Kementerian Pengangkutan Memperkenalkan Program Khas Untuk Pemandu Kurang Upaya Mendapatkan Lesen PSV

Jika sebelum ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia memandatkan bahawa pemandu kurang upaya tidak dibenarkan mendapatkan lesen PSV (Public Service Vehicle) untuk memandu untuk perkhidmatan seru-pandu, nampaknya mereka kini bukan sahaja berubah fikiran mengenai arahan tersebut, malah telah mengumumkan program khas untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen tersebut.

Anthony Loke, Menteri Pengangkutan Malaysia telah mengumumkan bahawa sama seperti pemandu-pemandu seru-pandu yang lain, para pemandu OKU ini akan perlu menjalani ujian saringan kesihatan, menjalani kursus enam jam oleh pihak JPJ, dan menjalani ujian praktikal sejam sebelum mereka boleh mendapatkan lesen PSV tersebut.

Apa yang menarik mengenai ini ialah Anthony Loke juga dikatakan membuat pengumuman bahawa kursus atas-talian e-learning PSV sudahpun disahkan dan boleh digunakan bermula hari ini, dan boleh digunakan oleh semua bakal pemandu teksi dan perkhidmatan seru-pandu untuk mempercepatkan proses pengesahan daripada kursus tersebut.

Beliau juga mengumumkan bahawa terdapat 367 pemandu seru-pandu yang juga merupakan pemandu OKU, dan 273 daripada mereka mempunyai kesukaran untuk mendengar.

Dalam pada itu, ujian lesen PSV untuk para pemandu OKU ini akan bermula pada 1 Julai kelak, dan mereka yang lulus ujian tersebut dijangka akan menerima lesen mereka beberapa hari selepas ujian tersebut dijalankan.

Dalam pada itu, undang-undang yang menetapkan semua pemandu seru-pandu memerlukan lesen PSV dan juga permit eVP (electronic Vehicle Permit) menjelang 12 Julai 2019 masih akan dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Pengangkutan dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan.

Sumber : Amanz