Pagpag – Makanan Orang Miskin Filipina

Pernahkah
anda mendengar terminologi bernama pagpag? Pagpag merupakan perkataan daripada
bahasa Tagalog yang membawa maksud ‘membuang kekotoran” (to shake off dust
and dirt)
, iaitu sejenis masakan yang dijual di beberapa perkampungan orang
yang kurang berkemampuan di Filipina.

Proses
penghasilannya yang unik serta memerlukan beberapa orang individu untuk membuat
pekerjaan ini sedikit sebanyak mampu dijadikan sebagai pendapatan tetap bagi
beberapa penjual makanan sebegini.

Seawal jam
4 pagi, kebanyakkan sampah yang berasal dari sekitar restoran-restoran fastfood
seperti Kentucky Fried Chicken dan Jollibee tiba di kawasan pembuangan
sampah menerusi beberapa motosikal dan lori sampah. Sisa-sisa makanan daripada
restoran ini menjadi rebutan beberapa orang yang bekerja mengutip bahan-bahan
ini yang sering dipanggil sebagai mambabatchoy.

Mereka
mengutip sisa makanan yang terdiri daripda lebihan daging ayam daripada dua
jenis restoran ini. Selain itu, adakalanya mereka mencari lebihan sisa makanan yang
berasal daripada pasaraya besar, yang membuang mana-mana bahan makanan yang
telah melebihi tarikh luput, iaitu makanan yang terdiri daripda daging ayam,
ikan, lembu dan sayur-sayuran.

Kutipan ini
kemudiannya dijual kepada peniaga yang menjual pagpag di gerai kecil yang
terletak di kawasan orang yang kurang berkemampuan. Mereka membeli sisa makanan
ini dengan membayar RM2.00 untuk satu plastik beg yang dihantar oleh mambabatchoy.
Peniaga-peniaga mula memproses sisa-sisa makanan yang dihantar seawal jam 8
pagi.

Antara
proses yang mereka lakukan adalah dengan membuang tulang-tulang ayam dan
membasuh daging ayam tersebut untuk memastikan ‘kebersihan’ dan bahan-bahan
yang ingin dimasak semula adalah terdiri daripada isi daging sahaja.
Bahan-bahan kisar dan asas untuk memasak kuah untuk pagpag ini dibeli segar
daripada pasar tani seperti bawang, halia dan kunyit.

Setelah
kuahnya mereneh, isi-isi daging ayam yang diproses tadi dicampurkan dan dimasak
dalam pelbagai cara seperti masakan berkuah, goreng semula mahupun sup.
Semangkuk pagpag ini dijual dengan harga RM1.00, dan biasanya dimakan bersama
nasi. Rata-rata pelanggan mereka adalah dikalangan mereka yang tidak
berkemampuan dan miskin.

Dari segi
perubatan, sudah tentu pemakanan makanan sebegini membawa risiko seperti
jangkitan hepatitis A, demam kepialu, dan keracunan makanan, yang mana terdapat
kes di mana kanak-kanak ada yang jatuh sakit setelah mereka makan makanan ini.
Akan tetapi, untuk masyarakat yang miskin ini, mereka tidak mempunyai pilihan
lain kecuali mengambil risiko sahaja, asalkan perut kenyang dan mereka mendapat
tenaga untuk melakukan kerja-kerja harian mereka.

Kisah
sebegini sedikit sebanyak membuka mata kita, rakyat Malaysia yang kadangkala
mengambil mudah atas segala kemewahan yang terdapat di sekeliling kita. Saya
pasti, makanan sebegini tidak ada di malaysia memandangkan majoriti daripada
rakyat kita beragama Islam, di mana penerapan nilai-nilai pemakanan yang halal
dan bersih menjadi keutamaan dalam makanan yang kita makan setiap hari.

The post Pagpag – Makanan Orang Miskin Filipina appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots