“Dia Sediakan 120 Sampul Kecil Untuk Upah Tahlil”, Pemuda Kongsi Warkah Terakhir Nenek Sebelum Meninggal Dunia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Menjelang usia emas, ramai yang mula membuat persediaan sendiri untuk menuju ke negeri abadi. Sebelum ini pernah tular kisah seorang warga emas yang menyediakan kain kafan sebagai persediaan sebelum meninggal dunia.

Baru-baru ini seorang pengguna Twitter, Izzat Ikhwan berkongsi gambar surat peninggalan arwah neneknya, Gayah bt Abdullah yang meninggal dunia dua hari lepas. Neneknya dikatakan telah menyediakan sejumlah wang di dalam sampul kecil khusus untuk upah tahlilnya.

“Nenek saudara saya meninggal 2 hari lepas. Semalam kami temui surat peninggalan arwah. Allahu air mata mana tak menitik. Surat tulisan arwah sendiri. Dia siap dah sediakan 120 sampul kecik untuk upah kenduri tahlil dia. Al Fatihah Gayah binti Abdullah.”

Izzat juga turut berkongsi dua keping gambar surat yang ditinggalkan neneknya buat mereka dan ahli keluarga yang tinggal bersama pesanan terakhirnya.

“Semuanya duit dalam beg ini sebanyak RM 2,200.00 hadiah pada sesiapa yang sembahyangkan mayat buat kali terakhir sembahyang ke mak. Mak terima kasih buat mak buat selama-lamanya.

“Assalamua’laikum untuk semua termasuk sekali untuk anak-anak dan cucu-cucu ku semua serta saudara-saudara yang tinggal lagi, ingatlah selalu pada Allah.

“Assalamua’laikum, mak mu.”

Surat ini merupakan catatan arwah tok Gayah sebelum sakit teruk. (Gambar: Twitter)

“Assalamua’laikum, terima kasih.”

Sebanyak 15 keping sampul telah diberikan kepada individu yang membantu urusan pengebumian dan selebihnya akan diberikan kepada pelajar-pelajar tahfiz. Setiap sampul berjumlah 120 keping itu tertulis ucapan “Assalamu’laikum, terima kasih.”

Al-Fatihah buat nenek Izzat. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Takziah buat Izzat sekeluarga.

Sumber: Izzat Ikhwan

Sumber : SiakapKeli