Pertempuran Khaibar – Runtuhnya Kubu Terkuat Yahudi

Dalam
kebanyakan siri pertempuran yang disertai Rasulullah s.a.w, Pertempuran Khaibar
merupakan pertempuran paling penting. Ini kerana menerusi penaklukan Khaibar
bukan saja membuka jalan kepada pengukuhan kekuasaan negara Islam Madinah.
Malah, ia sebenarnya membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah yang berlaku
pada tahun kelapan Hijrah. Pertempuran ini turut memperlihatkan kebijaksanaan
Nabi s.a.w bukan saja sebagai seorang pemimpin negara tetapi juga sebagai panglima
pertempuran.

Punca pertempuran

Gangguan yang dicetuskan orang Yahudi terhadap umat Islam bukan satu isu baru kerana ia sudah diharungi semasa Bani Qainuqa dan Bani Nadhir masih berada di Madinah. Dua kabilah Yahudi ini bukan sekali dua menyakiti umat Islam termasuk pada satu ketika, merancang membunuh Nabi s.a.w dengan melontar seketul batu yang besar. Akibat dari sikap keras kepala dan kecenderungan berlaku khianat mereka ini, kedua-dua kabilah berkenaan dihalau keluar dari Madinah.

Selepas dihalau keluar ke Madinah, sesetengah memilih menuju ke Syam manakala sebahagian lagi termasuk pemimpin puak-puak ini menghala ke Khaibar. Khaibar menjadi pilihan kerana tanahnya yang subur sesuai untuk aktiviti pertanian dan kubu-kubu pertahanan yang strategik. Bagi mereka, kedudukan pertahanannya yang kukuh sukar dicabar mana-mana kuasa termasuk negara Islam Madinah ketika itu.

Terima kasih kepada kedudukan mereka ini juga membolehkan mereka menghasut kabilah-kabilah Arab jahiliah terutama golongan kafir Quraisy memerangi umat Islam menerusi kempen Pertempuran Khandak pada tahun 627 Masihi. Kempen yang digerakkan Huyai bin Akhtab ini bagaimanapun berakhir dengan kegagalan walaupun pertempuran berkenaan menyaksikan pakatan ini mempunyai ketumbukan tentera seramai 10,000 orang melawan 3,000 tentera Islam.

Kempen berkenaan turut menyaksikan kemusnahan Yahudi Bani Quraizah dan kematian Huyai selaku batu api yang memarakkan api pertempuran selepas dihukum menerusi hukum Taurat oleh Saad bin Muaz r.a. Jika mereka boleh menggembleng kabilah Arab untuk memerangi umat Islam, tidak mustahil pada satu masa mereka akan meminta bantuan Rom atau Parsi untuk melakukan perkara sama. Rencana sebegini perlu dihalang sebelum menjadi kenyataan.

Nabi s.a.w
dan para sahabat sedar akan ancaman puak ini tetapi sebarang langkah perlu
diperhalusi terlebih dahulu. Ini kerana dengan ancaman golongan kafir Quraisy,
sudah pasti baginda tidak mahu pihak Quraisy mengambil kesempatan dengan
menyerang Madinah tatkala tentera Islam berangkat ke Khaibar. Hajat baginda
dimakbulkan Allah s.w.t menerusi perlaksanaan Perjanjian Hudaibiyah yang
dimeterai pada tahun 628 Masihi. Satu perkara yang terkandung dalam perjanjian
berkenaan ialah gencatan senjata antara kedua-dua pihak selama 10 tahun.
Menerusi perjanjian ini, Madinah tidak perlu merasa risau dengan ancaman
golongan kafir Quraisy dan boleh memfokuskan kempen Khaibar tanpa sebarang
masalah.

Pertempuran Khaibar

Jika
dibandingkan kekuatan tentera Islam dengan kekuatan tentera Khaibar, bilangan
pihak musuh jauh lebih ramai dengan kekuatan 20,000 orang ditambah dengan
bantuan sekutu Bani Fadak, Bani Fazara dan Bani Ghatafan. Sementara kekuatan
tentera Islam seramai 1,600 orang termasuk 200 tentera kavalri semasa memulakan
perjalanan ke Khaibar pada Mei 628 Masihi. Walaupun bilangan mereka sedikit, ia
memberi kelebihan dari segi pergerakan kerana mereka boleh tiba dengan pantas
dan senyap ke Khaibar dalam tempoh tiga hari. Tempoh sebegitu sudah pasti tidak
akan memberi peluang kepada pengawal kubu bersedia menentang mereka.

Selain itu,
kedudukan tentera Khaibar juga tidak dibantu dengan ketidakhadiran tentera
Ghatafan untuk membantu pertahanan mereka. Dalam satu riwayat, tentera Islam
berada di lembah Ar-Raji, satu kawasan yang terletak antara kedudukan Bani
Ghatafan dan Khaibar. Bimbang sekiranya tentera Islam menuju ke situ untuk
bertindak balas terhadap tindakan mereka semasa Pertempuran Khandak, 4,000
tentera Ghatafan memilih untuk berundur dan kembali ke kampung halaman mereka.
Tindakan Nabi s.a.w berhenti secara strategik di Ar-Raji ternyata mengelirukan
pihak musuh kerana pihak Ghatafan dan puak Yahudi Khaibar tertanya-tanya
destinasi mana yang menjadi pilihan baginda.

Di samping
itu, sikap pihak Yahudi yang memandang rendah kekuatan tentera Islam nyata
melemahkan lagi kedudukan pengawal pertahanan Khaibar. Dengan kekuatan seramai
20,000 orang, mereka boleh saja memilih menyerang di medan terbuka. Tetapi
kerana terlalu yakin dengan keutuhan kubu pertahanan mereka dan bilangan
mereka, mereka memilih berkubu dan berpertempuran dengan membaling batu atau
memanah tentera yang berada di bawah. Sikap terlalu yakin Yahudi Khaibar ini
dimanfaatkan sepenuhnya oleh tentera Islam dengan satu persatu kubu mereka
jatuh ke tangan tentera Madinah. Kubu pertama yang jatuh ialah kubu Naim tetapi
harganya ialah beberapa tentera Islam syahid dengan 50 lagi cedera di mana
mereka mendapat rawatan di sebuah hospital sementara yang diuruskan golongan
Hawa Bani Ghifari.

Menariknya
di sini, kubu-kubu yang menjadi tumpuan tentera Islam ialah kubu-kubu di mana
pengawal pertahanannya lemah atau ragu-ragu sekaligus membuka ruang kepada
penaklukan kubu berkenaan. Tentera Islam juga pasti sudah menjangka pihak
Yahudi Khaibar akan memindahkan wanita, kanak-kanak dan harta mereka dari satu
kubu ke satu kubu yang lain menerusi terowong bawah tanah. Mereka juga akan
terus melawan dengan batu dan anak panah serta menghantar pahlawan terbaik
mereka berhadapan dengan tentera Islam. Strategi yang digunakan tentera Khaibar
membolehkan mereka bertahan selama sebulan.

Tetapi
kepungan lebih lama nyata menjejaskan moral mereka kerana ia mengakibatkan
bekalan makanan dan minuman mereka kehabisan. Keadaan sama turut dialami
tentera Islam kerana bekalan makanan dibawa juga kehabisan. Ada yang terdesak
menyembelih haiwan tunggangan mereka dan keadaan ini disedari oleh baginda.
Justeru, Nabi s.a.w membenarkan mereka memakan haiwan-haiwan sebegini sekiranya
sudah tiada alternatif dan dalam keadaan darurat. Tetapi isu kelaparan ini
kadangkala bukan disebabkan tiada haiwan ternakan Khaibar.

Sebaliknya, tentera Islam berusaha untuk bersikap jujur dan amanah dalam pertempuran termasuk tidak mengambil haiwan ternakan pihak musuh tanpa izin. Ini berlaku pada seorang pengembala biri-biri Yahudi yang bertemu dengan baginda sambil membawa kumpulan gembala biri-birinya. Selepas diajarkan Islam hingga mendorongnya memeluk Islam, lelaki itu bertanya kepada Nabi:

“Duhai tuan, semua kambing ini diamanahkan kepada saya. Apa yang saya harus lakukan sekiranya hubungan saya dengan mereka terputus?”

Baginda menjawab, “Dalam agama saya, bersikap khianat merupakan satu kesalahan. Seeloknya, kamu memulangkan kambing-kambing ini kepada pemilik-pemiliknya yang berhak di pintu kota.”

Syor Nabi Muhammad s.a.w itu dilaksanakan oleh pengembala itu dan pengembala itu syahid semasa pertempuran berkenaan. Sedar keadaan mereka yang terlalu lapar, baginda mengizinkan tenteranya menangkap dua ekor kambing dan membiarkan kambing-kambing lain masuk ke dalam kandang. Malah, baginda juga berdoa agar usaha mereka menawan stor simpanan Khaibar dipermudahkan-Nya bagi membantu tentera Islam yang kelaparan.

Selepas
beberapa kubu lain jatuh ke tangan tentera Islam, satu-satunya kubu yang masih
gagal ditawan ialah kubu al-Qamus. Kepungan ke atas kubu berkenaan berlangsung
antara 13 hingga 19 hari. Pada awalnya, Nabi s.a.w mengirim Abu Bakar as-Siddiq
dan Umar bin al-Khattab r.a untuk memecah kubu berkenaan tetapi tidak membuahkan
hasil. Beberapa hari selepas itu, baginda mahu Ali bin Abi Talib r.a memegang
panji Islam tetapi diberitahu sahabat merangkap menantunya itu mengalami sakit
mata yang teruk. Nabi s.a.w menjenguk Ali r.a dan meludah pada matanya yang
sakit itu, dengan izin Allah ianya sembuh seperti sediakala. Beliau kelihatan
lebih bersemangat dan memulakan usaha menembusi kubu al-Qamus sambil membawa
panji Islam. Namun pada satu ketika, salah seorang tentera musuh memukulnya
dengan kuat sehingga kehilangan perisai. Sebagai ganti kepada perisainya itu,
Ali r.a menjadikan sebuah pintu sebagai perisai barunya untuk mempertahankan
dirinya. Pintu tersebut amat berat sehinggakan ia perlu diangkat oleh lapan
orang lelaki sebagai ganti kepada pintu itu.

Lawannya
semasa berada di al-Qamus ialah dua pahlawan bersaudara bernama Haris dan
Marhab. Pada awalnya, Haris terlebih dahulu berhadapan dengan Ali r.a tetapi
mati di tangan sahabat yang digelar Asadullah itu. Kemudian, giliran Marhab
pula berhadapan dengan beliau. Kedua-duanya saling berbalas syair bagi
menonjolkan diri mereka sebagai singa bagi pasukan tentera masing-masing.
Setelah itu, berlakulah pertempuran sengit antara kedua-dua pahlawan berkenaan.
Tetapi kejayaan memihak kepada Ali r.a selepas berjaya memukul kepala Marhab
sehingga mati. Kisah ini ada disebut dalam beberapa hadis termasuk satu hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah.

Konklusi pertempuran

Dengan
kejayaan Ali r.a, sebarang bentuk penentangan yang masih ada menjadi lemah dan
pemimpin mereka mahu berunding dengan Nabi s.a.w. Ada yang sedia mengadakan
perjanjian meninggalkan Khaibar dan menyerahkan seluruh harta mereka sebagai
pertukaran kepada jaminan keselamatan daripada Madinah. Ada juga yang memohon
untuk tinggal di Khaibar dan meneruskan aktiviti perladangan mereka di mana
sebagai tukaran kepada permintaan mereka, mereka sedia menyerahkan separuh dari
hasil pertanian Khaibar dan membayar jizyah kepada Madinah.

Sebaik pihak
Fadak mengetahui apa yang berlaku, mereka segera menghantar rombongan bertemu
dengan Nabi s.a.w diketuai Muhayyisa bin Mas’ud. Rombongan ini meminta agar
diberi perjanjian sama dengan Khaibar sebagai tukaran kepada penyerahan mereka.
Berikutan itu, satu lagi perjanjian dirangka antara Fadak dengan Madinah. Pihak
Quraisy yang tertanya-tanya apa berlaku di Khaibar cuba menghantar
perisik-perisik untuk mendapatkan berita di sana. Salah seorang orang Quraisy
yang tahu akan kemenangan pihak Islam ialah seorang pedagang bernama Hajjaj bin
Ilat. Hajjaj yang melihat sendiri kehebatan Madinah menundukkan Khaibar dan
pesona keperibadian baginda menyatakan keislamannya sebelum bertolak ke Makkah.

Semasa tiba
di Makkah, beliau dikelilingi oleh pembesar-pembesar Quraisy yang ingin tahu
apa yang berlaku di Khaibar. Lalu, Hajjaj mengadakan cerita dengan menceritakan
tentera Islam kalah dan Nabi s.a.w menjadi tawanan pihak Yahudi untuk
diserahkan kepada golongan kafir Quraisy di Makkah. Hajjaj kemudiannya meminta
mereka yang berhutang untuk menjelaskan hutang kerana wang berkenaan dikatakan
akan digunakan untuk membeli semua tawanan pertempuran itu. Khabar berkenaan
nyata menggusarkan bapa saudara baginda Abbas bin Abdul Mutalib r.a tetapi
semasa bertemu dengan pedagang itu, beliau memberitahu tentang keislamannya dan
cerita sebenar yang berlaku di Khaibar. Selepas tiga hari Hajjaj meninggalkan
Makkah, Abbas r.a mendedahkan perkara sebenarnya dan ini menambah lagi
kesedihan orang Quraisy selepas itu selepas khabar berkenaan disahkan oleh
perisik-perisik mereka.

Antara yang menjadi tawanan tentera Islam ialah Kinanah bin al-Rabi, seorang pembesar Yahudi dari Bani Nadhir. Semasa keluar dari Madinah, beliau mengetahui jumlah harta yang dibawa kabilah berkenaan dan lokasinya di Khaibar.

Tetapi bila ditanya, Kinanah tidak tahu-menahu tentang perkara itu walaupun diancam hukuman mati sekiranya berbohong. Bagaimanapun, tembelang pembesar Bani Nadhir itu terbongkar apabila seorang Yahudi menceritakan kepada Nabi s.a.w gelagatnya yang menghampiri satu runtuhan setiap pagi. Selepas runtuhan bangunan itu diperiksa, ia merupakan lokasi harta berkenaan yang dicari.

Dan seperti dijanjikan, Kinanah dihukum mati bukan saja kerana berbohong tetapi juga kerana membunuh saudara Muhammad bin Maslamah, Mahmud bin Maslamah r.a. Isterinya yang juga puteri Huyai bin Akhtab, Safiyyah pula diberi penghormatan menjadi Ummul Mukminin sekaligus bukan saja mengangkat martabatnya tetapi juga martabat kaumnya sehingga mereka menghormati Nabi s.a.w dan umat Islam.

Kejayaan
Nabi s.a.w menguasai Khaibar bukan saja menaikkan prestij Madinah. Bahkan, ia
turut mendorong kabilah-kabilah Arab yang masih berkira-kira menyokong baginda
dan umat Islam akhirnya bersedia mengisytiharkan kesetiaan mereka kepada
Madinah. Dengan bilangan harta rampasan pertempuran yang banyak, ia kemudian
digunakan untuk mengukuhkan persenjataan dan pengangkutan tentera Islam.
Hasilnya dapat dilihat 18 bulan kemudian apabila ketumbukan tentera diketuai
baginda dan beberapa panglima tentera berkaliber seperti Khalid bin al-Walid
dan Abu Ubaidah al-Jarrah r.a seramai 10,000 berjaya membuka kota Makkah.

Kedegilan orang Yahudi

Walaupun
sudah diberi pengampunan dan dibenarkan menetap di Khaibar dengan syarat
membayar jizyah, kaum Yahudi masih tidak serik. Pada satu ketika, seorang
wanita Yahudi bernama Zainab cuba meracun baginda dengan memasak kambing bakar
yang diisi dengan racun selepas dihasut kelompok tertentu. Bagaimanapun, cubaan
tersebut gagal selepas baginda merasakan makanan tersebut sudah beracun dan
tidak memakannya. Bagaimanapun, seorang sahabat bernama Bisyir bin Bara mati
akibat termakan daging beracun berkenaan. Bila ditanya motifnya berbuat
demikian, ia sebagai cubaan melihat sama ada baginda sememangnya Rasulullah
atau tidak. Walaupun Nabi s.a.w memaafkan Zainab, keluarga Bisyir tidak
melakukan perkara sama dan wanita tersebut kemudiannya dihukum mati atas
perbuatannya itu.

Dalam satu
riwayat yang lain, seorang sahabat bernama Abdullah bin Sahal r.a dihantar ke
Khaibar untuk membawa hasil pertanian mereka ke Madinah seperti yang dinyatakan
dalam perjanjian. Bagaimanapun semasa perjalanan, beliau mati dibunuh oleh
sekumpulan Yahudi yang tidak dikenali. Selepas bertemu dengan keluarga waris
Abdullah, baginda memberi jaminan sekiranya mereka mengenali dan bersumpah
bahawa individu berkenaan yang membunuhnya, maka individu-individu ini akan
dihukum mengikut lunas undang-undang syariah. Bila ditanya tentang sumpah orang
Yahudi berkenaan insiden ini, mereka menyatakan sumpah mereka langsung tak
boleh pakai. Justeru, Nabi s.a.w mengirim surat kepada pemimpin Khaibar tentang
peristiwa itu dan menggesa mereka membayar wang darah akibat peristiwa
pembunuhan itu. Sebagai respon, mereka membalas dengan mengatakan mereka tidak
terlibat dengan pembunuhan Abdullah dan tidak mengenali siapa pembunuhnya.
Untuk mengelak dari berlakunya pertumpahan darah, Nabi s.a.w sendiri yang
membayar wang darah pembunuhan itu.

Sikap mereka
yang berterusan mengganggu umat Islam akhirnya ditangani secara serius semasa
era pemerintahan Umar bin al-Khattab r.a. Selepas berunding dengan Majlis Syura,
beliau mengeluarkan dekri, “Barangsiapa yang masih ada hutang dengan penduduk
Khaibar, hendaklah diselesaikan secepat mungkin. Ini kerana aku akan
mengeluarkan perintah untuk mengeluarkan mereka dari Khaibar.” Terima kasih
kepada sikap mereka yang tidak bersyukur dan berterusan menjadi duri dalam
daging kepada umat Islam di Semenanjung Tanah Arab, mereka dihalau keluar tanpa
sebarang soal.

RUJUKAN:

Al-Husni,
Abu Hikmah. (1998). Darul Nu’man. Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah
s.a.w.

The post Pertempuran Khaibar – Runtuhnya Kubu Terkuat Yahudi appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots