Gajah Dalam Mitos Kepercayaan Agama Lain

  • Budak lelaki dengan kepala gajah.

Salah satu gajah yang terkenal dalam
unsur keagamaan ialah Dewa Hindu Ghanesh, yang digambarkan sebagai manusia
dengan kepala gajah. Kisah Hindu menggambarkan, Ganesh dicipta oleh Dei Parvati
yang mahukan anak yang setia.

Suami Parvati, iaitu Dewa Shiva yang
pulang dari pengembaraan terkejut melihat seorang budak lelaki berdiri
berdekatan rumahnya, lalu dia mencabut pedangnya dan memenggal kepalanya.
Semasa kekecohan itu, Parvati berlari keluar dari bilik mandinya dan mengamuk
kerana kerana Shiva telah membunuh anak mereka.

Shiva kemudian memerintahkan tenteranya
supaya membawa pulang kepala makhluk pertama yang mereka jumpa, dan kebetulan,
makhluk pertama yang mereka temui ialah gajah. Shiva melekatkan kepala gajah
itu ke badan Ghanesh dan menghembuskan nyawa ke dalamnya. Dari itu, Ghanesh
mendapat kepala baharu dan dia dilantik menjadi pemimpin Bhutaganas.

  • Gajah putih dengan enam gading.

Buddha dikatakan telah menjelma sebagai
gajah putih beberapa kali. Dia pernah hidup sebagai Chaddanta, seekor gajah
putih dengan wajah dan kaki merah dan memiliki enam gading. Dia tinggal di
sebuah gua emas dengan dua isteri, Mahasubhadda dan Chullasubhadda.

Menurut satu versi cerita Buddha,
Chaddanta memberikan perhatian yang lebih kepada isteri keduanya sehingga
Chullasubhadda berasa cemburu dan meninggalkan Chaddanta. Malah bersumpah untuk
menghapuskan Raja Gajah itu di masa akan datang. Chullasubhadda akhirnya mati
dan dibangkitkan semula menjadi perempuan yang cantik dan berkahwin dengan
seorang raja.

Suatu hari, permaisuri memberitahu raja
bahawa dia bermimpi tentang gajah putih dengan enam gading dan sanggup mati
sekiranya tidak memiliki gading itu. Raja mengumpulkan para pemburu di dalam
kerajaannya untuk memburu gajah enam gading untuk memenuhi keinginan
permaisuri.

Salah seorang pemburu mengikut arah
yang ditunjukkan permaisuri dan menyamar sebagai seorang sami. Melihat sami
itu, Chaddanta memberikan penghormatan kepadanya sehingga terjatuh ke perangkap
musuh. Pemburu itu menceritakan segalanya kepada Chaddanta dan gajah itu
mencabut gadingnya sendiri lalu diserahkan kepada pemburu dan mati.

  • Gajah dan petir.

Mitos Kenya ini menceritakan tentang
bagaimana manusia menghancurkan keharmonian dalam kehidupan. Gajah, manusia dan
petir tinggal di bumi, tetapi tidak serasi bersama kerana perbezaan besar di
antara mereka. Petir menjadi takut kepada manusia dan meninggalkan bumi untuk
tinggal di langit. Manakala gajah pula kekal berada di bumi kerana beranggapan
manusia itu makhluk yang kecil dan tak mungkin membahayakannya.

Apabila manusia bertembung dengan
gajah, dia menembak binatang itu dengan panah beracun. Ketika gajah hampir
mati, ia meratap ke langit dan merayu kepada Petir supaya menyelamatkannya
namun Petir enggan. Apabila gajah mati, manusia terus mencipta anak panah yang
lebih beracun dan membunuh lebih banyak makhluk hidup dan menjadi tuan kepada
alam semulajadi ini. 

  • Lelaki miskin dan gajah.

Mitos Kamba di Kenya menceritakan pula
tentang asal usul gajah. Seorang lelaki miskin mendengar kisah tentang Ivonya-Ngia,
lelaki yang sangat pemurah terhadap orang miskin. Dia membuat keputusan untuk
mencari Ivonya-Ngia dalam perjalanan yang sungguh panjang.

Setibanya di rumah agam yang besar di
tengah padang rumput hijau yang luas, dia melihat lembu dan kambing yang tidak
terkira banyaknya. Ivonya-Ngia menerima kedatangan orang miskin itu dengan baik
dan memerintahkan anak buahnya supaya memberikan seratus ekor biri-biri dan
seratus ekor lembu kepada lelaki miskin itu, tetapi lelaki miskin itu menolak,
sebaliknya meminta rahsia bagaimana hendak menjadi kaya.

Ivonya-Ngia memberikan sebotol salap
dan memintanya supaya menyapu benda itu pada bahagian atas gigi isterinya, dan
tunggu sehingga tumbuh baharulah dijual. Lelaki miskin itu mengikut saja arahan
Ivonya-Ngia dan menyakinkan isterinya bahawa mereka akan menjadi kaya.

Akan tetapi, gigi isterinya tumbuh
menjadi gading dan tubuhnya bertambah besar dan dia lari ke dalam hutan. Di
situ, dia melahirkan anak-anak gajah dan mereka percaya, itulah sebabnya
mengapa gajah mempunyai kepintaran seperti manusia.

  • Gadis gemuk dan gajah.

Di Afrika Selatan, terdapat seorang
gadis yang sangat tinggi dan gemuk sehingga tiada seorang lelaki yang mahu
menjadikannya sebagai isteri kerana dia dituduh sebagai ahli sihir. Dia diusir
dari kampungnya dan mengembara ke gurun seorang diri.

Di sana, dia berjumpa seekor gajah yang
bercakap dengan baik kepadanya dalam bahasa Zulu dan tinggal bersama dengan
gajah itu. Gadis itu melahirkan empat orang anak lelaki yang sangat tinggi dan
kuat, yang dikatakan sebagai nenek moyang ketua-ketua puak Indhlovu.

RUJUKAN:

The post Gajah Dalam Mitos Kepercayaan Agama Lain appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots