Lenovo Melancarkan Lima ThinkPad Dengan Grafik NVIDIA Quadro RTX

Untuk mereka yang memerlukan kuasa yang lebih untuk perisian kejuruteraan, hanya komputer kelas workstation digunakan. Lenovo telahpun mengumumkan lima workstation ThinkPad Siri P mereka baru-baru ini dengan pilihan kad grafik NVIDIA Quadro RTX. Lima model baharu tersebut adalah ThinkPad P73, P53, P53s, P43s dan P1 Gen 2.

ThinkPad P73 hadir dengan skrin 17.3″ 4K dengan sokongan Dolby Vision. Terdapat pilihan sehingga cip Intel Xeon dan kad grafik NVIDIA Quadro RTX. Komputer berkuasa ni akan ditawarkan bulan Ogos hadapan pada harga bermula $1849 (~RM 7707).

ThinkPad P53 pula dilengkapi skrin 15″ OLED sesentuh. pilihan cip pemproses sehingga Intel Xeon, memori sehingga 128GB, storan sehingga 6TB dan kad grafik sehingga NVIDIA Quadro RXT 5000. Ini menurut Lenovo menjadikan ThinkPad P53 komputer riba dengan sekin 15″ paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia akan ditawarkan bermula Julai pada harga bermula $1799 (~RM 7499).

Seterusnya ialah ThinkPad P53s yang dilengkapi dengan skrin 15″, cip Intel Core dan grafik NVIDIA Quadro. ThinkPad P43s pula mempunyai spesifikasi yang sama cuma skrin hanya sebesar 14″. Harga jualan kedua-dua model bermula dari $1500 (~RM 6253).

Akhir sekali ialah ThinkPad P1 Gen2 yang dipasarkan sebagai komputer riba workstation yang ringan dan nipis. Skrin 15″ OLED dipadankan dengan pemproses sehingga Intel Xeon dan kad grafik sehingga NVIDIA Quadro Turing T2000. Ini adalah penambahbaikan berbanding ThinkPad P1 yang dilancarkan Ogos tahun lalu. ThinkPad P1 Gen2 dijual pada harga $1949 (~RM 8124).

Sumber : Amanz