Gempa Bumi Di China: Operasi Menyelamat Diteruskan, Angka Korban Meningkat Kepada 13 Orang

CHENGDU, 19 Jun (Bernama) — Tiga belas orang maut manakala hampir 200 orang cedera setakat pukul 4 petang Selasa selepas gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda Wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China pada Isnin malam, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Gempa bumi itu melanda Changning County di Yibin City pada pukul 10.55 malam Isnin (waktu Beijing).

Pusat gempa, dengan kedalaman 16 kilometer, dipantau di 28.34 darjah utara dan 104.90 darjah timur, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi (CENC).

Sembilan orang maut di Changning manakala empat lagi di Gongxian County, kata Li Tinggen, ketua setiausaha perbandaran kerajaan Yibin, dalam satu sidang akhbar.

Setakat petang Selasa, hampir 200 orang cedera dengan enam daripada mereka kritika manakala 16 cedera parah.

Pada kira-kira pukul 6.30 petang, seorang mangsa yang cedera parah telah diangkut oleh helikopter ke hospital rakyat Wilayah Sichuan untuk rawatan lanjut.

Nie Taimin, timbalan pengarah biro perbandaran pengurusan kecemasan, berkata jumlah mangsa yang cedera telah meningkat memandangkan keadaan di sesetengah kawasan terpencil dengan keadaan komunikasi buruk yang dikemas kini pada waktu siang.

Gempa itu menjejaskan lebih 140,000 orang dan memusnahkan lebih 12,700 rumah. Sejumlah 8,447 penduduk telah dipindahkan dari kawasan yang terjejas setakat ini.

Statistik menunjukkan lebih 3,000 orang menyertai kerja-kerja menyelamat.

Kementerian Pengurusan Kecemasan telah mengaktifkan satu respons kecemasan dan menghantar satu pasukan kerja ke kawasan terjejas untuk membantu memberikan bimbingan dalam penyelamatan dan bantuan bencana.

Kementerian dan Pentadbiran Rizab Strategik dan Makanan Negara telah menghantar sejumlah 5,000 khemah, 10,000 tilam lipat dan 20,000 selimut ke kawasan yang dilanda gempa bumi.

Sumber: Bernama

Sumber : SiakapKeli