Facebook 2000 Tahun Yang Lampau Di Pompeii

Seorang lelaki, (Serverus) menulis
tentang kisah perebutan cinta antara beliau dengan seorang lagi jejaka. Dia
menulis:

“Hari
ni saya mengetahui tentang Successus yang turut mencintai Iris. Dahlah bertepuk
sebelah tangan, tapi masih lagi tak tahu malu menagih cinta dari orang yang tak
sudi. Kepada lelaki tersebut, Bye-bye Loser.”

Successcus kemudian membalas dengan
satu komentar di ruangan yang sama. “Kepada
kononnya pencinta Iris, kenapa nak menghalang usaha jejaka yang lebih kacak
dalam merebut cinta Iris? Semua orang tahu, antara kita berdua, saya lebih
tampan.”
Serverus membalas kembali “Saya
malas nak layan jantan muka tembok. Tak malu ke cinta tak berbalas. Sekali lagi
saya ucapkan pada Successcus, Bye-bye loser!”

Perbualan di atas, dengan ciri-ciri
komentar dan balasan komentar nampak seperti satu interaksi yang berlaku di
Facebook, ataupun Twitter, ataupun mana-mana platform media sosial yang anda
gunakan sekarang. Tetapi pada hakikatnya interaksi di atas berlaku di sebuah
dinding di Pompeii. Ya, seperti juga di Facebook Wall, “wall” di Pompeii juga
penuh dengan interaksi dan hantaran-hantaran yang pelbagai persis platform
media sosial. Dan perkara ini berlaku lebih kurang 2 milenia yang lalu.

Pompeii
Sebagai Kapsul Masa

Pada pagi musim panas tahun 79 Masihi,
Gunung Berapi Vesuvius yang terletak berdekatan dengan Bandar Pompeii di
pesisiran Pantai Naples meletus dalam satu letusan besar yang melenyapkan terus
Pompeii dalam lipatan sejarah. Sebelum letusan, penduduk di Pompeii dan juga di
kawasan sekitar tidak sedar akan bencana yang bakal menimpa mereka (walaupun
berbagai gegaran dan tanda-tanda awal berlaku dalam beberapa hari sebelum
Vesuvius meletus) dan terus menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang rasa
takut dan gusar. Ini menyebabkan apabila Vesuvius meletus, lebih dari 1000
penduduk Pompeii tertanam di bawah timbunan lahar dan debu.

Letusan Gunung berapi Vesuvius
merupakan satu malapetaka buat penduduk Pompeii, tetapi dilihat sebagai satu
rahmat buat para arkaeologi dan sejawan. Apabila Pompeii ditemui semula pada
kurun ke-18, timbunan lahar dan debu itu memelihara bandar Pompeii dari hakisan
masa membolehkan ahli arkaeologi melihat Pompeii dari kaca mata orang purba.

Pompeii seolah-olah terperangkap dalam masa
dan ini membolehkan para arkaeologi mengkaji dengan lebih teliti bagaimana
penduduk tamadun Rom purba menjalankan aktiviti seharian mereka. Kajian demi
kajian yang dilakukan di tapak arkaeologi Pompeii memberikan ahli sejarawan dan
ahli arkaeologi pemahaman yang lebih mendalam tentang salah satu tamadan
teragung dunia barat.

Antara penemuan yang menarik dijumpai
di Pompeii adalah contengan di dinding sekitar bandar purba ini. Ahli
arkaeologi merekodkan sehingga 10,000 contengan di sekitar dinding bandar yang
mempunyai populasi penduduk mencecah 10,000-20,000 ketika gunung berapi
Vesuvius meletus. Pada mulanya mereka (ahli arkaeologi) ini tidak mengambil
peduli pada contengan-contengan tersebut dan menganggap ia sebagi benda
picisan. Ini kerana kajian mereka khusus dari perpektif orang terkemuka dan
bijak pandai di Bandar Pompeii dan kebanyakan dari golongan bijak pandai di
bandar ini tidak akan menghabiskan masa mereka dengan menconteng dinding.

Namun begitu, apabila diperiksa dengan
lebih teliti, contengan di dinding itu sebenarnya merakamkan sedikit sebanyak
cara penduduk Rom berinteraksi dan berhubung di antara satu sama lain. Dinding
di sekitar Bandar Pompeii boleh diumpamakan seperti media sosial yang menjadi
medan interaksi masyarakat.

“Facebook
Wall” Di Zaman Purba

Contengan di “wall” di sekitar bandar
Pompeii boleh didapati di mana-mana. Dari tempat tumpuan awam sehinggalah ke
dalam rumah persendirian, Contengan ini terdapat dalam pelbagai jenis, maksud
dan juga tujuan persis seperti sebuah “wall” di Facebook di zaman kini.
Antaranya:

Hantaran
Politik

Seperti juga kita yang saban hari asyik
bertelagah di ruangan Facebook tentang politik, begitu jugalah yang berlaku
kepada penduduk Pompeii purba.Berbagai contengan dijumpai ahli arkaeologi yang
ditulis oleh penyokong ataupun ahli politik sendiri. Ada antaranya contengan
sebagai tanda sokongan dari orang-orang terkemuka.

Antanya “Saya, Vesonius Primus menyokong sepenuhnya Gnaues Helvius sebagai Datuk
Bandar. Beliau adalah calon yang paling layak”.
Ada juga contengan yang
didatangkan dari kumpulan ataupun organisasi yang menyokong calon pilihan
mereka. “Kami, dari Pertubuhan Tukang
Emas Pompeii menyatakan sokongan sepenuhnya kepada calon Gaius Caspius Pansa
sebagai Datuk Bandar”.

Selain hantaran berbentuk positif,
kritikan (lebih kepada penginaan dan cercaan) juga boleh didapati. Contengan
berbentuk sindiran seperti “Kami dari
persatuan perompan-perompak Pompeii menyatakan sokongan kami kepada Vatia sebagai
Datuk Bandar”
dan juga “Hanya mereka
yang mabuk sahaja akan mengundi Vatia sebagai Datuk Bandar”
mewarnai
dinding kota purba ini.

Ada juga ahli politik yang menggunakan
platform media sosial purba ini sebagai alat untuk meraih undi. Sejarawan berpendapat
bahawa ahli politik mendapatkan kebenaran dari orang-orang kaya sekitar Bandar
Pompeii bagi menulis di dinding rumah mereka. Ini secara tidak lansung
menunjukkan pengiktirafan orang-orang kaya Pompeii terhadap sesetengah ahli politik
yang mereka sukai.

Hantaran
Berbentuk Promosi atau Pengiklanan Produk

Saya yakin, ada di antara sesetengah
pengguna Facebook yang berdepan dengan hantaran-hantaran berbentuk promosi atau
pengiklanan barangan yang memenuhi “wall “mereka. Perkara yang sama juga berlaku
2000 tahun yang lampau. Contengan-contengan untuk mempromosikan sesetengah
produk boleh didapati di sekitar Bandar Pompeii.

Contoh yang menarik yang saya boleh
paparkan di sini adalah seperti “Untuk
disewa: Rumah kedai dua tingkat. Milik Gnaeus Alleius Nigidius Maius dan
terletak di blok Arnius Pollio. Mereka yang berminat boleh berjumpa dengan
Primus, hamba kepada Gnaeus”
dan juga “Penyanyi
bernama Phoebus menghabiskan masa yang indah di hotel ini.”

Ada juga contengan berbentuk cadangan
tempat melawat ataupun tempat makan yang menarik seperti yang boleh ditafsirkan
melalui contengan ini “Kepada para pelancong, Pompeii adalah bandar yang
terbaik untuk mendapatkan sebuku roti. Tetapi kalau anda inginkan minuman yang
sedap, silalah berkunjung ke bandar Nuceria”.

Hantaran
Peribadi dan Aktiviti Harian

Antara hantaran yang gemar dibuat oleh
pengguna di Facebook adalah hantaran menceritakan aktiviti harian ataupun
luahan hati yang terpendam. Ini tidak terhad kepada hantaran di Facebook
sahaja, malah ia memenuhi Twitter, Instagram dan juga di dinding Pompeii.

2000 tahun yang lampau, contengan
seperti kata-kata pujangga turut boleh didapati di sekitar dinding Pompeii. “Masalah
yang kecil jika dihiraukan akan menjadi lebih besar” dan juga “Mereka yang tidak
pernah dicintai tidak layak dipanggil gagah” merupakan antara contoh kata-kata
‘hikmat’ yang boleh didapati di dinding Pompeii.

Ada juga contengan-contengan yang
menceritakan aktiviti harian si penconteng. Seperti “Pada hari ini, saya berjaya membuat sebuku roti!” dan juga “Hari ini saya makan malam bersama orang
gasar”.
Ada juga contengan luahan perasaan seperti ini “Atimetius lah lelaki yang bertanggungjawab membuntingkan saya” dan
juga “Sarra, sampai hati awak tinggalkan
saya terkapai-kapai di sini tanpa haluan”.

Rumusan

Apa yang saya tulis di atas adalah
hanya beberapa sahaja contoh dari beribu-ribu lagi contengan yang terdapat di
bandar purba ini. Dan contengan ini bukan sahaja boleh dilihat di bandar
Pompeii malah boleh dilihat kesannya di bandar-bandar Rom purba yang lain
(tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit).

Contengan-contengan yang ada di dinding
zaman purba mempunyai banyak iras dan persamaan dengan “contengan” di dinding
Facebook yang kita boleh dapati di zaman ini. Ia boleh dikatakan sebagai
perintis, bentuk awal media sosial yang kini merupakan sebahagian dari
kehidupan kita. Ingatlah, pada setiap kali anda ingin membuat hantaran yang
baru di Facebook, anda hanya melakukan apa yang pernah dilakukan oleh penduduk
Rom purba 2000 tahun yang lampau.

RUJUKAN:

Standage,Tom, “The Writing on the Wall:
Social Media-The First 2000 years” Bloomsbury (2013) m/s 47-51

Owens,James (2018), “Pompeii” National
Geographics
          

Gonzalez, Robbie (Julai, 2012), “The
graffiti of pompeii was downright raunchy and-absolutely hilarious” iO9

Pappas,Stephanie (Januari, 2013),
“Pompeii ‘Wall Posts’ Reveal Ancient Social Networks” LiveScience

The post Facebook 2000 Tahun Yang Lampau Di Pompeii appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots