Kenapa Ramai Mangsa Kebakaran Ditemui Dalam Bilik Air Dan Kenapa Ia Bukan Tempat Selamat Ketika Kebakaran?

Penemuan mangsa kebakaran di dalam bilik air merupakan perkara yang sering terjadi. Adakah ianya disebabkan mangsa tidak mampu membuat keputusan yang rasional ketika dalam situasi tertekan, atau terdapat faktor lain yang menyebabkan mangsa maut di lokasi tersebut?

Bagi memahami perkara ini, kami telah menemubual Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Tuan Mohamad Razi bin Abdul Mutalib.

Menurutnya, antara faktor menyebabkan situasi tersebut berlaku ialah kerana kurang pengetahuan tentang prosedur menghadapi kebakaran ketika di rumah serta salah faham tentang tempat selamat ketika kebakaran.

2 beranak rentung pada pagi tadi di Klang akibat terperangkap dalam bilik air di rumah mereka. (Gambar: BERNAMA)

Sejujurnya, jika anda berada di dalam situasi tersebut, adakah anda terfikir untuk lari berlindung ke dalam bilik air? Pasti ramai yang berfikir bahawa bilik air merupakan tempat yang agak selamat untuk berlindung sementara menanti bantuan tiba. Air sinonim sebagai pemadam kebakaran. Sekurang-kurangnya apabila kita berada di dalam bilik air, pasti kita dapat memadamkan api yang cuba mendekati, kan?

Namun tahukah anda, bilik air bukanlah tempat yang selamat untuk berlindung ketika kebakaran, bahkan mungkin menjadi antara lokasi sangat bahaya yang boleh meragut nyawa anda.

“Ramai yang tidak sedar, tempat yang ada air ini apabila berlaku kebakaran, ia akan menjadi lebih panas berbanding suhu kebakaran biasa itu sendiri. Sebab, apabila berlaku kebakaran di bilik air, suhu panas, jadi air yang ada akan tersejat menjadi wap, membuatkan suhu sekeliling bertambah panas.”

“Selain itu, bilik air kebiasaannya mempunyai hanya satu pintu. Jadi jika kita masuk dan berlaku kebakaran di hadapan pintu bilik air, bagaimana kita nak keluar? Tingkap pula tiada. Yang ada pun berjeriji.

“Jadi, sebab itulah mangsa boleh terperangkap di dalam bilik air,” kata Razi.

Selain dari api yang membakar, asap tebal dan haba yang boleh mencapai 1000 darjah celsius juga boleh mengancam nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran.

Seorang wanita maut ‘direbus’ apabila cuba menyelamatkan diri dari kebakaran dengan masuk ke dalam tong berisi air di Kalimantan. (Gambar: INFO Update)

Oleh itu, jika berlaku kebakaran, apa langkah utama kita perlu ambil?

  1. Keluar bangunan, pergi ke tempat lapang. Selagi kita berada di dalam bangunan, kita belum selamat.
  2. Kalau tak jumpa jalan keluar, cari ruang terbuka berhampiran seperti tingkap untuk mendapatkan perhatian orang luar bagi supaya mereka boleh maklumkan kepada pihak bomba bahawa masih ada mangsa terperangkap di dalam bangunan.
  3. Jika bangunan tinggi, turun gunakan tangga. Lif menggunakan sistem homing di mana ia akan turun ke tingkat yang sudah ditentukan dan tidak lagi berfungsi untuk mengambil orang.

Sediakan pelan keselamatan ketika kebakaran

Bukan sahaja di pejabat, kita sepatutnya sudah merancang lebih awal apakah langkah-langkah yang perlu kita lakukan ketika berlaku kebakaran di dalam rumah. Jika kebakaran bermula di dapur, ke mana patut kita tuju dan jika kebakaran bermula di ruang hadapan, ke mana kita perlu pergi?

Gambar hiasan. (Imej: AZ Locksmith)

Letak kunci di tempat mudah dilihat dan dicapai

Kes mangsa terperangkap di dalam ruangan berjeriji bukanlah satu perkara yang asing. Oleh itu, letakkan kunci di tempat khusus yang mudah dilihat dan dicapai kerana apabila kita sedang cuak, kita tiada masa untuk mengingati di mana kita letakkan kunci rumah tersebut.

Terus keluar

Usahakan untuk terus keluar dari bangunan. Ketika kebakaran, laluan untuk keluar bangunan seperti koridor dan tangga merupakan tempat yang agak selamat sebagai perlindungan sementara. Ruangan tersebut mempunyai pintu rintangan api yang berfungsi untuk melambatkan tersebarnya api supaya anda mempunyai masa yang cukup untuk melarikan diri. Walaupun begitu, ia bukan untuk anda terus berlindung di situ kerana selagi anda berada di dalam bangunan, anda belum selamat sepenuhnya.

Sediakan pemadam api mudah alih

Sebaiknya, beli pemadam api jenis ABC kerana ia boleh memadamkan pelbagai jenis kebakaran samada berpunca dari cecair, kayu atau barangan elektronik.

Mengikut Akta Jalan, Parit Dan Bangunan (Akta 133), semua bangunan seragam di seluruh negeri Selangor sepatutnya memiliki pemadam api mudah alih dalam setiap rumah. Anda juga boleh sediakan pemadam api mudah alih atas inisiatif sendiri untuk rumah dan kenderaan anda sebagai persediaan menghadapi situasi genting yang boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita jangka.

Sumber: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor

Sumber : SiakapKeli