar di dalam kotak yang murah dengan warna pudar yang
tidak menarik, bahkan perkataan dan keterangan padanya tidak jelas atau
mempunyai banyak kesalahan ejaan.

Selain itu, sesetengah
pengeluar meletakkan pelekat pengesahan yang mempunyai lapisan perak pada kotak
pembungkusan mereka. Pembeli perlu menggores lapisan tersebut dan memasukkan
nombor siri di laman web pengesahan disediakan oleh pengeluar. Jika nombor siri
disahkan wujud dalam pangkalan data, ia adalah tulen manakala sebaliknya, ia
adalah tiruan.

Selain itu, aspek
umum lain yang perlu dititikberatkan ketika membeli power bank tidak kira sama
ada melalui kedai atas talian atau bukan ialah:

  • Surat keizinan penjualan

Anda boleh
meminta peniaga atau pengedar power bank untuk memaparkan surat keizinan
penjualan dari syarikat pengeluar. Ini bagi membuktikan mereka menjual produk
yang sah dan tulen.

Kegagalan mereka
berbuat demikian memberikan isyarat mereka menjual produk yang tiruan.

  • Tempoh jaminan

Peniaga atau
pengedar power bank yang tulen memberikan tempoh jaminan selama setahun atau
mungkin lebih kepada pembeli. Berbeza denngan produk yang tiruan, peniaga tidak
mampu menawarkan tempoh jaminan yang panjang iaitu kira-kira hanya 1-3 bulan
kerana mereka ingin melepaskan diri daripada tanggungjawab sekiranya berlaku
apa-apa kerosakan.

Gambar 3: Aspek penting semasa membeli power bank

KENAPA KENA BELI
POWER BANK TULEN?

Gambar 4: Belilah yang original (sumber: Freepik)

Saranan untuk
membeli power bank tulen bukan semata-mata soal memerangi produk tiruan yang
melanggar hak cipta ataupun mengelakkan kerugian, tapi ia lebih kepada isu
keselamatan.

Power bank yang
tulen mempunyai system perlindungan litar yang lengkap supaya jangka hidup
power bank lebih lama atau mengelakkan kemalangan litar pintas atau lebih teruk
lagi, letupan daripada berlaku. Antara system perlindungan tersebut ialah
perlindungan cas berlebihan, voltan berlebihan, discas berlebihan, suhu dan
haba.

Power bank tiruan
pula tidak mempunyai system sebegitu. Ini mengakibatkan beberapa impak buruk
seperti:

(1) Power bank
mengambil masa terlalu lama untuk dicas. Contoh: sehingga 24 jam

(2) Power bank
hanya boleh mengecas sesebuah peranti sebanyak satu atau dua kali sahaja. Lebih
teruk lagi, selepas itu ia terus tidak boleh digunakan.

(3) Power bank
kehilangan banyak kuasa walaupun hanya dibiarkan beberapa ketika sahaja.

(4) Power bank
tidak dapat digantikan dengan baru jika ada kerosakan kerana jaminan yang tidak
sah atau terlalu singkat

(5) Power bank
meletup atau meledak. Ini ialah impak yang paling buruk, boleh menjejaskan
keselamatan anda.

AGAR POWER BANK
LEBIH TAHAN LAMA: TIP JAGAAN

Untuk memastikan
power bank tahan lama, tidak cukup sekadar hanya membeli produknya yang tulen
sahaja tetapi cara penjagaannya juga perlu dipandang berat.

Berikut tip mudah
untuk menjaganya supaya ia dapat digunakan dalam tempoh yang lama:

(1) Jangan biarkan power bank tidak digunakan
dalam tempoh yang lama.

Sebab: Ini boleh menyebabkan bateri di dalam
power bank discaj (mengalir keluar) dan memendekkan jangka hidup power bank
anda.

(2) Jangan cas power bank terlalu lama atau
sekejap.

Sebab: Mengelakkan cas berlebihan (overcharge)
atau gangguan litar.

(3) Elakkan power bank daripada kerap terjatuh

Sebab: Mengelakkan gangguan litar dan bateri
akibat hentakan.

(4) Jauhkan power bank daripada air (percikan,
tumpahan, tenggelam)

Sebab: Mencegah kerosakan litar dan
pengaratan.

(5) Tidak meletakkan power bank dalam ruangan
yang terlalu kedap contohnya di dalam kereta atau di bawah cahaya matahari

Sebab: Mengelakkan power bank memerangkap haba
yang boleh menyebabkan letupan

6) Gunakan kabel pengecas yang tulen atau
berpadanan dengan power bank

Sebab: Mengelakkan voltan berlebihan
(overvoltage) dan kerosakan peranti (seperti ghost touch -skrin bergerak sendiri
tanpa disentuh-)

Gambar 5: Antara kes power bank yang meletup (sumber: thestar)

PENUTUP

Sememangnya power
bank menjadi keperluan kepada pengguna telefon pintar lebih-lebih lagi telefon
mereka yang baterinya berkapasiti kecil. Oleh itu, bagi memenuhi keperluan
inilah, saya kongsikan tip membeli dan menjaga power bank supaya anda berpuas
hati ketika menggunakannya.

Saya harap anda
berpuas hati dengan artikel pertama saya ini. Ucapan jutaan terima kasih kepada
mereka yang sudi membaca artikel ini sehingga ke penghujungnya. Jangan lupa,
untuk mengikuti akaun media social saya: Facebook dan Youtube serta tinggalkan pendapat dan
tanggapan anda.

RUJUKAN

(1) 6 jenis pengguna telefon pintar di
Malaysia, Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/110437

(2) Beware of Fakes, pineng.com: https://pineng.com.my/Beware-Of-Fakes

(3) Cara nak tahu powerbank Pineng
original, sifupowerbank.com: https://sifupowerbank.com/cara-nak-tahu-powerbank-pineng-original/

(4) Genuine versus fake Xiaomi Mi
Powerbank, powerbanktalk.com: https://www.powerbanktalk.com/genuine-versus-fake-xiaomi-mi-power-bank/

(5) Power bank maintenance tips,
batteryscout.com: https://batteryscout.com/power-bank-maintenance-tips/

(6) Bagaimana powerbank boleh meletup,
sifupowerbank.com: https://sifupowerbank.com/bagaimana-powerbank-boleh-meletup-2/

The post Power Bank: Tip Pembelian & Penjagaan appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots