Teknologi ‘Deep Fake’ Boleh Palsukan Imej Dan Video Klip, Ini Cara Untuk Kesan

Kebanjiran teknologi terhadap dunia masa kini sudah pastinya memberi pelbagai faedah dan kemudahan kepada golongan pengguna. Perkara ini kerana teknologi sememangnya diciptakan bagi memudahkan urusan harian seperti berhubung, menghantar maklumat dan juga urusan-urusan kerja yang lain. Namun, sebalik kemudahan tersebut, terdapat bahaya dan risiko yang perlu dihadapi oleh pengguna menerusi kemajuan teknologi yang ada pada masa kini. Salah satunya adalah pemalsuan rupa di dalam imej dan juga video yang semakin menjadi-jadi pada zaman ini. Berikutan perkara itu, pelbagai kontrovesi telah wujud dan bukan hanya berlaku di negara Malaysia sahaja, namun turut meliputi negara-negara luar.

Teknologi pemalsuan rupa ini dikenali sebagai Deep Fake iaitu merupakan gabungan daripada istilah deep learning dan fake. Deep learning merupakan sebuah jaringan data yang terhubung di dalam sebuah peranti yang memprosesnya manakala deepfake merupakan sesuatu pemalsuan rupa yang digunakan di dalam imej dan rakaman yang kurang jelas.

Teknologi deepfake ini telah diciptakan oleh seorang pakar, Ian Goodfellow yang menjadi perhatian Google dan Apple untuk mendapatkan khidmatnya. Ciptaannya ini dinamakan sebagai Generative Adversarial Networks (GANs) dan berkebolehan untuk menjana imej sendiri dengan bantuan data-data imej yang lain. Selain itu, GANs juga berkebolehan untuk menterjemah imej ke bentuk teks, ramal rupa menerusi jantina dan membayangkan objek dalam bentuk tiga dimensi.

Menerusi ceramah TED yang disampaikan oleh Supasor Suwajanakorn, beliau telah menerangkan mengenai betapa mudahnya deep fake ini dibuat daripada foto, audio dan juga klip video. Kaedah deep fake ini dibuat dengan memalsukan wajah dengan menggunakan AI iaitu melalui teknologi GANs.

AI digunakan untuk menganalisis rakaman sebenar manusia dan kemudiannya wajahnya ditindih pada video palsu sehingga menghasilkan imej atau klip video yang sangat realistik. Bagi menghasilkan audio atau suara yang seakan sama, pelaku hanya perlu meletakkan transkrip teks atau menukarkan perkataan yang disebutkan di dalam video melalui perisian yang dimuatnaik dalam peranti masing-masing.

Walaupun begitu, pemalsuan ini dapat dikesan menggunakan kaedah  soft biometric iaitu dengan mengesan kesan wajah manusia sebenar dengan wajah yang dipalsukan. Berikut merupakan kesan-kesan yang boleh dikenalpasti mengenai imej yang telah dipalsukan.

Melalui imej ini, pemalsuan wajah dapat dikenali menerusi proses suntingan yang tidak diproses dengan sepenuhnya dengan baik. Ianya jelas kelihatan menerusi misai lelaki berkenaan yang tidak lengkap.

Gambar: Whichfaceisreal.com

Imej yang terjejas dengan warna-warna seperti di dalam gambar ini juga merupakan imej yang telah dipalsukan. Perkara ini adalah kerana kesan biasan daripada warna latar belakang sesuatu gambar itu.

Gambar: Whichfaceisreal.com

Kebiasaannya, imej yang dipalsukan akan kelihatan kesan titisan air yang boleh mencacatkan sesuatu imej.

Gambar: Whichfaceisreal.com

Menerusi beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mengesan Deep fake, ianya akan dapat membantu kita untuk menganalisis sendiri imej-imej mahupun klip video yang telah tular dan juga yang akan menjadi tular pada masa akan datang. Oleh itu, pengguna akan lebih berwaspada untuk membuat spekulasi mengenai sesuatu imej dan rakaman yang tular.

Sumber: TED

Sumber : SiakapKeli