Betul Ke Nasi Putih Lagi Bahaya Berbanding Minuman Manis? Ini Buktinya

Tipulah kalau sehari tak makan nasi, sebagai rakyat Malaysia pasti kita tidak terlepas daripada memakan makanan ruji itu walaupun sekali dalam sehari. Mungkin ini rutin wajib untuk rakyat di negara ini. Tapi ada juga yang mencabar diri mereka untuk tidak makan nasi lebih dari seminggu, sebulan bahkan setahun.

Tahukah anda? Nasi putih lebih tinggi gulanya berbanding minuman bergula yang menyebabkan kencing manis. Jadi, betul ke kalau makan nasi putih lagi bahaya dari minuman bergula ? Mari kita baca penjelasan lanjut daripada Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segara yang mudah diserap oleh tubuh. Manakala nasi juga adalah sumber karbohidrat yang mengandungi gula secara semulajdi sama seperti mee, roti, pasta dan ubi. Sama seperti gula semulajadi pada buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.

1 gram karbohidrat bersamaan dengan 4 kcal tenaga. Jadi, pengambilan karbohidrat berlebihan akan menyebabkan pengambilan kalori berlebihan. Kalori berlebihan yang tidak digunakan akan menyebabkan peningkatan berat badan seterusnya menjurus kepada berat badan berlebihan dan obesiti. Perlu diingat, makanan yang kita makan akan bertukar kepada gula (karbohidrat ringkas) dalam badan kita.

Banyak kajian juga menunjukkan perkaitan antara obesiti dan diabetes ini. Tapi tidak bermakna individu yang tak mempunyai masalah berat badan tidak berisiko untuk mendapat diabetes. Kekerapan pengambilan nasi dan makanan & minuman manis bergula secara berlebihan juga boleh mengundang risiko diabetes.

Jika seseorang individu tidak mengambil minuman bergula tetapi mengambil nasi putih secara berlebihan dan kerap juga boleh berisiko mendapat diabetes. Amalan pemakanan sihat dengan mengambil makanan yang seimbang, sederhana dan pelbagai juga kekal aktif setiap hari amat penting dalam mengekalkan tahap kesihatan anda.

Mungkin sesetengah masyarakat sahaja yang menggunakan istilah sukusukuseparuh yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengambilan buah dan sayur rendah Glycemic Index (GI) akan membantu mentastabilkan penyerapan gula dalam darah.

Selain itu, pengambilan makanan dan minuman manis juga perlu dihadkan. Penting untuk mengawal porsi dan kuantiti makanan yang diambil supaya pengambilan kalori adalah mengikut seperti yang disarankan mengikut Panduan Diet Malaysia.

Secara kesimpulannya, bukanlah nasi atau gula yang perlu disalahkan tetapi cara kita mengambil makanan seimbang dan mengawal kualiti makanan yang diambil itu. Jadi, sama-sama kita mengawal pengambilan kalori supaya dapat mengelakkan dari obesiti dan diabetes.

Sumber : Bahagian Pemakanan KKM

Sumber : SiakapKeli