Lima Tahun Selepas Insiden MH17 Ditembak, Identiti Empat Suspek Utama Akhirnya Didedahkan

Pada tanggal 17 Julai 2014 yang lalu, rakyat Malaysia dan dunia telah digemparkan dengan berita pesawat milik Malaysia Airlines, MH17 terhempas semasa berada di kawasan sekitar timur Ukraine.

Lebih mengejutkan, pesawat itu dipercayai telah ditembak dengan peluaru berpandu dan beberapa penyiasat antarabangsa terus bertindak untuk menyiasat kejadian itu dengan lebih mendalam.

Kini, selepas hampir lima tahun kejadian itu berlaku, pasukan penyiasat yang diketuai oleh kerajaan Belanda ini akhirnya telah mendedahkan empat nama suspek utama iaitu – Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko. 

Foto: Washington Post

Tiga suspek pertama(Girkin, Dubinskiy, Pulatov) adalah warganegara Rusia manakala Kharchenko pula mempunyai kewarganegaraan Ukraine. Malah, Dubinskiy juga didakwa adalah seorang pegawai kanan tentera Rusia dan Girkin serta Pulatov juga pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan Rusia.

Menurut siasatan yang telah dijalankan, pesawat malang itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu anti-pesawat BUK.

Serangan itu telah mengakibatkan semua penumpang pesawat terkorban yang merangkumi 193 rakyat Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 rakyat Australia, 12 rakyat Indonesia, 10 penumpang Britain dan seorang warga New Zealand.

Beberapa hari sebelum ini, Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal pernah berkata, seorang pegawai tentera kanan Russia dikatakan terbabit dan akan didedahkan.

Tambahnya lagi, dakwaan juga akan dikenakan kepada mereka di mana mahkamah Belanda akan mula menilai kes berkenaan. Beliau berkata, adalah mustahil untuk senjata seperti sistem peluru berpandu BUK dipindahkan tanpa kebenaran dari pegawai tertinggi.

Pasukan penyiasat juga dikatakan telah bertemu dengan keluarga mangsa sebelum mengadakan sidang media tersebut. Sidang media itu masih berjalan ketika artikel ini ditulis.

Berita lanjut akan menyusul.

Sumber: Washington Post, The Guardian

Sumber : SiakapKeli