Ini Antara Perkara Baru Yang Dibawa Pada iOS 13 Beta 2

Apple pada awal pagi ini telah memperkenalkan iOS 13 beta kepada para pembangun dengan sejumlah penambahbaikan berbanding versi beta asal.

Ia dilihat telah membaiki sejumlah pepijat seperti isu penurunan bateri yang mendadak, selain membaiki beberapa elemen antaramuka yang tidak konsisten. Melalui iOS 13 beta 2 juga, beberapa perkara yang tidak boleh digunakan pada beta 1 dilihat telah mula boleh digunakan pada versi beta ini.

Untuk memudahkan anda melihat apakah perkara yang dibawa pada iOS 13 beta 2, berikut antara perubahan yang telah diketengahkan pada versi beta terkini.


Kebolehan memasang iOS 13 beta melalui ‘profile – Pemasangan iOS 13 beta pada sebelum ini memerlukan anda memasang macOS Catalina Beta bersama perisian Xcode 11 beta. Perkara ini dilakukan kerana Apple mahukan pembangun sahaja yang menggunakan iOS 13 beta. Namun bermula iOS 13 beta 2, pengguna dapat memasang iOS 13 beta secara mudah dengan hanya memasang ‘profile‘ iOS beta.

Safari Share Sheet – Apabila anda membuat perkongsian laman web daripada Safari Share Sheet, anda kini boleh menyimpannya dalam bentuk Web Archive, berbanding PDF pada beta 1. Ia juga kini hadir dengan pilihan ‘Automatic’ yang membolehkan aplikasi memilih antara dua pilihan ini (PDF & Web Archive) secara sendiri.

Splash Screen baru pada Maps – Apabila anda membuka aplikasi Maps buat kali pertama, anda akan disajikan dengan paparan ‘splash screen‘ baru. Paparan ini akan menyatakan perubahan yang dibawa seperti kebolehan Look Around, Collections, dan Siri Suggestions.

High-Key Mono Portrait Lighting – Apple telah mengumumkan fungsi Portrait Lighting baru ketika WWDC 2019, namun ia tidak ditawarkan pada beta 1. Pada beta 2, ia kini telah sedia diuji pada peranti iPhone 2018 seperti iPhone XS, iPhone XS Max, dan iPhone XR.

Portrait Mode Lighting Slider – Fungsi ini tidak ditawarkan beta 1, namun kini telah pun ditawarkan pada beta 2. Fungsi ini membolehkan pengguna mengawal kekuatan cahaya untuk gambar yang diambil melalui Portrait Mode.

Sticker Animoji baru – Apple telah menyertakan 4 sticker Animoji baru dengan rekaan gaya yang berbeza. Untuk makluman, Apple telah membenarkan kesemua iPhone dengan iOS 13 – termasuk iPhone SE dan iPhone 6S dan ke atas – untuk menggunakan fungsi Animoji Stickers.

Downtime pada Apple Watch – Kemaskini iOS 13 beta 2 kini dapat menyelarikan informasi Downtime daripada fungsi Screen Time kepada Apple Watch secara automatik.

Penyambungan kepada SMB Server – Salah satu perkara yang bakal dibawa pada iOS 13 adalah kebolehan untuk menyambungkan ke pelayan SMB melalui Files. Fungsi ini telah dimatikan pada iOS 13 beta 1, namun kini anda boleh menggunakannya pada iOS beta 2. Melalui fungsi ini, anda boleh menghubungkannya ke NAS untuk melihat fail yang disimpan secara nirwayar.

Sokongan storan APFS – Storan yang diformat dengan APFS kini boleh digunakan pada aplikasi Files. Perkara ini sejajar dengan pengumuman Apple yang menyertakan sokongan storan luaran untuk digunakan pada peranti iOS 13.

Perubahan pada kawalan Voice Control – Apabila fungsi Voice Control diaktifkan, iOS akan memaparkan ikon mikrofon berwarna biru pada bahagian atas, untuk memberitahu anda bahawa fungsi ini sedang aktif digunakan.

CarPlay – Apabila anda menyambungkan iPhone dengan iOS 13 beta 2 pada headunit Apple CarPlay, paparan Now Playing akan memaparkan album art ketika muzik sedang dimainkan.


iOS 13 masih sedang diuji pada peringkat developer beta, jadi ia tidak disarankan untuk pengguna biasa mengujinya terlebih dahulu. Ia masih mempunyai pepijat yang mungkin akan menghalang anda untuk menggunakan fungsi-fungsi tertentu. Namun sekiranya anda ingin tetap mengujinya, anda boleh menunggu iOS 13 versi beta umum yang mana akan ditawarkan pada bulan Julai ini.

Sumber : Amanz