Qualcomm: Jam Tangan Wear OS Dengan Mod Sukan Tetap Akan Hadir, Tetapi Tidak Akan Disokong Google

Pada bulan September lepas, Qualcom telah mengumumkan Snapdragon Wear 3100. Ia adalah cip pemproses untuk jam tangan pintar yang lebih berkuasa dan sepatutnya mempunyai ketahanan bateri yang lebih baik. Namun sehingga hari ini, tidak banyak pengeluar yang menggunakan cip ini. Yang berada di pasaran sekarang adalah Montblanc Summit 2 dan juga Fossil Sport.

Snapdragon Wear 3100 sebenarnya mempunyai sokongan mod sukan yang boleh memberi ketahanan bateri yang lebih lama dari biasa. Dengan mod sukan ini apabila ia diaktifkan, ia mampu bertahan sehingga 15 jam untuk kegunaan GPS dan pengimbas nadi. Jika dibandingkan sekarang yang hanya menyokong sekitar 3 jam sahaja. Sewaktu Qualcomm mengumumkan mod sukan ini, mereka menjangkakan ia akan digunakan oleh pengeluar jenama sukan terkenal pada jam tangan pintar mereka. Tetapi sudah berbulan lamanya, jam tangan pintar Wear OS dengan mod sukan ini masih tidak wujud lagi.

Terkini dalam temu ramah antara Droid-Life bersama Qualcomm, Qualcomm masih menantikan pengumuman daripada pengeluar-pengeluar. Google pula memberi jawapan yang mereka tidak ingin terlibat langsung dengan mod sukan ini. Jadi, jika Qualcommm inginkan produk jam tangan pintar Wear OS memfokuskan sukan dikeluarkan – tetapi pembuat Wear OS sendiri (Google) tidak ingin terlibat, bagaimana ia akan dibangunkan? Adakah ia akan dibangunkan melalui oleh pengeluar itu sendiri dan ia adalah fungsi eksklusif?

Jika benar, ini bermakna pengguna Wear OS lain tidak akan dapat menikmati fungsi ini dan terpaksa membeli jam tangan pintar jenama lain.

Sumber : Amanz