90% Kes Kanser Kulit Berpunca Dari Cahaya Matahari, Kulit Cerah Lebih Berisiko – KKM

Mempunyai kulit yang cerah dan licin merupakan impian bagi setiap orang. Perkara ini adalah kerana dengan mempunyai kulit dengan ciri-ciri tersebut dapat menambah keyakinan seseorang untuk berhadapan dengan khalayak. Namun begitu, mempunyai kulit yang cerah juga boleh mendatangkan keburukan kepada seseorang, merujuk kepada satu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Menerusi perkongsian yang dibuat melalui laman Twitter rasmi mereka, penyebab utama kanser kulit adalah berpunca daripada cahaya matahari.

Menurut KKM, kanser kulit boleh berlaku pada semua jenis tona kulit dan kulit cerah lebih berisiko. Perkara ini adalah kerana kanser kulit adalah disebabkan oleh mutasi pada DNA sel kulit yang terdedah kepada sinaran ultraungu (UV).

Menurut fakta yang telah dikumpul, 90% kes kanser kulit adalah berpunca oleh matahari dan 10% selebihnya mungkin disebabkan oleh pendedahan radiasi dan bahan kimia. Bahan kimia yang dimaksudkan ialah melalui produk-produk kecantikan yang digunakan.

Peratus tertinggi kanser kulit yang boleh ditemui pada seorang lelaki ialah pada bahagian badan iaitu sebanyak 41 peratus manakala bagi perempuan pula ialah pada bahagian kaki iaitu 40 peratus.

Walau bagaimanapun, kanser kulit boleh sembuh sekiranya pesakit mendapatkan rawatan pada tahap awal.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kesihatan kulit dan tidak membiarkan kulit terus menerima cahaya matahari tanpa sebarang perlindungan.

Sumber: KKMPutrajaya

Sumber : SiakapKeli