Penerima BSH Harap mySalam Diperluas Untuk Anak-Anak

ALOR SETAR, 13 Jun (Bernama) — Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak menerima Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam), berharap agar inisiatif itu diperluaskan untuk manfaat anak-anak mereka yang juga disahkan menghidap penyakit tertentu atau terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Penerima BSH, Siti Fazdilah Tom Mansor, 35, berkata walaupun beliau atau suami jarang dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang penyakit kronik, namun seorang daripada anak mereka sering dimasukkan ke wad kerana mempunyai masalah pada bahagian tonsil.

“Anak saya kerap mengalami demam dan sering dimasukkan ke wad sehingga beberapa hari dan baru-baru ini doktor mengesahkan dia ada masalah pada tonsil dan perlu dirujuk kepada pakar.

“Bila anak masuk wad, saya terpaksa ambil cuti, suami yang bekerja sendiri tidak boleh keluar bekerja hingga menjejaskan pendapatan keluarga,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai mySalam di sini, hari ini.

Di bawah mySalam, penerima BSH berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan layak menerima elaun RM50 sehari (maksimum 14 hari) jika menjalani rawatan di hospital dan jika disahkan menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal, bayaran one-off sebanyak RM8,000 akan dikredit ke akaun mereka.

Seorang suri rumah, Nur Alia Hamid, 28, juga menyimpan harapan yang sama memandangkan anaknya yang berusia tujuh tahun disyaki menghidap masalah jantung dan sering dimasukkan ke hospital kerana kerap mengalami demam.

“Suami hanya bekerja sebagai pembantu kedai, walaupun anak yang masuk hospital, kami sudah pasti terkesan dan sangat berharap dapat merasai manfaat mySalam ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini mendapati masih ramai yang tidak tahu mengenai mySalam walaupun mereka sering mendapatkan rawatan di hospital.

Mohammad Fathi Abu Hashim, 34, yang mempunyai masalah jantung berkata beliau pernah terbaca mengenai mySalam dalam media, namun tidak pernah ambil kisah mengenainya.

“Saya akan segera daftar dengan mySalam ini, sekurang-kurangnya saya boleh tuntut jika terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang mySalam, orang ramai boleh menghubungi careline mySalam di 1-300-888-938 atau emel ke [email protected]

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli