”Mew Choo Menangis, Saya Tidak Boleh Pentingkan Diri,” Coretan Panjang Penuh Emosi Impian Emas Olimpik Chong Wei

Ramai yang sudah sedia maklum dengan perkhabaran duka lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraan semalam. Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat atas faktor kesihatan setelah mengambil kira nasihat doktor.

Sungguh, keputusan tersebut nyata mengejutkan seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat sukan badminton takala kita ketika tidak dapat tidak perlu mengakui harapan kemenangan dalam temasya-temasya besar melibatkan sukan badminton masih disandarkan pada bahu beliau.

Misalnya, dalam beberapa edisi terdahulu Sukan Olimpik, Chong Wei menjadi prospek paling realistik untuk kontinjen negara membutirkan emas pertama untuk Malaysia. Seperti kita tahu, hingga kini impian tersebut masih belum terlaksana dan beliau telah membuat permohonan maaf kerana merasa bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut.

”Saya minta maaf, saya kesuntukkan masa dan tidak sempat untuk berjuang di (Olimpik) Tokyo. Saya juga ingin memohon maaf kerana gagal menghadiahkan emas Olimpik untuk anda.

”Tetapi saya sudah cuba yang terbaik, yang paling terbaik pernah saya lakukan dan saya tidak menyesal,” katanya.

Begitupun kata Chong Wei, dia merupakan seorang lelaki biasa yang amat mencintai sukan badminton dan sayangkan negaranya. Sebab itulah, sebelum ini sebaik sahaja pulang daripada menjalani rawatan kanser di luar negara, dia mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam sukan tersebut.

”Saya amat takut sekiranya saya bersara dalam penyesalan. Saya juga amat takut untuk menerima dengan kenyataan bahawa saya gagal membawa walau sebutir pingat emas Olimpik untuk Malaysia. 

”Jadi apabila saya disahkan bebas daripada kanser, saya mencapai kembali raket dan kembali berlatih. Selepas beberapa ketika, saya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan sebelum melanjutkan sesi latihan yang lebih berat.

”Malangnya, ia keputusan berat yang perlu saya hadapi. Doktor terkejut dengan hasil pemeriksaan dan memaklumkan kanser saya mungkin kembali menyerang sekiranya saya meneruskan latihan.

”Saya lihat Mew Choo menangis teresak-esak ketika itu. Dia bimbang sekiranya saya terus berdegil dan meneruskan latihan berat demi merealisasikan impian saya dan impian seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau kemudian berkongsi perasaannya lagi apabila berada dalam dilema untuk melepaskan impian dan menggantung raket selepas hampir 20 tahun memerah keringat.

”Di rumah, saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga. Saya menguruskan anak-anak saya, Kingston dan Terrance. Saya memandikan mereka, mengajar dan berlatih badminton bersama-sama. Banyak masa diluangkan dan saya mahu melihat mereka membesar.

”Akhirnya, saya perlu membuat keputusan terbesar dalam hidup. Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Saya sudahpun bermaian untuk diri sendiri, untuk negara. Kali ini, apa yang perlu buat adalah memainkan peranan sebagai seorang ayah, untuk selamanya.

”Saya mahu anak-anak saya membesar. Saya mahu melihat mereka mendirikan rumah tangga dan memiliki anak. Saya juga mahu menjaga isteri saya apabila kami sudah tua,” katanya lagi.

Katanya lagi, beliau berharap namanya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

”Saya berharap Lee Chong Wei memberi inspirasi kepada anda semua, sama seperti anda menjadi sumber inspirasi saya selama ini. Tanpa keluarga, rakan sepasukan, jurulatih, penyokong-penyokong dan negara, saya tidak mampu mencapai apa-apa,” katanya.

Coretan panjang tersebut diakhiri dengan beliau menyebut beberapa nama rakan-rakannya dalam sukan badminton antaranya Lin Dan, Taufik, Peter Gade, and Hyun ill. Kata Chong Wei, masanya sudah tiba dan kini nasib sukan ini berada di tangan generasi muda.

”Momota, Victor, Yuqi dan Zi Jia merekalah wira untuk mempertahankan sukan ini. Pastikan seluruh dunia mengakui badminton adalah sukan terbaik di atas muka Bumi.

”Kepada rakan-rakan seperjuangan, jangan berputus asa. Sentiasa ingat, ribuan rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kejayaan anda. Gigih berlatih setiap hari. Berjuang demi bendera dan demi Negaraku.

”Tiada penyesalan lagi. Apabila saya mula bermain badminton, impian saya adalah untuk mewakili Malysia. Saya tahu saya telah melakukannya dengan penuh kebanggaan dan bermaruah,”.

Terima kasih lagenda, anda inspirasi kami semua.

Sumber: Lee Chong Wei

Sumber : SiakapKeli