”Seorang Hafiz Al-Quran, Ramai Menjadi Saksi Atas Kebaikan Beliau,” Pelajar Malaysia Meninggal Dunia Di Mesir

Seorang pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri, 24, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 8 malam waktu Malaysia di Hospital Safarat, Hayyu Sabi’e, Kaherah.

Penuntut tahun tiga jurusan Syariah Islamiah yang berasal daripada Terengganu itu dikejarkan ke hospital sebelumnya kerana tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Dia dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak dan terpaksa menjalani pembedahan.

Perkara tersebut menjadi tular di media sosial baru-baru ini setelah salah seorang rakannya memuat naik posting bagi memohon derma kilat untuk membantu meringankan kos rawatan Fahmi yang dianggarkan sebanyak RM60,000.

Memetik sebuah laporan portal berita, kerajaan negeri sebelum itu juga telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM10,000 bagi kos penerbangan dan penginapan kedua ibu bapa Fahmi ke Mesir yang dijadualkan esok. Namun, tiada siapa dapat melawan ajal walau sesaat sekalipun.

”Ramai yang menjadi saksi atas kebaikan beliau”

Ramai kenalan Allahyarham serta orang ramai membanjiri Masjid Tontowi, Mesir untuk menunaikan solat jenazah dan memberikan penghormatan buat kali terakhir.

Berdasarkan salah satu posting sahabatnya yang berada di sana, Fahmi dikenali sebagai seoarang insan yang mempunyai keperibadian yang baik dan merupakan seorang Hafiz Al-Quran.

Doa daripada jauh kami kirimkan moga arwah di tempatkan di kalangan golongan yang beriman dan ahli keluarganya diberikan kesabaran menempuhi ujian ini.

Sumber : Facebook/Twitter

Sumber : SiakapKeli