Penyelia Syarikat Maut Dihempap Mesin

JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) — Seorang penyelia syarikat maut akibat dihempap sebuah mesin dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Firma 3, Kawasan Perindustrian Tebrau IV, di sini, tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata Aslan Mohd Yasin, 41, yang berasal dari Kampung Lukut, Kota Tinggi, mati di tempat kejadian akibat dihempap di bahagian dada.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila mangsa bersama adik lelakinya serta dua lagi pekerja lain sedang memindahkan mesin-mesin di sebuah jabatan ke bahagian lain namun tiba-tiba sebuah mesin seberat 20 tan yang dialaskan dengan menggunakan tiga unit papan beroda, telah tumbang.

“Tiga rakan si mati termasuk adiknya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dihempap oleh mesin berkenaan di bahagian dada.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Tebrau yang sampai di lokasi kejadian pada 12.15 tengahari telah berjaya mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata tempat kejadian adalah di dalam sebuah jabatan yang sudah tidak beroperasi selama dua bulan dan syarikat mangsa telah dilantik untuk menjalankan proses pemindahan mesin berkenaan.

“Di dalam kejadian ini, tiada unsur jenayah atau sabotaj dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar yang dihubungi berkata pihaknya menghantar tiga jentera bersama 10 anggota ke tempat kejadian, sebaik menerima panggilan kecemasan.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa 15 minit dan operasi menyelamat kemudian tamat pada 1.50 tengahari, katanya.

Gambar: Mat Ali Mohamed
Mesin yang menghempap mangsa. (Gambar: FrontDesk)

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli