(Video) ‘Jika ingkar, denda hingga RM1,000’ – Peniaga dakwa anggota penguatkuasa minta rasuah

Viral di media sosial kini satu klip video yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai anggota penguatkuasa tempatan menerima wang suapan dari premis di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya. 

Berdasarkan klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 15 saat itu, juruwang terbabit dilihat menyerahkan wang yang dibungkus dalam plastik lutsinar kepada pegawai terbabit yang lengkap beruniform. 
“Ramai peniaga yang mengaku kepada saya mengenai perkara ini, tetapi tiada seorang pun yang mempunyai bukti sehingga ke hari ini,” kata Sean Oon, bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang ditemui di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini. 
Oon berkata, anggota terbabit yang wajahnya dapat dilihat dengan jelas dalam video tersebut, kembali semula ke premis itu dan mahu berbincang dengan pemilik restoran tersebut selepas video CCTV itu viral di media sosial. 
Insiden itu dipercayai berlaku seminggu sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri. 
Pemilik restoran tersebut diarahkan untuk membayar antara RM100 hingga RM300 bagi mengelakkan denda oleh pegawai penguatkuasa yang melakukan pemeriksaan rutin terhadap bahan-bahan promosi haram yang digantung di luar atau di dalam premis. 
“Para pegawai penguatkuasa itu datang ke premisnya sehari sebelum memaklumkan kepada pemilik perlu membayar wang jika tidak mahu dikenakan tindakan,” kata wakil rakyat Sungai Pelek, Ronnie Liu. 
Jika ingkar, peniaga terbabit akan dikenakan denda hingga RM1,000. 
“Ini kes yang serius dan ini bukan kali pertama berlaku di Selangor. Kami banyak menerima aduan dari kawasan Pandan dan Ampang,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi beberapa peniaga terlibat membuat laporan berhubung kejadian itu di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam. 
Liu berkata, hanya empat pemilik restoran yang membuat aduan kepadanya dan mereka telah membayar pegawai penguatkuasa terbabit, manakala yang lain menerima saman. 
Menurut Liu lagi, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar telah dimaklumkan mengenai video itu dan pegawai-pegawai yang terlibat. Namun MBPJ tidak mahu mengulas mengenai isu itu ketika dihubungi. 
Sumber: Asia One

Sumber : TheReporter