Selepas 47 Tahun, Bulan Bakal Terima ‘Pengunjung’ Wanita Pertama Dari Bumi

Pada tahun 1972, Kapten Eugene Cernan dari Chicago, Amerika Syarikat menjadi manusia terakhir yang menjejakkan kaki ke permukaan Bulan. Beliau ketika itu sedang mengikuti misi Apollo 17 yang mana dia bertindak sebagai komander bagi misi berkenaan.

Namun, itu bukanlah kali pertama beliau terbang ke Bulan. Ini kerana, pada tahun 1969, Kapten Cernan telah mengikuti misi Apollo 10 bersama Tom Stafford dan John Young, tetapi mereka tidak mendarat di permukaan Bulan ketika itu.

Kini, selepas lebih kurang 49 tahun, NASA akhirnya mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menghantar manusia berikutnya untuk menjejakkan kaki ke Bulan pada tahun 2024.

Kapten Eugene Carnen(Foto:NASA)

Menariknya, kali ini mereka dilaporkan mahu membawa bersama seorang wanita untuk menyertai misi yang dipanggil “Artemis” itu. Nama tersebut diambil sempena nama kembar kepada Apollo, mengikut mitos Greek.

Sesiapa sahaja astronaut yang terpilih dalam misi itu nanti bakal mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai wanita pertama yang menjejakkan kaki ke Bulan.

Untuk rekod, Valentina Tereshkova telah menjadi wanita pertama yang terbang ke angkasa di mana beliau telah mengelilingi Bumi sebanyak 48 kali menggunakan pesawat Vostok 6 pada tahun 1963.

Dalam misi itu nanti, NASA dikatakan mahu menggunakan kesempatan itu untuk mula mendirikan satu kem yang boleh menampung hidup manusia di sana sekitar tahun 2028 sebagai persediaan untuk menjalankan misi ke Marikh.

Sekiranya misi ini menjadi kenyataan, ia bakal menjadi misi angkasa yang mendalam pertama yang dijalankan pihak NASA dalam tempoh hampir 50 tahun.

Sumber: CBS News

Sumber : SiakapKeli