Kucing Mati Dibiarkan Sehingga Mereput Atas Lantai, Tindakan Pusat Jagaan Kucing Ini Dikecam Netizen

Bagi pencinta kucing, si bulu telah dianggap seperti ahli keluarga sendiri dan disayangi sama seperti seorang manusia. Namun, ada kalanya sebahagian daripada terpaksa berpisah buat sementara waktu atau selama-lamanya.

Jadi, bagi mengelakkan kucing-kucing ini dibuang dan terbiar di jalanan, beberapa pihak telah mengambil inisiatif untuk membangunkan pusat penjagaan kucing untuk menjadi tempat tinggal baru bagi kucing-kucing tersebut.

Selain memelihara kucing terbiar, pusat penjagaan kucing ini juga menjadi tempat pemilik meninggalkan kucing buat sementara waktu apabila ingin pergi melancong dan sebagainya.

Akan tetapi, apakah perasaan anda sebagai pencinta kucing apabila mendapat tahu pihak yang kita harapkan untuk memelihara mereka sebenarnya mengabaikan mereka?

Inilah yang berlaku pada sebuah pusat penjagaan di Sabah apabila didakwa mengabaikan kucing-kucing yang dipelihara mereka. Menurut satu kiriman yang dimuatnaik Jessica Liong dalam grup ‘BORNEO CATLOVER COMMUNITY’, kucing-kucing miliknya yang dihantar ke pusat jagaan itu tidak dijaga dengan baik sehingga mereka mati.

Foto: Jessica Liong/BORNEO CATLOVER COMMUNITY

Melihat kepada gambar-gambar yang dikongsikan dalam kiriman beliau, ada beberapa ekor kucing yang kelihatan seperti sudah mati untuk tempoh yang lama. Paling teruk, bangkai seekor kucing dibiarkan di lantai sehingga mereput.

Foto: Jessica Liong/BORNEO CATLOVER COMMUNITY
Foto: Jessica Liong/BORNEO CATLOVER COMMUNITY
Foto: Jessica Liong/BORNEO CATLOVER COMMUNITY

Menurut Jessica lagi, pemilik pusat penjagaan itu dikatakan pernah membuat beberapa kenyataan palsu antaranya ialah mendakwa menghidapi barah tahap 3, pusat penjagaan terjejas akibat banjir, dihalau dari tanah pusat penjagaan serta kucing-kucing telah dipindahkan kerana pusat penjagaan rosak akibat hujan lebat.

Perkongsian yang dibuat itu jelas membuatkan netizen marah dan rata-rata mereka mahukan tindakan tegas diambil terhadap pemilik pusat penjagaan terbabit.

Satu laporan polis kepada pemilik pusat penjagaan berkenaan dilaporkan telah dibuat namun status terkini mengenai suspek tidak didedahkan.

Sumber: BORNEO CATLOVER COMMUNITY

Sumber : SiakapKeli