(Gambar) Tular Remaja Dakwa Ditembak Polis, Ibu Nafi Anaknya Terlibat Aktiviti Jenayah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Alor Setar- Seorang pembonceng motosikal cedera parah di lengan didakwa ditembak oleh polis trafik hanya kerana melanggar lampu isyarat merah.

Muhd Aliff Anuar, 21 yang merupakan tukang paip ketika itu dalam perjalanan bersama rakannya dari Kuala Kedah ke tempat kerja mereka di Langgar.

Mereka mendakwa dikejar polis akibat melanggar lampu isyarat merah dan diberi arahan untuk berhenti di bahu jalan. Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49 ketika dihubungi berkata, anaknya meminta rakannya untuk berhenti, tetapi kerana tiada lesen, rakannya takut untuk memberhentikan motosikal mereka.

“Kawan dia bawa, anak makcik duduk di belakang. Dia suruh kawan dia berhenti tepi tapi kawan dia dalam keadaan takut, tak berhenti,” katanya ketika dihubungi.

“Makcik sedih sangat-sangat. Makcik cuma nak keadilan untuk anak makcik.

“Pukul 10 lebih, kawan dia telefon makcik beritahu anak makcik kemalangan. Nak dijadikan cerita, hari ini anak makcik pergi kerja tak bawa kad pengenalan, dia tertinggal di rumah.

“Kawannya telefon minta makcik bawa IC anak ke hospital.

“Makcik pergi ke hospital dengan pakcik dalam keadaan terkejut. Apabila tanya di kaunter hospital, mereka kata anak makcik kena tembak.

“Makcik sedih sangat-sangat tapi alhamdulillah anak makcik masa kena tembak tu dia boleh cakap, dia tak pengsan.

Hashimah mendakwa anaknya dilarang polis tersebut untuk pergi ke hospital, sebaliknya pergi mendapatkan rawatan di klinik sahaja dan dilarang memberitahu bahawa polis yang menembaknya.

Katanya, anaknya bukan penjenayah. Pemeriksaan keatas beg mereka hanya menemui salinan baju kerja.

“Dalam beg kerja dia cuma ada sehelai baju kerja dan topi, bukan ada senjata apa pun.”

Hashimah meluahkan kesedihannya atas tindakan polis tersebut seolah-olah anaknya melakukan jenayah besar.

“Anak saya kini berada di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, akibat cedera parah dan doktor memaklumkan bahawa pembedahan untuk mengeluarkan sebutir peluru di bahagian tangan anak saya akan dijalankan malam ini.

Menurut laporan BERNAMA, ibunya memaklumkan mangsa ditinggalkan anggota polis tersebut dalam keadaan berlumuran darah tanpa membantu menghubungi ambulans.

“Saya mahu tuntut keadilan, kerana anak saya mungkin akan mengalami cacat seumur hidup,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim dalam suatu kenyataan pada malam ini berkata,

“Berkemungkinan tembakan yang dilepaskan adalah untuk tujuan memberhentikan motosikal berkenaan, namun tindakan itu adalah tidak wajar dan bertentangan dengan PTKPN.

“Sekiranya tindakan anggota polis itu bertentangan dengan undang-undang, ia membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pasukan polis,” katanya lagi.

Difahamkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu, esok.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Sumber : SiakapKeli