UMS Cipta Sejarah Tersenarai 1,000 Uniersiti Terbaik Dunia

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia.

Menerusi penarafan QS World University Rankings 2020 yang diumumkan hari ini, UMS disenaraikan pada kedudukan 801.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata pencapaian itu adalah kejayaan terbaik dan amat membanggakan apatah lagi ia dicapai semasa ulang tahun ke-25 UMS.

UMS ditubuhkan pada Nov 1994 dan universiti berkenaan akan menyambut Jubli Perak pada tahun ini.

“Ini adalah hasil kerja keras, dedikasi dan ketabahan semua warga universiti khususnya dalam kalangan staf akademik. Ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk merealisasikan visi UMS iaitu menjadi sebuah universiti berinovatif bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

D Kamarudin berkata kejayaan itu juga sekali gus memotivasi dan memberi inspirasi kepada semua warga UMS untuk terus melonjakkan kejayaan dan pencapaian universiti pada masa akan datang.

“Kita akan terus berusaha untuk membangun dan memajukan UMS, antara lain ke arah peningkatan kecemerlangan global, dengan merujuk kepada Pelan Strategik Universiti. Tugas ini memerlukan komitmen dan usaha berpasukan dari semua warga UMS, dan setiap sumbangan adalah penting,” katanya.

QS World University Rankings 2020 dinilai berdasarkan indikator (kriteria) tertentu iaitu Reputasi Akademik (40 peratus), Reputasi Majikan (10 peratus), Nisbah Staf Akademik-Pelajar (20 peratus), Jumlah Sitasi per Staf Akademik (20 peratus), Bilangan Staf Akademik Antarabangsa (lima peratus) dan Bilangan Pelajar Antarabangsa (lima peratus).

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli