Ulasan: Oppo Reno – Siri Baru Oppo Yang Premium Yang Cuba Memikat Hati

Oppo Reno adalah siri telefon pintar baru dari Oppo yang mana kini menjadi salah satu fokus utama mereka bersama-sama dengan siri Oppo Find. Dengan kehadiran Oppo Reno ini juga, siri Oppo R ditamatkan secara rasmi. Apa yang menarik dengan siri Oppo Reno ini adalah, dalam satu siri terdapat banyak model dan kategori. Contohnya di Malaysia terdapat dua; Oppo Reno dalam berada dalam kategori kelas pertengahan premium dan Oppo Reno 10x Zoom dalam keluarga peranti mercu.

Artikel ini adalah artikel ulasan Oppo Reno, yang mana adalah peranti kelas pertengahan premium mereka. Banyak perkara positif mengenai peranti ini, namun tidak semua peranti sempurna dan perkara yang tidak sempurna ini adalah perkara yang tidak digemari ramai. Oppo Reno berada dalam kategori peranti pertengahan premium kerana harga jualannya, bahan binaannya dan juga kameranya. Adakah ianya berbaloi untuk dimiliki? Jom baca sehingga tamat dan fikir, jika ini adalah telefon pintar yang anda mahukan.

Spesifikasi

Saiz skrin peranti ini adalah 6.4″ dan panel yang digunakan adalah AMOLED on-cell. Saiz yang besar, cantik dan menawan. Menjanakan peranti ini adalah cip pemproses Snapdragon 710 dengan GPU Adreno 616. Untuk pasaran Malaysia, ia dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 256GB. Tetapan memori pada peranti ini sungguh mencukupi dan sudah cukup berkuasa. Oppo Reno tidak mempunyai sebarang slot memori kad.

Pada saya itu tidak menjadi masalah, kerana 256GB adalah satu saiz yang besar. Tambahan lagi zaman menstrim pelbagai kandungan secara atas talian dan penggunaan storan awan, 256GB lebih daripada cukup. Kamera Oppo Reno hanyalah lensa 48MP + 5MP. Seperti biasa, saiz yang kecil adalah sensor kedalaman. Kamera swafoto pula adalah sistem kamera pop-naik 16MP daripada lensa 5P.

Sistem pop-naik Oppo Reno adalah menyondong dan lain daripada yang lain, ia menggunakan rekaan seakan sirip jerung. Kapasiti bateri Oppo Reno adalah 3765mAh. Walaupun kurang dari 4000mAh, percaya atau tidak ia sangat mencukupi.

Skrin

Oppo Reno mempunyai skrin yang cantik dan memuaskan. Nisbah skrin-ke-badan Oppe Reno adalah 93.1% dan jika dipandang, ianya sungguh menawan dan menarik perhatian. Panel yang digunakan adalah AMOLED, kerana tahun ini peranti dalam kelas ini dilihat banyak menggunakan panel yang sama. Saiz skrin adalah 6.4″ dan hasil warna panel skrin ini sungguh tajam, warnanya menyerlah, butirannya memuaskan dan menonton apa jua video dalam apa jua platform penstriman adalah mengasyikkan.

Cuma, resolusi skrin peranti ini terhad kepada FHD+ sahaja. Antara kandungan yang cuba mainkan adalah melalui Netflix dan YouTube. Pengalaman menonton video pada peranti ini adalah antara yang terbaik. Perbandingan terdekat yang boleh saya bandingkan adalah Vivo V15 Pro, tetapi hasil warna yang terbaik adalah Oppo. Rekaan skrin peranti ini agak seksi, dahi dan dagu yang nipis dan secara keseluruhan ia hampir nirbingkai. Akan tetapi ia tidak cukup seksi berbanding Oppo Find X.

Skor skrin peranti ini saya berikan 8/10.

Prestasi

Pendapat saya cip Snapdragon 710 adalah pilihan yang kurang bijak. Ini kerana bayak pesaing lain yang telah menggunakan Snapdragon 712 atau Snapdragon 730. Memori 6GB RAM yang dipadankan pada peranti ini sudah mencukupi untuk melakukan pelbagai perkara termasuk multi-tugasan. Cuma selepas tiga minggu penggunaan, lengah masa mula dirasai dan rasa kurang selesa untuk digunakan. Ini perkara yang sama saya dapati pada mana-mana peranti Oppo/Realme. Jalan penyelesaian yang mudah adalah menukar pelancar atau dalam tetapan pembangun, tetapkan animasi ke 0.5x.

Bermain permua tidak ada masalah, cuma perlu ingat walaupun terdapat mod permua terbina (Game Space) – peranti ini bukan memfokuskan permainan video. Ia lebih kepada gaya hidup seperti skrin, kamera dan gaya. Kembali kepada permua, bermain PUBG Mobile dan Asphalt 9 pada awal penggunaan ia sangat lancar dan memuaskan. Kini jika bermain PUBG Mobile akan terdapat sedikit masalah grafik dan lengah masa. Isu ini saya dapati apabila terdapat banyak aplikasi dibuka dan berjalan di latar.

Selain isu yang pada saya adalah kecil, pengalaman penggunaan saya cukup baik. Untuk sekuriti, ia menggunakan pengimbas cap jari dalam skrin jenis optikal. MashaAllah, sangat perlahan. Saya mengharapkan sekurang-kurangnya ia mempunyai kepantasan seakan OnePlus 6T, namun tidak ia lebih perlahan. Ia mengingatkan saya kepada Samsung Galaxy A50, cuma sedikit lebih baik. Terdapat juga sistem imbasan wajah untuk nyahunci peranti. Tetapi ia lebih perlahan berbanding Oppo Find X.

Tanda aras pada peranti ini dilihat agak baik. Cuma bukanlah yang terbaik. Berikut saya sertakan skor dan sedikit komen.

Skor prestasi peranti ini saya berikan hanya 7/10.

Kamera

Oppo terkenal dengan peranti dengan kemampuan swafoto yang baik. Jadi pada Oppo Reno ini, Oppo masih mengekalkan kemampuan swafoto baik dengan banyak penambahbaikan. Kamera pop-naik seakan sirip jerung ini menggunakan lensa 16MP F2.0 dan hasilnya agak menakjubkan. Saya berikan Oppo Reno ini kepada gadis-gadis ketika beraya dan hasilnya sungguh menawan dan cantik. Masih mempunyai mod kecantikan yang tidak boleh dimatikan, tetapi lebih natural dan sedap mata memandang. Lihat sahaja sampel gambar di bawah ini dan anda nilaikan. Gambar mod potret swafoto turut saya sertakan dan ia masih biasa-biasa sahaja.

Click to view slideshow.

Beralih kepada kamera utama di belakang, 48MP itu adalah lensa F1.7 dan 5MP adalah F2.4 untuk kedalaman. Pada saya lensa 5MP ini masih gimik sahaja, kerana hasil gambar swafoto masih lebih kepada perisian. Hasil kameranya agak baik. Bukan yang terhebat tetapi cukup baik untuk saya gunakannya sebagai kamera Hari Raya pertama. Warna yang baik, cantik, tajam dan butiran yang mencukupi. Oppo cuba sedaya mereka untuk berikan kamera seakan peranti mercu pada peranti kelas pertengahan premium ini.

Click to view slideshow.

Lihat sampel kamera di bawah ini, cantik bukan? Cukup memuaskan dan cukup baik untuk kongsi di media sosial. Untuk mod malam pula, hasilnya kelihatan baik dan cantik. Ya benar, memang cantik. Tetapi jika anda zoom pada gambar anda akan lihat hingar yang banyak. Sedikit kecewa di situ. Tetapi sekadar untuk media sosial dan kongsi bersama yang tersayang ia sudah ‘ok’.

Click to view slideshow.

Untuk video saya yakin ramai sudah tahu jika kongsi di media sosial, lebih-lebih lagi Stories – tidak kiralah Facebook/WhatsApp/Instagram hasilnya pasti seakan 3GP atau rakaman CCTV. Untuk rakaman biasa, hasilnya biasa-biasa sahaja. Sehingga hari ini saya tidak pernah lagi jumpa peranti Oppo yang mempunyai hasil rakaman video yang terbaik.

Secara keseluruhan, skor kamera yang saya berikan adalah 7/10.

Bateri

Walaupun bateri peranti ini adalah 3675mAh, penggunaan yang ekstrem masih boleh mencapai SOT sekitar 5 Jam (kiraan manual). Manakala, penggunaan biasa seperti media sosial dan tonton video luar talian adalah sekitar 6-7 Jam SOT kiraan manual. Masa standby pula adalah sekitar 2-3 hari jika jarang menggunakannya. Agak mengejutkan yang baterinya cukup tahan, kerana saya sangkakan apabila ia sudah hampir ke peranti mercu – prestasi bateri adalah lemah. Tetapi ia di sebaliknya.

Tambahan dengan sokongan pengecasan pantas VOOC 3.0, pengalaman penggunaan peranti ini bertambah baik dan positif sahaja. VOOC 3.0 adalah berasaskan kuasa 20W yang mirip dengan Dash Charging, jadi masa pengecasan adalah sekitar 1 Jam 15 Minit sehingga 1 Jam 30 Minit. Sedikit mengecewakan yang peranti ini tidak menyokong sebarang pengecasan USB-PD dan terhad kepada pengecasan pantas tersendiri sahaja.

Skor bateri buat peranti ini adalah 9/10.

Antaramuka

Seperti mana-mana peranti Oppo/Realme, ia menjalankan ColorOS 6. ColorOS 6 kali ini banyak membawakan perubahan pada ikon dan rekaan antaramuka. Identiti ColorOS itu sendiri masih kekal dan masih lagi berat. Maksud berat di sini adalah tema, warna, rekaan yang digunakan terlampau berlebihan. Ini mungkin hanya diri saya, kerana saya gemarkan rekaan antaramuka seakan Android asli yang ringkas.

Click to view slideshow.

Ciri unik juga adalah sama pada mana-mana peranti Oppo/Realme. Mod pintar ketika memandu dan juga Google Assistant masih berada di sini. Kawalan gesturnya kurang menarik dan ciri yang cuba meniru Apple yang jelas di sini adalah Oppo Cloud. Storan awan tersendiri Oppo ini agak murah, 25GB dijual pada harga RM3.34 sebulan.

Untuk antaramuka ia terpulang kepada citarasa masing-masing. Ada yang tidak gemarkan antaramuka seakan Android asli, seperti OnePlus Oxygen OS atau pada Pixel.

Skor antaramuka adalah 6/10.

Rekaan

Peranti premium pasti hadir dengan bahan binaan premium yang mana secara tidak langsung memberikan hasil rekaan yang sangat premium. Oppo Reno menggunakan panel kaca di belakang dengan kemasan pusam. Warna Ocean Green ini unik dan lain daripada yang lain dan bukannya warna cerun yang sudah klise. Di bahagian tengah terdapat logo Oppo dan di atasnya terdapat biji kecil yang bertindak sebagai pelindung kepada lensa kamera. Kamera pula adalah rata di belakang dan dilindungi oleh keseluruhan kaca panel belakang yang diperbuat dari Gorilla Glass 5.

Click to view slideshow.

Di hadapan, skrin dilindungi oleh Gorilla Glass 6. Dagu dan dah yang nipis dan rekaan keseluruhan yang seksi. Bingkai di sisi juga kelihatan hampir lenyap kerana begitu nipis. Di atas terdapat kamera pop-naik sirip jerung yang mana di bahagian belakang turut terdapat LED flash tersembunyi. Di bahagian bawah adalah pembesar suara mono, USB-C dan juga port bicu audio 3.5mm. Syukur dan terima kasih kepada Oppo, Oppo Reno mengekalkan port bicu audio 3.5mm yang pasti membuatkan hati ramai pengguna gembira.

Di sisi kanan terdapat butang aras suara bersama-sama dengan slot kad sim dan sisi kiri pula adalah butang kuasa dengan warna yang lebih menyala. Skor untuk rekaan adalah 8/10.

Harga

Harga Oppo Reno adalah RM1,999. Harga ini agak mahal dan tidak masuk akal. Jujur saya katakan terdapat banyak lagi peranti yang lebih baik pada harga sebegini dengan spesifikasi yang lebih hebat. Harga mahal ini adalah sama dengan Vivo V15 Pro yang dijual pada harga RM1,899 untuk variasi 8GB RAM.

Jika anda memang penggemar Oppo dan Oppo Reno 10x Zoom adalah terlampau mahal, Oppo Reno adalah pilihan terbaik. Skor harga adalah 4/10.

Konklusi

Untuk menamatkan ulasan ini, persoalan utama adalah adakah Oppo Reno berbaloi untuk dimiliki? Jawapan saya tidak. Ini kerana dengan harga RM1,999 anda boleh dapatkan peranti lain yang lebih berkuasa malas masih mendapat baki. Ya, kamera cantik, skrin cantik, rekaan premium – tetapi anda semua adalah pengguna bijak. Saya tidak rasa RM1,999 ini harga yang berbaloi.

Oppo Reno adalah siri baru dari Oppo, jadi mungkin Oppo masih bereksperimen dengan siri ini dan mencari target pasaran yang sesuai di Malaysia. Mungkin apabila sudah lama dan sesuai, harga siri Reno akan lebih murah dan berbaloi untuk dimiliki.

Pro Kontra
  • Skrin AMOLED yang cantik
  • Kamera Swafoto yang menakjubkan
  • Rekaan premium yang terbaik dengan warna yang unik
  • Jangka hayat bateri yang hebat
  • Harga berpatutan
  • Hasil gambar yang banyak hingar
  • Cepat lengah masa
  • Masa pengecasan hanya 20W
  • Harga yang mahal

Sumber : Amanz