Hubungan Sulit Clinton-Lewinsky: Skandal Yang Menggegarkan Amerika Syarikat

Sepanjang
lipatan sejarah Amerika Syarikat, bukan sekali dua Oval Office dilanda ribut
taufan skandal yang menyelubungi Presiden Amerika Syarikat. Daripada skandal
politik yang mencemarkan imej Rumah Putih (Watergate dan Iran-Contra) hinggalah
skandal seks Clinton-Lewinsky, ia menjadikan suasana politik di sana
berwarna-warni dan tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Namun, bila
berbicara tentang skandal seks Bill Clinton, ia masih memberi impak kepada
Washington sehingga hari ini walaupun selepas 20 tahun ia tercetus.

Skandal
panas ini bermula apabila Monica Lewinsky, seorang wanita kelahiran San
Francisco, California ini memulakan pekerjaan sebagai pelatih di pejabat Ketua
Staf Rumah Putih pada musim panas 1995. Ketika itu, dia baru berusia 22 tahun
dan baru saja menamatkan pengajian dari Kolej Lewis dan Clark. Beberapa bulan
selepas itu, pentadbiran Rumah Putih berhadapan dengan sekatan penutupan
kerajaan persekutuan berikutan pertelagahan antara Rumah Putih dengan Kongres
berkenaan soal belanjawan. Maka, kebanyakan tugas harian di Rumah Putih yang
seharusnya dikendalikan kakitangan awam kini dikendalikan oleh pelatih-pelatih
seperti Lewinsky. Ini menyebabkan mereka perlu berada di Sayap Barat dan
berinteraksi dengan semua orang termasuk Clinton sendiri.

Dalam
siri dokumentari The Clinton Affair, Lewinsky mendedahkan dia sudah menyimpan
hati terhadap Clinton walaupun mengakui ianya satu perkara yang salah. Satu insiden
yang masih segar di ingatannya ialah pada satu ketika, seluar dalamnya
terlondeh sedikit antara satu hingga dua inci. Staf-staf lain tidak menyedari
perkara itu berlaku tetapi seorang individu perasan iaitu Clinton. Lewinsky
mengakui dia seharusnya segera memperbetulkan seluarnya itu tetapi tidak
melakukannya kerana suka dengan perhatian yang diberi presiden kelahiran Hope,
Arkansas itu. Dan sejak itulah, kedua-duanya mula mengintai peluang bersama dan
ia direalisasikan pada malam 15 November 1995. Dalam siri tersebut, Lewinsky
mendedahkan perlakuan seksual mereka tidak pernah dilakukan di Oval Office.
Sebaliknya, hubungan seks mereka dilakukan di sebuah pejabat bersebelahan Oval
Office yang berperanan sebagai pejabat peribadi presiden.

‘Hubungan cinta kita…’

Pada
akhir bulan yang sama, Lewinsky mula bekerja di Pejabat Hal Ehwal Perundangan,
sekaligus membolehkannya terus berada di Rumah Putih. Untuk mengelakkan
hubungan sulit ini dicium ramai, kedua-duanya cuba mewujudkan satu situasi
bersifat kebetulan seperti tersalah masuk pejabat atau mengadakan tugasan yang
tidak ada bagi membolehkan mereka bertemu. Keadaan ini dibantu apabila dia
mempunyai pas lencana biru yang membolehkannya berada di semua kawasan Rumah
Putih. Selain itu, Lewinsky juga sentiasa ingat dari arah mana dia masuk atau
keluar dari pejabat peribadi Clinton. Ini bagi memastikan tidak wujud situasi
ganjil antaranya dengan staf jika mereka menemuinya berhampiran dengan pejabat
itu.

Tetapi
bak kata pepatah, kalau angin tak bertiup, masakan pokok bergoyang. Kisah
hubungan cinta terlarang Clinton-Lewinsky ini mula dihidu ramai termasuk
staf-staf Rumah Putih sendiri. Ini kerana mereka merasa pelik bagaimana Clinton
boleh mengenali staf bawahan seperti Lewinsky dan sentiasa berhubung rapat
dengannya tanpa sebarang sebab. Bila mengenang detik itu, Lewinsky mengakui ada
masanya, dia amat naif dan tidak sedar dengan permainan kuasa yang dimainkan
Clinton ke atasnya. Ini kerana bagi perempuan muda sepertinya, dia seharusnya
memanfaatkan masa cuti bersama keluarga dan rakan-rakan. Tetapi dia tetap
berada di Rumah Putih pada hujung minggu hanya semata-mata menunggu panggilan
Clinton kerana sudah mabuk asmara dengan presiden berkenaan.

Melihat
kepada semua ini, khabar hubungan sulit ini sudah mula diketahui dalam
persekitaran politik Washington D.C ketika itu. Berita sebegini bukan saja
dianggap berpotensi menjejaskan reputasi bersih Clinton tetapi juga berpotensi
menjejaskan peluangnya mendapatkan penggal kedua sebagai Presiden Amerika
Syarikat. Maka pada April 1996, Lewinsky dipindahkan ke Pentagon dan dalam siri
dokumentari tersebut, dia mengakui suasana di Pentagon terlalu keras dan
disiplin berbanding suasana di Rumah Putih yang dilihat formal tetapi santai.
Bila berita pemindahan itu diketahui Clinton, beliau berjanji akan memindahkan
Lewinsky kembali ke Rumah Putih sekiranya berjaya memenangi pemilihan semula
1996. Janji tersebut ditunaikan dan tak lama selepas itu, dia kembali semula ke
Rumah Putih. Hubungan kedua-duanya terus berlaku sehinggalah tahun 1997.

Selalunya,
hubungan sebegini hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja yang boleh
dipercayai dan memegang prinsip biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Dalam kes Lewinsky, individu yang mengetahui hubungan cinta terlarangnya dengan
Clinton ialah rakan sekerja dan kenalan rapat bernama Linda Tripp. Dari situ,
Tripp berkongsi kisah tersebut dengan seorang ejen buku yang dikenali sebagai
konservatif anti-Clinton bernama Lucianne Goldberg. Di sinilah bermulanya
episod mimpi ngeri Clinton dan Lewinsky. Bila mengetahui apa yang berlaku,
Goldberg mendesak Tripp merakam semua perbualan telefonnya dengan Lewinsky
walaupun perbuatan tersebut dianggap salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr dan perbicaraan
pemecatan

Melalui
hubungan Goldberg ini juga, rakaman perbualan Tripp-Lewinsky turut diketahui
oleh pasukan peguam Paula Jones. Paula Jones ialah seorang bekas kakitangan
kerajaan yang memfailkan saman terhadap Clinton pada tahun 1991 kerana
kesalahan seksual semasa beliau menjadi Gabenor Arkansas. Akibatnya, Lewinsky
disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pada Disember 1997. Enggan
membiarkan hubungan sulit mereka diketahui orang ramai, presiden mencadangkan
Lewinsky berbohong di kandang saksi dan itulah yang dilakukannya dalam
keterangan bersumpah, “Saya menafikan saya mempunyai hubungan seksual dengan
Bill Clinton.”

Tatkala
semua ini berlaku, pentadbiran Clinton turut dihantui oleh siasatan berkenaan
kontroversi Whitewater. Skandal ini tercetus berikutan wujud laporan salah laku
membabitkan pelaburan yang dibuat oleh Clinton dan isterinya Hillary Rodham
Clinton dalam Syarikat Pembangunan Whitewater. Penyiasat yang diberi tugas
menyiasat skandal berkenaan ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Kenneth Starr.
Semasa mereka masih sibuk menyiasat Whitewater, Starr turut mendapat tahu
rakaman yang dihasilkan Tripp. Ini mendorongnya untuk menyuruh Tripp memakai
mikrofon tersembunyi yang disediakan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI)
semasa berbual dengan Lewinsky.

Pendedahan
ini juga membuka pintu seluas-luasnya kepada Starr meluaskan lagi skop siasatan
termasuk skandal seks membabitkan Clinton. Maka tidak hairanlah bila Lewinsky
disepina oleh pihak berkuasa, mereka menyatakan lebih elok untuknya
bekerjasama. Ini kerana sekiranya dia didapati berbohong semasa memberi
keterangan, maka dia melanggar keterangan sumpahnya dan boleh didakwa di
mahkamah. Apabila Clinton diminta memberi keterangan di mahkamah oleh pasukan
guaman Jones pada Januari 1998, beliau tetap mengulangi bahawa tidak wujud
sebarang hubungan antaranya dengan Lewinsky.

Tetapi
semua penafian itu tidak boleh menutup kisah cinta terlarang ini dari diketahui
orang ramai. Pada bulan yang sama, portal berita dalam talian konservatif
Drudge Report menyiarkan laporan hubungan sulit Clinton dengan identiti
Lewinsky didedahkan sehari kemudian. Kisah tersebut diteruskan oleh media arus
perdana beberapa hari kemudian dan mencetuskan skandal di peringkat nasional.
Dan seperti biasa, Clinton masih berpegang teguh dengan kenyataan ini semasa
mengadakan sidang media sambil ditemani oleh Hilary,” Saya tidak mempunyai
sebarang hubungan seksual dengan perempuan itu, Cik Lewinsky.”

Namun,
ada satu perkara yang tidak diketahui Clinton: Lewinsky menyimpan beberapa
bukti sebagai bukti hubungan cinta terlarang mereka termasuk sehelai gaun
berwarna biru yang mengandungi sampel DNA beliau. Pakaian tersebut langsung
tidak dicuci atas Lewinsky atas nasihat Tripp dan ia menjadi salah satu bahan
keterangan utama siasatan Starr. Pakaian itu juga menjadi bukti kukuh hubungan
sulit Clinton-Lewinsky benar-benar berlaku dan bukan satu omongan kosong
seperti yang didakwa bekas gabenor Arkansas itu.

Bukti
tersebut sudah cukup untuk memaksa Clinton mengakui di hadapan jemaah juri
bahawa beliau mengadakan sentuhan fizikal intim dan tidak sepatutnya dengan
bekas pelatih Rumah Putih itu tetapi tidak menepati definisi hubungan seksual
yang digunakan oleh peguam-peguam Jones. Pada malam 17 Ogos 1998, Clinton turut
tampil di televisyen kebangsaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas
tingkah lakunya itu. Tetapi pada masa sama, beliau turut menegaskan beliau
tidak pernah menyuruh individu yang terlibat dengan skandal itu untuk berbohong
atau melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Pada
September 1998, laporan siasatan Starr setebal 445 muka surat diserahkan kepada
Kongres untuk langkah seterusnya. Laporan ini mendedahkan secara terperinci hubungan
sulit Clinton-Lewinsky termasuk 11 perkara yang boleh membawa kepada pemecatan
Clinton sebagai Presiden Amerika Syarikat. Laporan yang dikenali sebagai
Laporan Starr itu kemudiannya dijadikan sebagai laporan terbuka oleh Kongres
dan dijadikan dalam bentuk buku seterusnya menjadi buku paling laris jualan
pada tahun tersebut. Pada Oktober 1998, Kongres mengundi untuk meneruskan
perbicaraan pemecatan Clinton.

Dua
bulan selepas itu, Kongres turut meluluskan dua usul punca pemecatan Clinton
iaitu bersumpah bohong dan menghalang proses keadilan. Dalam sejarah Amerika
Syarikat, Clinton merupakan presiden kedua selepas Andrew Jackson yang perlu
mengharungi sesi perbicaraan pemecatan jawatan presiden. Tetapi seperti
Jackson, beliau terselamat selepas mengharungi perbicaraan selama 21 hari dan
dibebaskan pada Februari 1999. Bagaimanapun pada April 1999, Clinton dikenakan
dakwaan menghina mahkamah kerana memberi keterangan menyeleweng berkenaan
status hubungannya dengan Lewinsky dan didenda Hakim Susan Webber Wright
sebanyak $90,000. Lesen guamannya di Arkansas juga digantung selama lima tahun
dan kemudiannya oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Kesan skandal

Di
sebalik semua ini, Clinton dapat menamatkan penggal kedua sebagai presiden dan
meninggalkan Rumah Putih dengan kadar sokongan paling tinggi dalam mana-mana
presiden Amerika Syarikat. Semasa prosiding pemecatan berlangsung, beliau turut
menyelesaikan kes samannya dengan Jones dengan membayar pampasan sebanyak
$850,000 tetapi menafikan sebarang salah laku wujud antara mereka berdua. Dan
Clinton masih aktif dalam politik sehingga hari ini termasuk membantu kempen
calon-calon Parti Demokrat dan tidak segan menyumbang dalam kempen amal serta
bukan berasaskan keuntungan.

Sementara
wanita yang berada di tengah-tengah skandal ini pula menjadi antara wanita yang
paling dikenali untuk satu dekad seterusnya. Pada Mac 1999, Lewinsky ditemubual
Barbara Walters untuk program 20/20 ABC dan ditonton 70 juta penonton, satu
rekod bagi sebuah program berita. Selain itu, dia juga berpeluang menghasilkan
buku biografi bertajuk Monica’s Story yang berkisar tentang kisah hidupnya
termasuk hubungan sulitnya dengan Clinton. Selepas cuba berkecimpung sebagai
pereka beg tangan dan personaliti televisyen, dia kemudian menyambung pengajian
di Sekolah Ekonomi London dalam jurusan psikologi sosial dan berjaya meraih
ijazah Master of Science pada tahun 2006.

Sepanjang
dekad pertama abad ke-21, Lewinsky memilih untuk mengelak dari menjadi tumpuan
ramai. Tidak ramai tahu impak dari hubungan sulit dan siasatan mendalam
terhadap kehidupannya hampir-hampir mendorongnya untuk membunuh diri dan
menghidap kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD). Ini didedahkan dalam siri
dokumentari sama. Tetapi perlahan-lahan wanita berhati waja ini bangkit dan
pada tahun 2014, dia menulis satu esei panjang untuk majalah Vanity Fair
bertajuk ‘Shame and survival’ berkisar tentang kehidupannya dan impak hubungan
sulit yang dihadapinya. Selain aktif sebagai penyumbang rencana Vanity Fair,
Lewinsky juga aktif sebagai aktivis anti-buli siber kerana mahu membantu mangsa
buli lain menghadapi situasi memalukan seperti dihadapinya sebelum ini.

Sehingga
hari ini, Clinton masih belum memohon maaf secara peribadi terhadap Lewinsky
berkenaan episod gelap yang hampir-hampir memusnahkan karier politiknya dan
kehidupan masing-masing. Pada awal tahun lepas, beliau dikritik oleh ramai
pihak selepas menyatakan dirinya tidak berhutang permohonan maaf dengan
Lewinsky semasa ditemubual koresponden Today untuk NBC News, Craig Melvin. Bila
ditanya sama ada Clinton seharusnya memohon maaf secara peribadi terhadapnya,
dalam eseinya Lewinsky merasakan ia seharusnya dilakukan kerana itu menjadikannya
individu yang lebih baik dan masyarakat amnya.

RUJUKAN:

1.
Chiu, Allyson. (2018). ‘Bill Clinton should want to apologize’: Monica Lewinsky
opens up about scandal in new documentary. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/nation/2018/11/14/bill-clinton-should-want-apologize-monica-lewinsky-opens-up-about-scandal-new-documentary/?utm_term=.91a1c7d49161

2.
Wagner, John. (2018). Bill Clinton: ‘I wouldn’t’ handle Lewinsky scandal any
differently today. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/politics/bill-clinton-i-wouldnt-handle-lewinsky-scandal-any-differently-today/2018/06/04/0702b386-67f2-11e8-bea7-c8eb28bc52b1_story.html?utm_term=.ce04279bbca6

3.
History. (2019). Monica Lewinsky Scandal. https://www.history.com/topics/1990s/monica-lewinsky

The post Hubungan Sulit Clinton-Lewinsky: Skandal Yang Menggegarkan Amerika Syarikat appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots