Google Dituduh Mencuri Paparan Lirik Dari Genius

Google mula memperlihatkan lirik lagu terus pada hasil carian sejak 2016. Dengan fungsi ini pengguna tidak perlu pergi ke laman sekunder untuk mengetahui lirik sebenar lagu yang didengari oleh mereka. Tetapi kini mereka telah dituduh mencuri paparan lirik mereka dari laman Genius.com.

Menurut laporan Wall Street Journal, Genius melakukan tuduhan ini selepas melihat penggunaan koma atas dan koma terbalik yang digunakan pada laman mereka pada laman carian Google. Persamaan ditemui pada lebih 100 lirik setakat ini. Persamaan ini telah dilaporkan oleh Genius kepada Google sejak  2017

Google telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa lirik yang dipaparkan menggunakan sumber pihak ketiga dan bukannya diambil dari laman lain seperti Genius. LyricFind ialah antara sumber pihak ketiga yang digunakan oleh Google. Mereka turut mengeluarkan kenyataan bahawa kakitangan mereka tidak menggunakan Genius sebagai sumber lirik.

Genius tidak memegang hak intelek lirik dan tidak boleh menyaman Google. Tetapi paparan lirik yang didakwa dicuri terus pada laman carian Google dilihat sebagai sesuatu yang merugikan Genius kerana pengguna tidak ke laman mereka.

Sumber : Amanz