(Video)Ketegangan Di Teluk Oman, AS Dedah Video Dakwa Tentera Iran Dalang Serangan Kapal Tangki Minyak

Dua buah kapal tangki minyak dilaporkan telah diserang semasa sedang berlayar di Teluk Oman semalam. Kapal tangki yang masing-masing digelar Front Altair dan Kokuka itu didakwa telah diserang menggunakan torpedo dan periuk api.

Ketika serangan itu, semua 44 orang kru dalam kedua-dua buah kapal dilaporkan terselamat selepas mereka bertindak terjun ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh kapal lain dan diserahkan kepada pasukan penyelamat Iran.

Dalam perkembangan terbaru mengenainya, Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo(gambar) telah menuduh Iran sebagai pihak bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.

Ia berdasarkan maklumat yang mereka perolehi mengenai jenis senjata yang digunapakai ketika serangan.

Kerajaan Iran dalam kenyataan balasnya pula telah menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam serangan itu dan mendakwa tuduhan yang dilontarkan tentera dan kerajaan AS itu sebagai tidak berasas.

Namun, beberapa jam selepas penafian berkenaan, pihak tentera Amerika telah mendedahkan satu video yang didakwa memaparkan tentera Iran sedang mengalihkan periuk api yang tidak meletup dari kapal tangki berkenaan.

Serangan itu terjadi kira-kira sebulan selepas empat kapal tangki minyak lain telah diserang di kawasan Emeriah Arab Bersatu. Ketika kejadian itu, Amerika turut menyalahkan Iran, dan sama seperti kali ini, Iran telah menafikan tuduhan berkenaan.

Berikutan dengan kejadian itu, harga minyak telah meningkat sehingga 4% lebih tinggi di kawasan yang menjadi laluan pelayaran penting dan dilalui oleh minyak yang bernilai ratusan juta Dollar Amerika.

Sumber: BBC

Sumber : SiakapKeli