Hidangan Hari Raya Aidilfitri Dunia

Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan dalam bulan Syawal selepas menjalani ibadat puasa bulan Ramadan selama sebulan merupakan suatu simbol kemenangan dan kesyukuran bagi seluruh umat Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara sambutan perayaan terbesar di seluruh dunia selain sambutan Tahun Baru Cina serta sambutan-sambutan perayaan yang lain seperti Krismas dan Deepavali.

Ia diraikan dengan pelbagai amalan dan kelaziman, termasuklah saling kunjung mengunjungi dan menziarahi antara satu sama lain, sebagai tanda semangat persaudaraan yang terjalin kukuh sesama umat Islam, serta amalan penyediaan pelbagai jenis masakan dan hidangan tradisional khusus bagi menunjukkan kegembiraan dalam meraikan tetamu yang hadir dan saudara mara yang datang berkunjung.

Setiap negara dan umat Islam di dunia yang menyambut
Hari Raya Aidilfitri ini mempunyai hidangan dan juadah mereka yang tersendiri
dalam meraikan kedatangan Syawal. Malah, hidangan yang disediakan ini juga
sebenarnya mempunyai banyak makna serta maksud yang tersirat di sebalik
penyediaannya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit hidangan dan sajian
khusus bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia.

Benua Afrika

Masyarakat Islam merupakan antara sebahagian
besar penduduk yang membentuk komuniti dalam benua Afrika ini. Masyarakat Islam
di negara-negara Afrika mempunyai hidangan mereka yang tersendiri dalam
meraikan kedatangan Aidilfitri.

  • Kahk

Kahk merupakan antara hidangan yang biasanya disediakan oleh masyarakat
Islam Sudan dan Mesir apabila menjelangnya Aidilfitri. Kahk atau turut
dipanggil sebagai Ka’ak al-Eid, merupakan sejenis biskut berbentuk bulat, dan
disalut dengan gula serbuk. Kahk mempunyai inti di dalamnya, yang boleh terdiri
daripada agameya (iaitu campuran antara madu, kekacang dan minyak sapi), inti
badam, kacang pistachio, kurma atau boleh juga dihasilkan tanpa sebrang inti di
dalamnya.

Penyediaan juadah kahk ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam
kebudayaan masyarakat Mesir dan Sudan. Malah, yang menariknya, hidangan kahk
ini bukan sahaja dihasilkan apabila menjelang perayaan Aidilfitri, malah turut
dihasilkan oleh masyarakat yang menyambut perayaan Krismas. Menurut sejarah,
kahk ini dahulunya dihasilkan sejak zaman Mesir purba, di mana pembuatan kahk
purba ini adalah dalam pelbagai bentuk.

Pada masa kini, golongan wanita Sudan dan Mesir akan berkumpul beramai-ramai
untuk menghasilkan kahk, sebagai tanda muafakat dan gotong royong mereka dalam
meraikan perayaan Aidilfitri. Uniknya, pada bahagian atas biskut kahk ini, akan
diletakkan suatu corak tertentu dan corak ini adalah bergantung kepada pilihan
yang dibuat oleh orang yang menghasilkannya.

Hidangan kahk
  • Cambaabur

Cambaabur ini merupakan sejenis hidangan lempeng dari Somalia, yang mana ia
adalah hidangan istimewa bagi meraikan Aidilfitri di Somalia. Cambaabur yang
juga dikenali sebagai Eid Bread, akan disediakan kebiasaannya dua hari
sebelum menjelangnya Aidilfitri. Lempeng atau roti ini akan dihasilkan daripada
adunan tepung bersama bahan-bahan lain seperti serbuk kunyit, gula, yis, bawang
putih, bawang besar dan habbatus sauda sebelum diperam (fermented)
selama beberapa jam untuk menjadikannya lebih kembang.

Cambaabur yang telah siap dibakar, akan dihidangkan bersama yogurt, minyak
sapi cair atau serbuk gula di atasnya dan menjadi hidangan sarapan pada pagi
Aidilfitri. Secara simboliknya, kepelbagaian rasa yang terdapat cambaabur ini
merupakan suatu boleh memberikan kegirangan kepada masyarakat Islam Somalia
dalam menyambut Aidilfitri.

Hidangan cambaabur
Sumber: https://www.mysomalifood.com/cambaabur-eid-bread/
  • Tajine

Tajine ini merupakan hidangan yang biasa ditemui di bahagian utara
negara-negara Afrika, terutamanya di Morocco dan Algeria. Ia merupakan sejenis
hidangan stew daging (sama ada daging lembu atau kambing), ikan atau ayam yang
dimasak bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Nama tajine ini sebenarnya
diambil daripada nama periuk atau perkakasan yang diperbuat tanah liat yang
digunakan bagi memasak hidangan ini. Uniknya, nama tajine ini digunakan bagi
menggambarkan kedua-duanya, iaitu perkakasan (earthenware pot) serta
hidangan itu sendiri. Sejarah penghasilan tajine atau turut dikenali sebagai maraq
di negara Timur Tengah dikatakan telah bermula sejak zaman pemerintahan
Khalifah Harun ar-Rasyid, dan ia akhirnya berkembang menjadi hidangan istimewa
bagi masyarakat Morocco.

Tajine yang dihasilkan dengan menggunakan pelbagai jenis rempah ratus seperti
halia, kunyit, kulit kayu manis dan saffron yang dimasak bersama daging atau
ayam. Hidangan ini turut ditambah dengan sayur-sayuran, buah-buahan seperti
aprikot dan plum serta pelbagai jenis kekacang. Kepelbagaian rasa yang terdapat
pada tajine inilah yang menjadi kegemaran bagi masyarakat di Morocco dan
Algeria yang mana ia menggabungkan pelbagai rasa utama yang membangkitkan
selera sewaktu musim perayaan Aidifitri. Tajine ini biasanya dimakan bersama
roti dan turut dihidangkan bersama dengan kentang goreng.

  • Doro wat

Doro wat, merupakan hidangan kari atau stew dari Ethiopia, yang dimasak
menggunakan ayam sebagai bahan utamanya. Berbeza dengan tajine, hidangan doro
wat ini dihasilkan kebiasaannya hanya menggunakan ayam dan bukannya daging
lembu atau kambing. Doro wat biasanya akan dihidangkan di atas injera (roti
nipis Afrika, sejenis roti sourdough) bersama dengan salad.

Uniknya hidangan doro wat ini, apabila ia telah hampir masak, telur yang
telah direbus akan diletakkan di atas kuahnya. Ini merupakan antara ciri
istimewa yang terdapat pada doro wat yang menjadikannya berbeza daripada
tajine. Selain salad, ia juga boleh dihidangkan bersama sayur-sayuran serta
kekacang yang lain.

Hidangan doro wat

Asia

Asia mempunyai jumlah masyarakat Islam yang
besar berbanding negara-negara lain di dunia. Kepelbagaian budaya dan makanan dalam
setiap negara di Asia menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah dan berwarna
warni.

  • Sheer kurma

Hidangan pemanis mulut ini adalah sangat signifikan bagi sambutan
Aidilfitri di negara Bangladesh, India dan Pakistan. Sheer kurma merupakan
sejenis hidangan kurma bersama susu yang dihidangkan pada pagi Aidilfitri
sebelum solat sunat Aidilfitri.

Sheer kurma ini turut mempunyai ramuan lain seperti gula, dan vermicelli,
selain daripada pelbagai jenis kekacang seperti badam, kismis, dan cengkih. Menariknya,
hidangan sheer kurma ini juga terkenal di Afghanistan, sebagai hidangan pada
Hari Raya Aidiladha. Ia dianggap sebagai suatu hidangan lengkap, yang merupakan
simbolik kepada hidangan pembuka bagi sambutan Aidilfitri.

  • You Xiang

Kebanyakan
masyarakat Islam di negara China bertempat di bahagian barat negara tersebut,
dan kumpulan etnik Hui merupakan antara komuniti Islam yang turut meraikan
sambutan Hari Raya Aidilfitri. You Xiang ini merupakan sejenis kek atau roti
yang biasa dihasilkan oleh kumpulan etnik Hui apabila menjelangnya musim
perayaan seperti Aidilfitri.

You Xiang yang
membawa maksud ‘wangian minyak’ (oil fragrance) diperbuat daripada
bahan-bahan yang ringkas, iaitu tepung, yis, garam dan minyak. Penghasilan you
xiang ini hanyalah sebagai suatu hidangan kecil di samping hidangan utama yang
lain dalam masyarakat China seperti sup jeli dan hidangan kambing. Meskipun bahan-bahan
yang digunakan dalam pembuatan you xiang dianggap biasa dan ringkas, namun
terdapat beberapa amalan tertentu yang harus dilakukan sebelum seseorang itu
memulakan proses pembuatan you xiang.

Proses
pembuatan you xiang yang merupakan antara hidangan wajib bagi perayaan
Aidilfitri masyarakat Muslim China memerlukan perancangan yang rapi kerana
jumlah dan sukatan bagi setiap bahan haruslah tepat kerana ia dihasilkan dalam
kuantiti yang banyak. Malah, dalam kebudayaan China, sebelum seseorang itu menghasilkan
you xiang, dia terlebih dahulu perlu membersihkan diri dan menyalakan lilin
sebagai petanda bahawa proses pembuatan you xiang telah dimulakan.

You xiang
yang telah siap dimasak dan digoreng akan dibungkus secara berpasangan dalam
bungkusan sebagai hadiah dan diberikan kepada sahabat handai, saudara mara dan
tetamu yang berkunjung. Menurut amalan masyarakat China, pemberian bungkusan
berisi you xiang ini boleh diberikan lebih daripada dua, tetapi jumlahnya
haruslah sentiasa genap. You xiang ini bukan sahaja menjadi juadah ketika
sambutan Aidilfitri, malah ia turut dihasilkan bagi upacara yang lain seperti
untuk memorial service.

Hidangan You Xiang
  • Rendang

Hidangan
ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi bagi masyarakat Melayu di Malaysia,
Indonesia, Singapura dan Brunei. Rendang adalah antara hidangan utama dan
kemestian bagi masyarakat Islam di negara-negara ini bagi meraikan sambutan
Hari Raya Aidilfitri. Malah, kepelbagaian dalam masakan rendang ini
menjadikannya suatu hidangan yang unik dan begitu simbolik bagi masyarakat
Melayu.

Rendang
ini merupakan suatu hidangan yang istimewa, yang sebenarnya bukan sahaja
dihidangkan apabila menjelangnya Aidilfitri, malah turut menjadi pilihan bagi
sajian sambutan majlis-majlis tertentu seperti khatam Al-Quran dan majlis
perkahwinan. Kebiasaannya, rendang yang menjadi pilihan ialah rendang daging
lembu atau ayam, yang dimasak bersama rempah ratus serta santan sehingga
benar-benar empuk. Pasangan pilihan untuk dimakan bersama rendang ini pada
waktu Aidilfitri semestinya lemang dan ketupat.

  • Biryani

Hidangan
ini kebiasaannya menjadi pilihan bagi masyarakat Muslim di kawasan India dan
Pakistan. Biryani yang menggunakan beras basmathi sebagai bahan utamanya bukan
sahaja menjadi hidangan utama ketika perayaan Aidilfitri, malah turut
disediakan untuk majlis-majlis yang lain juga.

Biryani
kolkata (iaitu dari daerah Kolkata) dikatakan mempunyai aroma yang paling enak
dengan daging kambing atau ayam yang begitu empuk dengan bau-bauan rempah
ratusnya yang tersendiri. Istimewanya biryani kolkata ini adalah pada cara
penyediaannya, iaitu dengan meletakkan kentang bakar yang dimasak secara
perlahan bersama-sama dengan nasi biryani. Di bahagian Hyderabad pula, biryani
yang terkenal di kawasan tersebut ialah biryani telur, yang mana hirisan telur
rebus akan diletakkan pada bahagian atas nasi sebelum dihidangkan.

Eropah dan Amerika

Masyarakat
Islam di Eropah dan Amerika juga tidak terkecuali dalam meraikan sambutan Hari
Raya Aidilfitri dengan penyediaan pelbagai jenis hidangan istimewa mereka yang
tersendiri.

  • Manti

Manti
merupakan hidangan yang sangat terkenal bagi masyarakat Islam di Russia, yang
mana ia merupakan doh yang dijadikan sebagai dumpling dengan inti yang biasanya
diperbuat daripada daging lembu atau kambing. Ia menjadi hidangan paling
signifikan bagi masyarakat Islam di Russia sewaktu Aidilfitri. Proses pembuatan
manti harus dilakukan dengan sempurna bermula dengan penyediaan doh untuk
dumpling hingga kepada penghasilan intinya. Ia biasanya dihidangkan bersama sos
khas, dan juga mayonis.

Hidangan manti
  • Ruzice

Ruzice
ialah sejenis pastri yang dihasilkan oleh masyarakat Bosnia bagi sambutan
Aidilfitri. Meskipun ia kelihata berlapis dan agak kompleks, namun proses
penyediaan hidangan ini sebenarnya agak ringkas. Doh pastri yang nipis
disediakan, dengan inti diletakkan di atasnya, dan lapisan ini digulung secara
berlapis-lapis sebelum dibakar. Hidangan ini mungkin agak ringkas, namun ia
merupakan antara sajian istimewa masyarakat Islam Bosnia ketika musim perayaan.

Hidangan ruzice
  • Biskut rempah (spice
    cookies
    )

Bagi kebanyakan masyarakat Islam Amerika, penyediaan spice cookies
adalah antara sesuatu kemestian dalam meraikan sambutan Aidilfitri. Ia adalah
seperti gingerbread yang dihasilkan apabila meraikan Krismas, namun
dalam versi Islam dengan bentuk unik seperti kubah masjid atau berbentuk bulan
sabit. Namun, masyarakat Islam Amerika juga turut meraikan Aidilfitri dengan
keluar makan bersama-sama bersama sahabat handai dan saudara mara.

Hidangan spice cookies

Kesimpulan

Hidangan serta makanan yang dinyatakan ini merupakan antara sebahagian
besar juadah yang menjadi pilihan utama bagi masyarakat Islam seluruh dunia
dalam meraikan kegembiraan menyambut kedatangan Aidilfitri. Setiap hidangan yang disediakan pada sambutan Aidilfitri ini mempunyai
keistimewaan yang tersendiri, sama ada dari segi bahan-bahan yang digunakan
serta kaedah penyediaannya. Namun, semua hidangan ini sebenarnya berkongsi
suatu simbolik yang sama, iaitu untuk menyatakan kesyukuran, kegembiraan dan
sebagai tanda kemenangan bagi seluruh umat Islam.

RUJUKAN:

Heri Sisworo. (2019).
Scrumptious Eid el-Fitr Dishes from Africa. Retrieved June 7, 2019, from https://travelingyuk.com/eid-al-fitr-dishes-from-africa/204535/

Nazri, M., Raji, A.,
Ab, S., Adibah, F., & Ishak, C. (2017). Past and present practices of the
Malay food heritage and culture in Malaysia. Journal of Ethnic Foods, 4(4),
221–231.

Sarika Rana. (2017).
Ramadan Special 2017 : The Significance of Food During Eid-Ul-Fitr and
Eid-Ul-Adha. Retrieved June 2, 2019, from
https://www.ndtv.com/india-news/ramadan-special-2017-
the-significance-of-food-during-eid-ul-fitr-and-eid-ul- adha-1703883

Talah Bakdash. (2017).
12 traditional Eid al-Fitr dishes from across the globe that you absolutely
have to try Muslims prove they know how to feast after a month of fasting.
Retrieved June 3, 2019, from https://thetempest.co/2017/07/03/culture-taste/12-
traditional-eid-dishes-you-have-to-try/

The post Hidangan Hari Raya Aidilfitri Dunia appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots