Microsoft Menyertakan Kernel Linux Sebenar Di Dalam Versi Pembangunan Terkini Windows 10

Microsoft pada hari ini telah memperkenalkan Windows 10 Insider Preview binaan 18917 kepada pengguna yang mendaftar Windows Insider. Menariknya, binaan Windows 10 ini juga menjadi binaan yang terawal dalam menyertakan kernel Linux sebenar melalui penyertaan Windows Subsystem for Linux 2.

Windows Subsystem for Linux (WSL) merupakan lapisan keserasian (compatibility layer) untuk membolehkan Windows menjalankan binary Linux secara natif. Apa yang terbaru pada WSL 2, ia dibina berasaskan kernel Linux 4.19 yang juga turut digunakan pada perkhidmatan Microsoft Azure.



Disebabkan ia menggunakan kernel Linux sebenar, ia dapat menjalankan binary Linux ELF64 terus daripada Windows. Penyertaan WSL 2 juga dapat menjalankan container Linux Docker secara natif, jadi tiada sebarang virtual machine (VM) diperlukan untuk menggunakan sokongan ini. Untuk memudahkan anda menguruskan sub-sistem ini, Microsoft juga hadir dengan sejumlah command baru untuk digunakan.

Fungsi ini telah disediakan dalam versi pembangunan Windows 10 dan dijangka akan hadir kepada pengguna umum pada suku pertama 2020. Bagi pengguna yang ingin mencubanya dengan lebih awal, anda boleh mendaftarkan komputer Windows 10 anda di dalam program Windows Insider Fast Ring.

Sumber : Amanz