Datuk Lee Chong Wei – Legenda Badminton Negara

Semalam
merupakan satu tarikh yang menyedihkan buat peminat sukan badminton negara.
Manakan tidak, itulah hari di mana legenda badminton negara, Datuk Lee Chong
Wei mengumumkan persaraannya dari dunia badminton selepas tidak dapat kembali
ke gelanggang atas nasihat pakar perubatan. Pengumuman ini juga merupakan
pengakhiran karier badminton beliau selama 19 tahun yang penuh dengan pelbagai
kenangan suka dan duka.

Anak jati
Bagan Serai, Perak ini dilahirkan pada 21 Oktober 1982 dan sejak dari kecil,
menunjukkan minat terhadap sukan bola keranjang. Tetapi ibunya Khor Kim Choi
melarang pembabitan Chong Wei dalam sukan itu untuk mengelak cuaca panas bila
bermain di gelanggang luar bola keranjang. Beliau mula diperkenalkan dengan
sukan badminton pada usia 11 tahun oleh bapanya Lee Ah Chai dengan membawanya
ke sebuah dewan badminton. Bakat semulajadinya sebagai pemain mula dikesan oleh
jurulatih Teh Peng Huat dan beliau juga bertanggungjawab menyakinkan Ah Chai
bahawa bakat anaknya itu boleh digilap sebagai pemain hebat di bawah
bimbingannya. Selepas mendapat izin bapanya itu, Chong Wei mula berlatih dengan
Peng Huat selepas waktu persekolahan. Jurulatih pertamanya ini juga turut
bertanggungjawab menggilap bakat pemain-pemain lain seperti pemain perseorangan
wanita Goh Jin Wei dan bekas pemain regu wanita/bercampuran negara, Chin Eei
Hui.

Bakat Chong
Wei sebagai pemain badminton mula dikesan oleh legenda badminton negara Datuk
Misbun Sidek semasa berumur 17 tahun dan hasilnya, beliau diserap ke pasukan
kebangsaan. Dan itulah juga permulaan karier badminton beliau yang menyaksikan
dominasinya sebagai pemain nombor satu dunia, satu pencapaian yang masih gagal
diatasi oleh pesaing-pesaingnya yang lain seperti Lin Dan dan Chen Long
walaupun dari segi pencapaian, kedua-duanya merupakan pemenang Kejohanan Dunia.
Bakatnya itu digabungkan dengan etika kerja yang kuat dan kesungguhan yang
diterapkan Misbun sekaligus mewujudkan kombinasi resepi kemenangan yang hebat.

Bagi yang
menonton perlawanan membabitkan Chong Wei, sudah pasti ramai masak dengan
pergerakan pantas beliau di gelanggang dan kesungguhannya meliputi setiap inci
gelanggang. Dengan etika permainan sebegini, ia sudah membuatkan ramai
pesaingnya pening kepala dan hanya beberapa pemain saja yang dapat mengatasi
Chong Wei seperti Lin Dan dan Chen Long. Dalam konteks Lin Dan, beliau
menggunakan taktik perang psikologi untuk menjejaskan prestasi beliau di
gelanggang. Maka tidak hairanlah dalam 40 perlawanan, 28 daripadanya berjaya
dimenangi Lin Dan. Sepanjang 19 tahun karier sebagai pemain badminton, beliau
memenangi 69 gelaran kejohanan termasuk 46 kejuaraan Superseries BWF (kini
dikenali sebagai Jelajah Dunia BWF). Chong Wei juga merupakan pemain nombor
satu dunia selama 349 minggu termasuk 199 minggu berturut-turut dari 2008
hingga 2012.

Tetapi satu perkara yang mencetuskan kekesalan dalam diri beliau terutama dalam ucapan pengumuman persaraannya ialah kegagalan meraih pingat emas Sukan Olimpik. Bukanlah satu rahsia semasa Chong Wei berada di kemuncak prestasi dan sebagai pemain nombor satu dunia, harapan negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik disandarkan di bahu beliau. Pada temasya Olimpik 2008, 2012 dan 2016, beliau hanya dapat meraih pingat perak tiga kali berturut-turut. Semasa Olimpik 2008 di Beijing, China dan Olimpik 2012 di London, Britain, Chong Wei tewas di tangan musuh ketatnya Lin Dan. Tetapi pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, ramai menyangka peluang meraih emas cerah selepas beliau berjaya mengatasi pesaingnya itu di peringkat separuh akhir. Namun, harapan itu hancur berkecai apabila Chong Wei tewas di tangan Chen Long di peringkat akhir.

Selain
dipenuhi dengan pencapaian cemerlangnya di arena tempatan dan antarabangsa,
karier badminton Chong Wei turut dibayangi dengan kontroversi sama ada
membabitkan jurulatih, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau isu doping. Isu
pertelagahan dengan jurulatih bukan sesuatu yang baru bagi peminat badminton
negara sama ada membabitkan jurulatih China, Li Mao atau jurulatih Denmark,
Morten Frost Hansen. Dalam kes Hansen, pertelagahan ini tercetus sebelum
Olimpik 2016 lagi apabila pemain senior seperti Chong Wei tidak lagi dibenarkan
menggunakan pemain-pemain junior sebagai rakan pelatih mereka dan membahagikan
mereka kepada dua kumpulan pemain.

Tetapi
kemuncak kepada semua ini apabila beliau mengalami kecederaan medial ligamen
kolateral (MCL) selepas tergelincir dan terjatuh di atas gelanggang di Akademi
Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada tahun 2017. Kecederaan ini berlaku
berikutan kewujudan tikar basah di gelanggang, sesuatu yang sudah diadukan
kepada Hansen dan Pengurus Besar BAM, Laurence Chew beberapa lama sebelumnya.
Keadaan ini mengakibatkan kedua-duanya tidak bertegur sapa dan Chong Wei pernah
mengancam untuk meninggalkan BAM. Akibat daripada konflik ini menyaksikan
Hansen meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih dan jawatan itu kembali
disandang mentor lama Chong Wei, Misbun.

Selain Hansen,
Chong Wei juga pernah mempunyai krisis dengan bekas ketua jurulatih negara, Yap
Kim Hock sekitar tahun 2007 terutama selepas kekalahan mengejutnya di tangan
Sony Dwi Kuncoro pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia tahun sama. Antara punca
konflik ialah Kim Hock meletakkan terlalu banyak tekanan di bahu beliau dan isu
berat sebelah dalam soal layanan terhadap pemain. Bagaimanapun, krisis ini berjaya
dielak hasil campur tangan Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh menerusi dua
pertemuan antara beliau dengan kedua-dua pihak.

Karier Chong
Wei turut dihantui dengan isu doping. Isu ini mula timbul selepas beliau diuji
positif untuk dadah deksametason, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat
keradangan semasa Kejohanan Dunia 2014. Jika didapati bersalah, beliau boleh
digantung selama dua tahun sekaligus berpotensi menamatkan karier beliau
sebelum berkesempatan mencuba merebut pingat emas Olimpik 2016 di Rio de
Janeiro. Tetapi hasil siasatan BWF mendapati beliau bersikap cuai tetapi tiada
niat untuk menipu selepas mengambil kira keterangan semua pihak. Hasilnya,
Chong Wei hanya digantung selama lapan bulan dan kembali aktif pada 1 Mei 2015,
sekaligus membolehkannya menambah mata ranking BWF bagi membolehkannya layak ke
temasya Olimpik 2016.

Pada tahun
2018, tahun ini juga merupakan permulaan kepada pengakhiran kariernya sebagai
pemain badminton negara. Selepas berjaya memenangi Malaysia Masters buat kali
ke-12 pada Julai tahun lepas, BAM mengesahkan beliau tidak dapat menyertai
Kejohanan Dunia 2018 dan Sukan Asia 2018 atas alasan masalah kesihatan
pernafasan sebelum disahkan sebagai kanser hidung. Selepas didiagnosis kanser
hidung, Chong Wei mula mendapatkan rawatan di Taiwan selama beberapa bulan
sebelum disahkan pulih pada November 2018. Tatkala itu, beliau mensasarkan
untuk kembali bersaing pada tahun 2019 termasuk melayakkan diri ke Sukan
Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bagi memenuhi impian memenangi pingat emas pertama
Olimpik untuk Malaysia dan meneruskan perseteruan dengan Lin Dan.

Manusia
hanya merancang tetapi Tuhan lebih mengetahui segala-galanya. Walaupun sudah
pulih daripada penyakit yang dialaminya, itu bukan bermakna Chong Wei boleh
diberi lesen aktif seperti biasa. Ini kerana jika beliau berlatih terlalu kuat,
wujud kebimbangan kanser hidung yang dialami sebelumnya kembali semula. Dan
selepas mencuba beberapa kali sepanjang separuh tahun 2019, Chong Wei akhirnya
memutuskan untuk menggantung raket pada 13 Jun 2019. Berita ini juga menandakan
pengakhiran era perseteruan Chong Wei-Lin Dan dengan legenda badminton China
itu mengakui dalam satu temubual bahawa satu sebab beliau terus aktif ialah
Chong Wei. Lin Dan dijangka menggantung raket selepas Sukan Olimpik 2020.

Dan ini
menimbulkan satu persoalan baru, siapa pemain seterusnya yang bakal mengisi
kelompangan yang ditinggalkan legenda badminton negara itu? Persoalan ini sudah
mula timbul sejak tahun 2014 lagi berikutan belum ada pemain yang mempunyai
mutu permainan setaraf Chong Wei sekaligus menyaksikan BAM terus bergantung
kepada khidmatnya sekalipun usianya semakin meningkat. Ini berbeza dengan
kuasa-kuasa badminton lain seperti China dan Indonesia yang terus menghasilkan
pemain-pemain pelapis berkualiti sebagai sokongan kepada pemain senior lain.

Bukan sekali
dua BAM cuba menghasilkan pemain-pemain baru yang dilihat boleh mengikut jejak
langkah Chong Wei tetapi sentiasa berakhir dengan langkah kiri. Kumpulan
pertama yang cuba mengikut jejak langkahnya ialah Liew Darren, Chong Wei Feng,
Tan Chun Seang dan Chan Kwong Beng sementara kumpulan kedua pula terdiri
daripada Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli. Manakala kumpulan
ketiga pula terdiri daripada Soong Joo Ven, Lim Chi Wing, Soo Teck Zhi dan
Chong Yee Han.

Ketika ini
menurut pengarah kejurulatihan BAM yang juga bekas pemain perseorangan negara,
Wong Choong Han, sudah wujud beberapa prospek menarik membabitkan tiga pemain
bawah 19 tahun iaitu Ng Tze Yong, Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Tiga pemain ini sudah berlatih bersama pemain-pemain senior lain iaitu Lee Zii
Jia, Cheam June Wei, Leong Jun Hao, Muhd Ziyad Tah, Tan Jia Wei, Joo Ven dan
Chi Wing sejak Januari lepas. Menurut Choong Han, ketiga-tiga pemain ini bukan
saja berbakat tetapi mempunyai keazaman dan keinginan untuk berjaya.
Ketiga-tiga pemain ini dijangka akan menyertai enam hingga lapan kejohanan
satelit untuk separuh kedua tahun ini bagi melihat sejauh mana pencapaian
mereka. Dari situ, jika mereka terus menunjukkan peningkatan, tidak mustahil
beberapa kejuaraan satelit bakal dimenangi mereka pada penghujung tahun 2020.

SUMBER

1. AFP.
(2019). Chong Wei’s retirement leaves ‘Super Dan’ ploughing lonely Olympic
furrow. New Straits Times. https://www.nst.com.my/sports/badminton/2019/06/496244/chong-weis-retirement-leaves-super-dan-ploughing-lonely-olympic

2. BBC.
(2015). Lee Chong Wei: Badminton star given eight-month ban for doping. https://www.bbc.com/sport/badminton/32478719

3. Peter,
Fabian. (2019). Chong Wei: My biggest regret is not winning Olympic gold. New
Straits Times. https://www.nst.com.my/sports/badminton/2019/06/496186/chong-wei-my-biggest-regret-not-winning-olympic-gold

4. Paul,
Rajes. (2007). BAM chief wants Chong Wei and Kim Hock to improve relationship. The
Star. https://www.thestar.com.my/sport/other-sport/2007/08/31/bam-chief-wants-chong-wei-and-kim-hock-to-improve-relationship/

5. Paul,
Rajes. (2017). Chong Wei ready to quit BAM due to Dane’s ‘high-handed action’.
The Star. https://www.thestar.com.my/sport/badminton/2017/02/08/from-frosty-to-icy-chong-wei-ready-to-quit-bam-due-to-danes-highhanded-action/

6. Paul,
Rajes. (2018). Chong Wei has early stage nose cancer, confirms BAM. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/09/22/bam-chong-wei-nose-cancer/

7. Nadkarni,
Shirish. (2019). With prodigious natural talent, Lee Chong Wei dominated
badminton circuit in a manner no one could. First Post. https://www.firstpost.com/sports/with-prodigious-natural-talent-lee-chong-wei-dominated-badminton-circuit-in-a-manner-no-one-could-6806931.html

8. The Star.
(2007). Kim Hock ready to meet BAM over Chong Wei’s outburst. https://www.thestar.com.my/sport/other-sport/2007/08/20/kim-hock-ready-to-meet-bam-over-chong-weis-outburst/

9. The Star. (2019). Chong Wei calls it quits. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/13/chong-wei-calls-it-quits/

The post Datuk Lee Chong Wei – Legenda Badminton Negara appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots