Haziq Abdullah Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Kuala Lumpur : Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, telah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, dalam kenyataan, berkata Haziq Abdullah dibebaskan pada kira-kira jam 5.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Sementara itu, peguam Haziq Abdullah, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses siasatan berkaitan video itu berlangsung.

“Beliau (Haziq Abdullah) sangat ceria serta tidak mempunyai masalah sepanjang  siasatan kes ini berjalan,” katanya kepada sumber di IPD Dang Wangi.

Ramesh berkata Haziq Abdullah tidak mahu diganggu dan belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan media.

Terdahulu, Haziq Abdullah tiba di IPD itu pada kira-kira jam 4.30 petang diringi beberapa anggota polis.

Semalam, Haziq Abdullah, 27, yang dijadual berlepas ke Manila berdasarkan tiket penerbangannya, ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli