Cemburu melampau, suami tikam isteri sampai mati

Mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dipercayai menjadi punca sang suami bertindak menikam isteri itu dengan sebilah pisau di sebuah rumah kongsi pekerja di Jalan Teluk Likas, di Kota Kinabalu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang berumur 61 tahun maut selepas ditikam sebanyak dua kali di belakang badannya oleh suaminya yang berumur 59 tahun.
Katanya pihak polis menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira jam 2.49 pagi dan sebaik sampai di tempat kejadian pihak polis menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dan dalam keadaan tidak sedar di dalam rumah berkenaan.
Selepas menikam isterinya, lelaki itu telah menikam dirinya sendiri dipercayai untuk membunuh diri namun berjaya digagalkan oleh pihak polis dan berjaya ditahan, katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya lelaki itu juga turut bertindak membakar rumah kongsi berkenaan namun berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Bernama

Sumber : TheReporter