FinLab UOB Malaysia Melancarkan Inisiatif Untuk Memudahkan Syarikat & Perniagaan Beralih Kepada Operasi Digital

Hari ini, United Overseas Bank (UOB) Malaysia telah melancarkan Program Jom Transform iaitu sebuah program transformasi perniagaan yang memanfaatkan fungsi teknologi bagi pertumbuhan industri ekonomi digital negara. Program dibawah pelaksanaan The FinLab ini memperlihatkan beberapa siri bengkel bakal diadakan untuk perkongsian kemahiran berasaskan permintaan pemasaran digital tempatan.

Untuk makluman anda, tujuan program Jom Transform ini adalah untuk membantu platform syarikat mengubah pelan operasi perniagaan mereka kepada operasi pendigitalan. Melalui perubahan yang disarankan, ia dapat memanfaatkan fungsi teknologi yang sedia ada. Malah, pelaksanaan program ini juga rentetan daripada tiga permasalahan operasi perniagaan yang telah dikenalpasti iaitu syarikat tidak mempunyai sumber yang baik, ketidakpastian dalam memilih penyelesaian teknologi dan kurang pendedahan untuk menginovasikan perniagaan.

Wong Kim Choong – Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia telah menyifatkan platform ini sebagai inisiatif komitmen bank dalam membantu dan membangunkan syarikat tempatan dari segi peralihan operasi kepada sistem digital. Wujudnya platform ini, ia dapat mengalihkan perhatian pengusaha perniagaan kepada pasaran digital. Hal ini kerana, hampir 80% perniagaan mempunyai kelengkapan teknologi pada operasi mereka namun hanya 20% sahaja yang celik akan penggunaan teknologi tersebut.

Menerusi plancaran program tersebut, turut memperlihatkan kerjasama UOB bersama sektor swasta dan awam. Antara yang mengambil bahagian pada siri bengkel kali ini adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), SME Corporation Malaysia, Persatuan Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Dewan Perdagangan Perindustrian Cina Kuala Lumpur, Selangor (KLSCCCI).

Oleh itu, buat anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan program Jom Transform, anda bolehlah menghadiri sesi Kick-Off pada 21 Jun 2019 ini dengan mendaftarkan diri pada pautan dibawah.

Layari: The Finlab Malaysia – Jom Transform

Sumber : Amanz