Cari Nahas, Pemuda Curi Lembu Maut Dibelasah Penduduk Kampung

Seorang pencuri lembu mati dipukul orang ramai manakala rakan jenayahnya pula menyerah diri selepas kegiatan mereka disedari masyarakat setempat.

Menurut Ketua Polus Lampung Selatan, AKBP M. Syarhan, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 45 dan 37 tahun telah menceroboh kawasan rumah mangsa mereka pada jam 1 pagi, Rabu 19 Jun.

Suspek pertama yang hanya dikenali sebagai Mat telah masuk ke kandang lembu yang terletak di belakang rumah mangsa manakala rakannya, Sarjun menunggu di pintu bagi memerhati keadaan sekeliling.

Pada pagi itu, mereka dikatakan telah berjaya melarikan empat ekor lembu milik mangsa untuk disimpan di kediaman Mat yang terletak di kampung berhampiran.

Bagaimanapun, setelah hanya bergerak beberapa kilometer, kegiatan mereka berdua telah disedari orang ramai yang bertindak mengejar mereka.

Bagi mengelak ditahan, mereka bertindak berpecah dan melarikan diri serta kesemua lembu yang dicuri ditinggalkan. Akan tetapi, Mat telah berjaya ditangkap orang ramai dan dipukul sehingga mati.

Mendapat tahu keadaan yang menimpa rakannya, Sarjun mengambil keputusan untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

AKBP M. Syarhan berkata, pihaknya agak kecewa dengan tindakan orang ramai yang mengambil keputusan sendiri untuk menghukum suspek dan mereka sepatutnya menyerahkan suspek kepada pihak polis.

Keluarga suspek yang meninggal dunia redha dengan kejadian ini dan menganggap ia adalah ujian yang ditimpa kepada mereka.

Sumber: Tribun News

Sumber : SiakapKeli