Ibu sumbat roti dalam mulut anak sampai mati sesak nafas kerana sepahkan roti di lantai dapur

Seorang ibu didakwa membunuh anak perempuannya berusia dua tahun hanya kerana menyepahkan roti di atas lantai, telah didakwa atas tuduhan membunuh.
Ibu dua anak, Svetlana Mirzoeva, 28, menyumbat sepotong besar roti ke dalam mulut mangsa sebagai hukuman kerana bermain dengan makanan dan tindakan itu menyebabkan mangsa mati kesesakan nafas. 
Kejadian itu berlaku di bandar Omsk, selatan Rusia, ketika mangsa sedang bermain dengan sebuku roti di dapur rumah. 
Apabila Svetlana masuk ke dapur dan ternampak lantai bersepah dengan roti, dia terus marah dan mengambil keputusan untuk menghukum mangsa. 
Svetlana mengambil mangsa duduk di ribanya sebelum menyumbat sepotong besar roti ke dalam mulut kanak-kanak itu dan hanya berhenti selepas mangsa tidak sedarkan diri. 
Ketika disoal siasat, Svetlana berkata, “Dia berhenti bernafas dan saya cuba mengeluarkan semula roti yang disumbat dalam mulutnya.
“Kemudian baru saya sedar yang dia sudah mati,” katanya. 
Selepas kejadian itu, Svetlana memujuk teman lelakinya untuk menyembunyikan mayat mangsa. 
Teman lelaki Svetlana kemudian membungkus mayat mangsa dengan tuala biru dan diletakkan dalam beg sukan sebelum keluar dan membuang beg tersebut. 
Selepas kejadian itu, mereka meneruskan kehidupan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Namun jiran mereka menyedari kehilangan mangsa lalu menghubungi pihak polis. 
“Si ibu hanya dilihat berjalan dengan anak lelakinya, sementara mangsa tidak kelihatan. 
“Ada jiran yang berasa curiga lalu emmbuat laporan polis. Selepas disoal siasat, akhirnya si ibu mengaku telah membunuh anak perempuannya,” kata jurucakap polis. 
Difahamkan, kejadian itu berlaku sebulan lalu. Teman lelaki suspek pula telah meninggal dunia 10 hari selepas kejadian itu akibat keracunan alkohol menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengesan di mana mayat mangsa dibuang. 
Svetlana didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan ditahan reman untuk tindakan lanjut. 
Anak lelakinya berusia tiga tahun yang dipercayai menyaksikan kejadian itu telah dihantar ke rumah anak yatim. 
Suspek berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan dan kes itu masih dalam siasatan. 
Sumber: Daily Mail

Sumber : TheReporter