China Ialah Negara Dengan Jumlah Adikomputer Tertinggi Di Dunia

Pembangunan dua adikomputer dengan kelajuan exaflop telah diumumkan oleh Amerika Syarikat. Jepun turut mengikuti jejak langkah yang sama tiga minggu lalu. Pasti ramai merasakan ini adalah petanda Amerika Syarikat adalah negara dengan jumlah adi komputer tertinggi dua. Jangkaan ini salah kerana takhta ini dipegang oleh China.

 Di Persidangan Adikomputer Antarabangsa (ISC) yang berlangsung di Frankfurt, senarai 500 adikomputer paling berkuasa dunia telah diterbitkan. China di tangga pertama dengan 219 adikomputer diikuti oleh Amerika Syarikat (116), Jepun (29), Perancis (19) dan United Kingdom (18). Menarik di sini ialah jiran kita Singapura berada di tangga ke-10 dengan 5 adikomputer.

Kejutan sekali lagi dapat dilihat kerana Lenovo ialah pengeluar adikomputer terbesar di dunia dengan 173 diikuti oleh Inspur (71), Sugon (63), HPE (40)dan Cray Inc (39). HPE baru sahaja mengumumkan pembelian Cray Inc bulan lalu dan sekaligus bakal menjadikannya mereka antara kuasa besar dunia adikomputer.

Walaupun Amerika Syarikat bukan negara dengan jumlah adikomputer tertinggi, mereka masih boleh berbangga kerana lima dari sepuluh adikomputer terpantas dunia adalah milik mereka. Ketika artikel ditulis, IBM Summit yang terletak di makmal ORNL adalah adikomputer terpantas dengan kelajuan 200 petaFLOPS.

Sumber : Amanz