Ibu Meraung Dan Pengsan Lihat Anak 6 Tahun Parah Dihempap Tingkap Jatuh Dari Tingkat 20

Malang tidak berbau apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun mengalami kecederaan parah setelah dihempap tingkap yang terjatuh dari tingkat 20.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Futian, Shenzhen, China, mangsa dilihat sedang berjalan di kawasan tersebut bersama ibunya sekitar jam 9 pagi.

Secara tiba-tiba, tingkap dari tingkat 20 bangunan kediaman di situ jatuh lalu menghempap kepala mangsa. Ibunya dan orang ramai yang berada di situ menjerit kerana terkejut dengan kejadian tersebut.

Wanita itu menangis dan meraung meminta bantuan sambil memangku anaknya yang sudah tidak sedarkan diri. Darah mangsa memenuhi lantai akibat hentakan kuat di kepala sebelum ibunya turut pengsan di tempat kejadian.

Kejadian tersebut berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis berdekatan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Perubatan Cina Shenzhen untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Sekitar jam 11, mangsa dilaporkan kritikal dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Beberapa penduduk dari bangunan kediaman itu turut bersama-sama berada di hospital bagi menemani keluarga mangsa yang mengalami trauma.

Menurut laporan, kejadian tingkap jatuh yang dipercayai usang daripada kediaman tersebut bukanlah kali pertama berlaku. Namun ianya tidak melibatkan nyawa sehinggalah kejadian terbaru ini.

Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Sumber : SiakapKeli