Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil

Amalan turun temurun masyarakat Melayu ini, bukanlah perkara baharu. Ia sudah diwariskan zaman berzaman dari ulama’ silam. Majlis sebegini sememangnya bersandarkan sunnah Nabi. Imam Sayuthi menyatakan, majlis kenduri arwah telah ada sejak zaman Salafussoleh lagi. Malangnya, terdapat segelintir pihak yang jahil, telah menghalang masyarakat daripada terus beramal. Dengan keras membentak “Bidaah! Bidaah!”, ia nyata memecahbelahkan umat.

Daripada Ma’qal Bin Yaasar
bahawasanya telah bersabda Rasulullah, “Hati Al-Quran ialah Surah Yaasin,
tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan
kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya dan bacalah surah Yaasin
kepada mereka yang hampir akan mati.” (HR Ahmad, Daud & An-Nasai)

Ulama’ mensyarahkan, bahawa
bacaan Surah Yaasin bagi yang sedang mendekati ajal akan menjadi bekal
kepadanya. Ia jua boleh dibaca kepadanya setelah meninggal dunia tak kira di
rumah atau perkuburan.

Yaasin & tahlil
dibacakan, agar pahalanya sampai kepada arwah. Sebaik jenazah dikebumikan, ia dibacakan
pada hari ke-3, ke-7, ke-20 ke-40 atau ke-100 pemergiannya. Tempoh ini
signifikan dengan perubahan yang terjadi kepada mayat di dalam kubur. Daripada malam
pertama berjumpa Munkar & Nakir, kepada membusuknya lidah, perut dan
kemaluan, kemudian mata, perut, limpa, sampai semuanya reput, hingga yang
tinggal hanyalah rangka.

Imam Sayuthi berkata,
“Sesungguhnya Imam Thawus (seorang tabiin) berkata: “Seorang yang mati akan
beroleh ujian daripada Allah dalam kuburnya selama tujuh hari. Maka mereka menggalakkan
agar mengadakan jamuan makan (sedekah) untuknya selama hari-hari tersebut.”
Sahabat Ubaid Ibnu Umair berkata: “Seorang Mukmin akan beroleh ujian selama
tujuh hari, sedangkan seorang munafiq selama 40 hari pada waktu pagi.”

Abu Hurairah pernah
mendirikan solat dengan niat pahala dihadiahkan kepada orang lain.

Daripada ini, ulama’
memutuskan:

  1. Melakukan
    ibadat untuk dihadiahkan kepada orang lain, dibenarkan.
  2. Menyebut nama
    orang yang ingin dihadiahkan amalan, dibenarkan.
  3. Mendirikan
    ibadat di masjid dengan niat beroleh berkat & ingin menghadiahkan pahala,
    dibenarkan.

Tidak aneh. Memang
pahala boleh dihadiahkan kepada orang lain. Kalau di Mekah, ramai yang
melakukan Badal Haji buat orang lain, bagi yang sudah tiada atau tidak
berupaya. Tiada yang mempersoalkan. Betapa luasnya rahmat Allah, pahala amalan
bisa dihadiahkan. Sampaikan harta yang paling bernilai bagi seorang ayah, ialah
anak yang soleh. Kenapa? Kerana anak tersebut boleh menghadiahkan pahala yang
mengalir ke kubur arwah ayahnya terus menerus.

Ashiatul-Lam’aa
berkata, “Sedekah patut diberikan di hari arwah meninggal dunia, sampailah 7
hari seterusnya.”

Rasulullah telah
menghulurkan sedekah bagi pihak pakciknya, Saidina Hamzah pada hari pengebumiannya
yang ke-7, 10 dan 40. Jua setelah 6 dan 12 bulan pemergiannya. Sunnah ini
menjadi dalil bagi bacaan Yaasin & Tahlil sebagai hadiah pahala kepada
arwah, sepertimana sedekah Nabi untuk Saidina Hamzah.

Shaami berkata, “Apa
sahaja yang boleh dibaca dari Al-Quran harus dibacakan. Begitu jua Surah
Fatiha, ayat khusus surah Baqarah, Ayat Kursi, ayat akhir Surah Baqarah, Surah
Yaasin, Mulk, Takaasir dan Al-Ikhlas. Harus dibacakan lalu mengatakan “Ya
Allah, hadiahkan pahala ini kepada orang yang aku niatkan.”

Soalnya, mengapa
dibuat setiap malam Jumaat?

Menetapkan hari
tertentu, ada hikmahnya. Malam Jumaat mempunyai keberkataannya tersendiri yang
diiktiraf oleh Imam Syafie, sebagai malam yang makbul doa. Lagipun, mengadakan
majlis ini seminggu sekali, memudahkan orang kampung untuk berkumpul dan
menetapkan jamuan bagi setiap minggu. Boleh saja nak buat hari-hari, tetapi
kita taknak membebankan orang awam.

Allah berfirman:

“Dan jangan sesekali
engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu
mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi
Tuhan mereka dengan mendapat rezeki,” (Ali ‘Imran [3:169]

Pahala bacaan kita
menjadi cahaya buat penduduk barzakh.

Imam Junaid Baghdadi
pernah berbicara dengan muridnya yang berwajah muram. Dia meluahkan, telah
melihat ibunya di dalam neraka. Mendengarkan keluhan muridnya itu, Junaid
Baghdadi membacakan tahlil sebanyak 105,000 kali, dihadiahkan kepada ibu murid
itu, agar diampunkan. Setelah itu, dia melihat kembali ke wajah muridnya.
Daripada muram bertukar gembira! “Saya melihat ibu saya di dalam syurga,”
katanya. Junaid Baghdadi lalu berkata, “Saya mengakui keaslian kasyaf lelaki
ini daripada hadis, dan kebenaran apa jua yang dikatakan hadis terhadapnya.”

Jamuan ketika kenduri
arwah juga sangat dipuji. Nabi sendiri pernah dijemput ke jamuan makan
seseorang yang meninggal dunia dan baginda mendoakan orang yang menjamu makanan
kenduri. Dengan niat untuk si mati, doa kesemua tetamu yang hadir menjadi
cahaya menerangi arwah. Ijma’ Ulama’ mengatakan pahala sedekah jamuan sampai
kepada arwah.

Selesai membaca
artikel ini, usah lekas membantah pula. Kisah benar, ada seorang tokoh yang
selalu membidaahkan yaasin & tahlil ketika awal hayatnya. Di hujung usia
baru sedar, sudah tersilap langkah. Apabila dia kembali ke rahmatullah, anaknya
menghalang orang ramai daripada membacakan zikir buat ayahnya. Rugilah si mati.

What you give, you get
back.

RUJUKAN:

  1. Ustaz
    Muhadir Haji Joll. 2014. Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya. Galeri Ilmu.
  2. Ja-Al Haq
    (Beliefs of AhleSunnah). English Translation of Ja-Alhaq, A Famous Book on
    Beliefs of AhleSunnah. Written by Hakeem Ul Ummat Mufti Ahmed Yaar Khan Naeemi
    (رحمۃ اللہ علیہ). https://www.islamieducation.com/literature/ja-al-haq-beliefs-of-ahlesunnah/
  3. Mishkaat,
    Baabul-Fitan. Baabu/-Malaahim
  4. Baabu
    Ziyaaratil-Quboor
  5. Khazaanatur-Riwaayat
  6. Anwaare-Saatia
  7. Tahzeerun-Naas
  8. Audah Ma’anu Ahadis Riyadh Ash-Shalihin
  9. Al-Hawi Li Al-Fatawa As-Suyuthi

The post Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots