Feri Penumpang Karam Di Pulau Jawa, 15 Penumpang Maut

Sebuah feri penumpang dilaporkan telah karam di Pulau Jawa dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 penumpang maut. Ia adalah tragedi maritim yang terbaru terjadi di Indonesia.

Menurut jurucakap polis, Frans Barung Mangera, feri berkenaan membawa seramai lebih 50 orang penumpang, melebihi had yang dibenarkan semasa belayar sebelum karam berhampiran dengan Pulau Madura, Jawa Timur semalam.

Ketika kejadian berlaku, keadaan laut dikatakan bergelora. Selepas hampir sehari menjalankan operasi mencari dan menyelamat, pasukan penyelamat telah berjaya menemui 15 mayat. Manakala 31 mangsa lagi dilaporkan terselamat.

Pasukan itu masih lagi meneruskan usaha untuk mencari sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang yang masih hilang. Bagaimanapun, kemungkinan besar lebih ramai lagi mangsa yang masih belum ditemui, namun tidak direkodkan secara rasmi sebagai penumpang.

Tragedi bot dan feri karam bukanlah perkara yang jarang berlaku di negara tersebut. Untuk rekod, pada tahun lalu, lebih 160 orang terkorban selepas sebuah feri karam di Danau Toba, Sumatera.

Sumber: Mediacorp

Sumber : SiakapKeli