Peristiwa Kanibal Di Banjaran Andes

Pada 12 Oktober 1972, sekumpulan pemain ragbi di bawah kelab bernama Old Christian Club Rugby Team memulakan perjalanan menuju ke Santiago, Chile untuk menyertai satu perlawanan persahabatan bersama satu lagi pasukan di Chile. Terdapat 19 orang pemain ragbi, bersama dengan 21 orang sahabat rapat dan ahli keluarga pemain ragbi tersebut bersama dengan 5 orang anak kapal berlepas pada tengahari itu daripada Montevideo, Uruguay.

Perjalanan
mereka perlu melintasi negara Argentina dan banjaran Andes. Mereka menyewa
sebuah kapal terbang Twin-Turbo Fairchild FH 227 milik tentera udara Uruguay
yang mana pada awalnya, juruterbang pesawat tersebut ingin membuat satu
perjalanan secara terus ke Chile, namun akibat keadaan cuaca yang terlalu
buruk, mereka terpaksa mendarat di Mendoza International Airport dan bermalam
di sana.

Keesokkan
harinya, juruterbang tersebut membuat pelan perjalanan yang lain kerana dia
memikirkan ada 2 sebab utama yang membuatkan dia tidak mahu melintasi banjaran
Andes secara terus, iaitu yang pertama; ketinggian puncak di banjaran tersebut
mencapai pada lebih kurang 8 kilometer, dan ketinggian maksimum pesawat yang
mereka terbangkan ini adalah 8.5 kilometer sahaja, dan yang kedua; co-pilot
yang menerbangkan pesawat ini masih lagi bergelar pelatih. Jadi, kapten pesawat
ini membuat keputusan untuk mengelilingi banjaran Andes.

Pengelilingan ini mencapai jarak kumulatif sebanyak 926 kilometer dan memerlukan masa lebih kurang 90 minit untuk tiba ke destinasi mereka. Cuaca yang terlalu buruk mengaburi mata juruterbang tersebut, yang terpaksa menerbangkan pesawat berpandukan transmisi radio dan pegawai trafik udara.

Tiba di satu kawasan, juruterbang tersebut menghubungi pegawai trafik udara, mendapatkan kebenaran untuk turun ke 3.5 kilometer untuk persediaan pendaratan, namun jangkaan mereka silap kerana mereka baru dapat tahu yang pesawat tersebut masih tidak berjaya meninggalkan ruang udara banjaran Andes yang tinggi.

Tepat jam
3.21 pm waktu tempatan, pesawat tersebut terhempas, di mana fusilajnya pecah,
menghumban 7 orang penumpang keluar serta membunuh 5 orang lagi yang berada di
dalam kapal terbang termasuk kapten pesawat beserta satu-satunya doktor pasukan
mereka.

Pesawat
yang terhempas dan hilang daripada radar membuatkan pegawai trafik udara untuk
menghubungi pasukan penyelamat yang mana menjangka pesawat mereka terhempas di
kawasan berdekatan dengan banjaran Andes. Malangnya, tiada seorang pun berjaya
mencari mereka semua memandangkan keadaan cuaca yang buruk, ketinggian banjaran
tersebut serta warna badan pesawat itu yang bewarna putih, sama seperti wana
salji di sekeliling mereka.

Dalam usaha
untuk mendapatkan bantuan, mereka menulis perkataan SOS sebesar-besarnya di
atas badan kapal terbang yang sudah hancur itu menggunakan gincu yang mereka
jumpa di dalam pesawat berkenaan. Mereka juga berjaya menjumpai sebuah radio
transistor, yang hanya boleh menerima isyarat sahaja, tetapi tidak boleh
menghubungi sesiapa pun di sana. Mereka dapat mendengar usaha menyelamat yang
giat dilakukan, namun mereka hanya mampu mendengar sahaja, tidak boleh menjerit
atau meminta bantuan sesiapa pun.

Selepas
semalaman, seorang lagi daripada penumpang maut akibat cuaca yang terlalu
buruk, di samping ketiadaan bekalan makanan dan baju sejuk. Dalam hari-hari
berikutnya, mereka mengumpulkan sebanyak mana makanan yang ada dan mencatu
seberapa boleh untuk dibahagi-bahagikan bersama satu sama lain. Untuk
mengelakkan dehidrasi, mereka mencipta satu cara untuk mencairkan ais menggunakan
pacaran matahari.

Mereka jadi
terdesak untuk mencari makanan, yang mana sehingga tahap mereka terpaksa
mengoyakkan kerusi pesawat yang terhempas serta memakan span didalamnya untuk
meneruskan hidup, yang mana pada hari ke-9, salah seorang daripada mereka yang
terselamat itu maut akibat hipotermia, iaitu kesejukkan yang melampau.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, pada hari ke-10, kerajaan telah mengumumkan mengenai penamatan usaha search and rescue (S&R) memandangkan mereka langsung tidak menjumpai bangkai pesawat yang terhempas beserta usaha pencarian yang memakan belanja besar nampaknya tidak membuahkan hasil.

Pada satu
hari, iaitu hari ke -11 mereka terkandas, mereka mulai berkumpul di dalam badan
pesawat dan mula berbincang untuk memakan mayat-mayat sahabat dan ahli keluarga
mereka. Pada awalnya, ada yang tidak bersetuju memandangkan mereka semua
mempunyai pegangan agama yang kuat, dan ada larangan untuk mereka memakan
sesama manusia. Namun, setelah mengambil kira situasi yang mana satu-satunya
punca makanan yang ada hanyalah daging mayat rakan-rakan mereka, akhirnya semua
daripada mereka bersetuju.

Pada
awalnya, mereka mulai memotong bahagian tangan dan kaki, dengan potongan yang
nipis-nipis dan dijemur di atas sekeping aluminium untuk memastikan daging
tersebut betul-betul kering. Mereka mulai makan dengan sedikit, di kala sedang
kebuluran, sudah tentu apa sahaja yang diletakkan di dalam mulut mereka menjadi
sesuatu yang menyelerakan. Semakin lama, teknik memotong daging manusia mereka
ini semakin efisyen.

Jika ada api yang berjaya dihidupkan, mereka akan membakar terlebih dahulu daging tersebut sebelum makan. Jika tiada api, mereka terus menerus untuk makan daging tersebut mentah-mentah sahaja. Setelah mereka mendaptkan tenaga hasil daripada memakan daging manusia, 2 daripada mereka yang terselamat dan paling kuat iaitu Nando Parrado dan Roberto Canessa dipilih sebulat suara bagi mereka untuk mendaki dan berjalan ke arah mana-mana kawasan perkampungan yang berdekatan dengan banjaran ini.

Malangnya,
belum sempat mereka memulakan ekspedisi, kawasan tersebut dilanda avalanche
yang mengorbankan 8 orang lagi. Mereka yang tinggal di dalam badan kapal
terbang terperangkap akibat terkambus dengan salji, di mana mereka memerlukan
masa selama 3 hari untuk berjaya menggali keluar daripada kambusan salji
terbabit. Masa yang diambil agak panjang memandangkan kebanyakkan daripada
mereka tidak bertenaga dan terlalu lemah akibat kecederaan beserta kesan
kebuluran.

Tepat hari
ke-60 selepas pesawat tersebut terhempas, mereka berdua, Nando dan Roberto
memulakan perjalanan untuk mencari kawasan perkampungan bagi mendapatkan
pertolongan memandangkan dalam masa tersebut, 3 daripada mereka maut,
menjadikan jumlah mangsa yang terselamat hanyalah 16 orang sahaja. Nando dan
Roberto mengambil beberapa helai pakaian serta sampul tempat duduk di dalam
pesawat untuk membuat beg tidur (sleeping bag) kerana mereka yakin yang mereka
perlu bermalam di kawasan terbuka untuk beberapa malam yang panjang.

Setelah mereka
berdua berjalan dan hanya berhenti sebentar sahaja untuk berehat akibat cuaca
ekstrim beserta kepenatan, pada hari ke 10, mereka berjaya menemui sebatang
sungai yang menghala ke satu kawasan hutan. Mereka mulai menyusuri sungai
tersebut, yang mana mereka bernasib baik apabila terserempak dengan seorang
lelaki yang sedang menunggang kuda. Mereka berlari dan meminta pertolongan,
yang mana lelaki berkuda tersebut yang perasan dan tahu mereka adalah mangsa
daripada kapal terbang yang terhempas membaling 2 buku roti kepada mereka
seraya berteriak

“Esok! Esok
aku tolong!”

Perkataan
esok itu sebenarnya adalah kerana lelaki berkuda tersebut perlu mendapatkan
pertolongan daripada pihak berkuasa yang memakan masa sehingga satu hari
perjalanan menunggang kuda.

Keesokkan
harinya, terdapat beberapa helikopter penyelamat yang hadir untuk membawa
kesemua mangsa untuk pulang. Mereka membawa keluar separuh daripada jumlah
mangsa yang terselamat, serta meninggalkan beberapa kumpulan perubatan yang
terus mendirikan kem sementara di situ untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Genap 72
hari, kesemua daripada mereka berjaya diselamatkan. Sebaik sahaja mereka sihat
dan stabil, mereka menemui kesemua ahli keluarga terdekat mangsa-mangsa yang
mati, di mana mereka memohon maaf kerana tiada cara lain untuk mereka lakukan
kecuali memakan tubuh badan mana-mana mangsa yang terkorban. Kemaafan mereka
diterima memandangkan keadaan yang terdesak menyebabkan mereka terpaksa berbuat
sedemikian.

Kini,
daripada 16 orang yang terselamat, salah seorang daripada mereka meninggal
dunia pada tahun 2015, dan selebihnya, mereka berjumpa setiap tahun pada tarikh
22 Disember sebagai tarikh untuk memperingati peristiwa yang berlaku ini. Kisah
ini mendapat adaptasi daripada filem Hollywood bertajuk Alive, serta Nando
Parrado mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku berjudul Miracle in the
Andes.

The post Peristiwa Kanibal Di Banjaran Andes appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots