Sejarah Hidup Dr Mohammed Morsi

Beberapa
hari lepas, dunia dikejutkan dengan pemergian bekas presiden Mesir, Allahyarham
Dr Mohammed Morsi. Beliau meninggal dunia semasa sedang menghadapi perbicaraan
semula berkenaan tuduhan pengintipan yang dihadapinya. Hasil pemeriksaan pakar
perubatan mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung. Dan ini
sudah mencetuskan keributan bukan saja dalam kalangan penyokong dan sekutu
Ikhwanul Muslimin (IM) tetapi juga pertubuhan hak asasi manusia berkenaan
keadaan beliau sebelum ini. Sebelum kita berbicara tentang itu, mari kita
selusuri latar belakang beliau.

Allahyarham
merupakan anak jati Al-Idwah, Mesir dan dilahirkan pada 20 Ogos 1951. Merupakan
anak sulung daripada lima adik-beradik, beliau datang dari keluarga petani yang
miskin. Masih segar dalam ingatannya apabila beliau dibawa ke sekolah dengan
menaiki keldai milik bapanya. Situasi ini yang mendorongnya belajar
bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib dirinya dan keluarga. Pada lewat 60-an,
Allahyarham berpindah ke Kaherah dan melanjutkan pelajaran di Universiti
Kaherah di mana pada tahun 1975, beliau berjaya mendapat ijazah dalam bidang
kejuruteraan dengan kepujian. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat bersama
tentera Mesir selama setahun (1975-1976) dalam unit perang kimia.

Selepas
menamatkan khidmat ketenteraan, Allahyarham kembali ke Universiti Kaherah dan
berjaya meraih Masters of Science dalam bidang kejuruteraan metalurgi pada
1978. Berikutan pencapaian cemerlangnya itu, kerajaan Mesir memberi biasiswa
bagi membolehkannya menyambung pengajian di Amerika Syarikat pada tahun 80-an.
Pada tahun yang sama, beliau melangsungkan perkahwinan dengan sepupunya yang
berumur 17 tahun ketika itu, Naglaa Mahmoud dan pasangan ini dikurniakan lima
cahaya mata. Semasa ditemubual dalam satu program, Allahyarham menganggap
perkahwinannya dengan Naglaa merupakan pencapaian terbesar dan terbaik dalam
hidupnya.

Pada
tahun 1982, Allahyarham menamatkan pengajian di University of Southern
California dengan gelaran PhD menerusi tesis ‘High-Temperature Electrical
Conductivity and Defect Structure of Donor-Doped Al2O3’. Dari 1982 hingga 1985,
beliau bekerja di California State University, Northridge dan turut menyumbang
input kepada pembangunan enjin kapal angkasa NASA pada awal tahun 80-an
berikutan kepakarannya dalam bidang kejuruteraan metalurgi. Pada tahun 1985,
beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai profesor di Universiti
Zagazig. Beliau juga berkhidmat sebagai ketua fakulti kejuruteraan di situ dan
terus berbakti sebagai pensyarah hingga 2010.

Jika
ada yang menyangka Allahyarham hanya bergiat dalam bidang politik selepas
revolusi 2011, anda salah. Beliau sebenarnya pernah menjadi ahli parlimen dari
tahun 2000 hingga 2005 sebagai calon bebas memandangkan organisasi yang diwakilinya
ketika itu, IM masih lagi diharamkan oleh kerajaan Hosni Mubarak. Adakalanya,
beliau mendapat pujian kerana kemahiran pengucapan awamnya yang mengesankan.
Misalnya pada tahun 2002, beliau menggunakan parlimen Mesir sebagai pentas
mengecam ketidakcekapan Kaherah mengendalikan kemalangan keretapi yang berlaku
pada tahun berkenaan.

Selepas
kerajaan Mubarak disingkirkan pada tahun 2011 dalam satu revolusi yang menjadi
sebahagian daripada gelombang Arab Spring, satu pilihan raya baru dan
demokratik diadakan bagi memilih presiden baru pasca-Mubarak. Tidak ramai tahu
Allahyarham sebenarnya calon sandaran dan calon utama IM untuk pilihan raya itu
ialah seorang jutawan bernama Khairat al-Shater. Tetapi al-Shater terpaksa
menarik diri berikutan rekod mendapati beliau pernah dipenjarakan semasa era
Mubarak. Justeru, nama Allahyarham dipilih sebagai pengganti dan beliau
berhadapan dengan 13 calon termasuk bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik,
bekas Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa dan bekas figura utama IM, Dr Abdel
Moneim Aboul Fatouh. Di sebalik semua ini, beliau berjaya memenangi pilihan
raya presiden dengan majoriti 51.73% berbanding Shafik yang hanya mendapat
48.27%.

Selepas
dilantik sebagai presiden, Allahyarham berjanji menjadi pemimpin kepada semua
warga Mesir tanpa mengira agama, bangsa atau umur dan menghormati perlembagaan
negara itu. Beliau juga berjanji partinya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP)
tidak melakukan apa-apa yang dilihat mengancam hak warga Mesir dari umat Islam
hinggalah orang Kristian Koptik. Justeru, ramai berharap polisi yang
diperkenalkan kerajaan teknokrat pimpinannya dan Perdana Menteri ketika itu,
Hesham Qandil dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat termasuk
isu tenaga dan bebanan subsidi makanan yang menekan kantung kewangan Mesir.

Tetapi
sejak itu, populariti yang dinikmati Allahyarham, FJP dan IM mula merosot.
Selalunya, sebarang perubahan yang dibuat terutama soal politik, ekonomi dan
sosial haruslah bersifat perlahan-lahan ibarat menarik rambut dalam tepung dan
bukan bersifat drastik. Ini kerana sebarang perubahan yang muncul pasti akan
mengundang tentangan dari pihak-pihak yang berkepentingan dan silap haribulan,
sokongan yang dinikmati juga akan hilang. Dan ini pengajaran pahit yang muncul
daripada polisi-polisi yang diperkenalkan sepanjang setahun pemerintahan beliau
sebelum disingkirkan dalam satu rampasan kuasa yang digerakkan bakal presiden,
Jeneral Abdel Fattah el-Sisi pada tahun 2013.

Sepanjang
setahun itu menyaksikan pelbagai konflik tercetus antara beliau dengan ramai
pihak di Mesir. Pihak tentera misalnya berbulu bila Allahyarham meminta
panglima tentera Mesir, Hussein Tantawi dan ketua staf tentera, Sami Hafez Anan
meletak jawatan di mana kedua-duanya kemudian dilantik sebagai penasihat beliau.
Langkah tersebut dikatakan cubaan kerajaan beliau mendapatkan semula kuasa dari
Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Selain itu, pihak tentera juga berang
dengan tindakan Allahyarham yang hadir dan berucap di satu perhimpunan pada 15
Jun 2012 yang seolah-olah membenarkan rakyat Mesir berangkat ke Syria untuk
berjuang membebaskan negara itu dari kawalan rejim Bashar al-Assad. Ini
sekaligus bertentangan dengan pendirian SCAF bahawa mereka hanya akan
mengangkat senjata untuk melindungi sempadan negara itu dari ancaman asing
termasuk kumpulan pengganas. Pilihan ini juga yang mendorong pihak tentera
memilih menyokong kumpulan anti-Allahyarham semasa protes Jun 2013.

Selain
amukan pihak tentera, kerajaan Allahyarham juga kehilangan sokongan para hakim
dan parti-parti utama Mesir lain berkenaan isu pendrafan perlembagaan baru.
Pada November 2012, beliau mengumumkan dekri melindungi hasil kerja
jawatankuasa pendrafan perlembagaan baru yang dianggotai oleh parti-parti utama
Mesir termasuk FJP dari campur tangan badan kehakiman. Dekri ini juga turut
memberi kuasa kepada beliau mengambil apa saja langkah yang dilihat bersesuaian
untuk melindungi revolusi. Dekri ini mendapat kritikan keras institusi
kehakiman, parti-parti politik dan figura politik seperti bekas ketua Agensi
Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei. Selain itu, tindakan
jawatankuasa yang didominasi oleh FJP meneruskan usaha mendraf perlembagaan
tanpa penyertaan parti-parti politik lain dilihat memungkiri janji awal
Allahyarham bahawa partinya tidak akan mengenakan nilai-nilai parti terhadap
warga Mesir. Dua tindakan ini membakar amarah warga Mesir yang anti-FJP dan
membawa kepada rampasan kuasa 2013.

Isu
ekonomi juga merupakan satu isu yang tidak seharusnya dipandang enteng. Semasa
setahun berkuasa, Allahyarham memilih mengekalkan sistem subsidi sedia ada
walaupun sedar ia menjejaskan kantung kewangan Mesir. Ini kerana tanpa sokongan
rakyat yang bergantung kepada sistem berkenaan, kerajaan pimpinannya boleh
tumbang. Dan sepanjang lipatan sejarah negara itu, tiada satu presiden pun yang
berani melaksanakan reformasi sistem subsidi kerana bimbang dengan kesan
politik yang datang termasuk Mubarak. Buktinya, subsidi minyak dan gas sahaja
membentuk 6.3% KDNK Mesir, kurang 0.2% berbanding Arab Saudi (6.5%). Sementara
subsidi makanan dan elektrik dicampur dengan subsidi sebelumnya akan membentuk
11% KDNK dan memakan lebih suku daripada perbelanjaan kerajaan pada tahun 2014.
Reformasi subsidi hanya mula digerakkan semasa era pemerintahan pengganti Allahyarham,
el-Sisi. Selain itu, Kaherah juga cuba menarik pelaburan ekonomi baru melalui
rancangan pembangunan hub pembangunan dan ekonomi di Terusan Suez. Walaupun
projek tersebut tidak dapat direalisasikan semasa era pemerintahannya, el-Sisi
meneruskan projek berkenaan pada tahun 2014 selepas disemak semula dan berjaya
disiapkan pada tahun 2015.

Di
sebalik semua ini, Allahyarham tetap komited pada isu-isu kemanusiaan termasuk
isu kemanusiaan rakyat Palestin. Walaupun beliau menyatakan akan menghormati semua
perjanjian yang dimeterai antara Tel Aviv dengan Kaherah, itu tidak
menghalangnya mengecam operasi ganas rejim yang dikenali sebagai Operasi
Tonggak Pertahanan (Operation Pillar of Defence) pada November 2012 dan
menggesa gencatan senjata antara kedua-dua pihak diadakan. Dan ini dicapai
melalui kerjasama Kaherah dan Amerika Syarikat. Dan tidak seperti Mubarak dan
el-Sisi, kerajaan Allahyarham tidak melihat Hamas sebagai musuh dan turut
menghantar Qandil ke Gaza sebagai tanda solidariti kedua-dua negara. Malah
selepas perlantikannya sebagai presiden, beliau turut membenarkan 100,000
pelarian Syria berlindung di Mesir dan mendapat pelbagai bantuan diperlukan.

Namun,
semua ini berakhir pada Jun dan Julai 2013. Punca-punca yang dinyatakan
sebelumnya telah mengakibatkan ramai pihak hilang kepercayaan terhadap beliau
termasuk pihak tentera dan kabinet pentadbirannya sendiri. Pada 3 Julai 2013,
Allahyarham disingkirkan dalam satu rampasan kuasa diketuai el-Sisi dan
digantikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour. Tetapi
kesahihan rejim baru ini tercalar berikutan pelbagai insiden ganas yang
tercetus antara pihak berkuasa dengan penunjuk perasaan termasuk penyokong IM.
Banyak insiden berlaku termasuk pembunuhan 51 penyokong IM semasa melakukan protes
di ibu pejabat Pengawal Republikan pada Julai 2013 dan pembunuhan beramai-ramai
di Rabaa pada Ogos 2013. Insiden-insiden ini bukan saja mengakibatkan darurat
dan perintah berkurung dikuatkuasakan selama sebulan pada tahun berkenaan
tetapi juga menconteng arang pada imej el-Sisi selama-lamanya.

Selepas
disingkirkan, Allahyarham bersama ramai pemimpin IM berhadapan dengan pelbagai
tuduhan yang bermotifkan politik dendam dari tuduhan pengintipan hinggalah
pembunuhan penunjuk perasaan di hadapan istana presiden. Jika didapati bersalah
dalam banyak tuduhan, beliau berhadapan prospek hukuman mati. Tetapi ini
mengundang kritikan antarabangsa di mana kebanyakan tuduhan tersebut bersifat
serkap jarang dan prosiding mahkamah hanyalah samaran untuk mensahihkan
tindakan keras kerajaan ke atas IM dan para penyokong mereka. Selepas menerima
tekanan antarabangsa, barulah hukuman mati yang dikenakan ke atas Allahyarham
ditarik balik pada tahun 2016. Mahkamah sama turut mengumumkan semua hukuman
yang dikenakan seperti penjara seumur hidup (kes pengintipan) dan hukuman mati
(lari dari penjara) akan disemak semula dan jika perlu, keperluan mengadakan
perbicaraan semula.

Kamar
mahkamah merupakan satu-satunya tempat bagi dunia luar melihat kelibatnya. Jika
beliau di kandang tertuduh, peluang itu digunakan untuk mengecam mahkamah dan
pihak tentera sebagai cubaan mensahihkan rampasan kuasa yang digerakkan. Tidak
ramai tahu, beliau dipenjarakan dalam sel perseorangan 23 jam sehari dan hanya
dibenarkan meluangkan masa sejam di luar. Selain itu, keluarganya menyuarakan
kebimbangan berkenaan keadaan kesihatan Allahyarham kerana beliau menghidap
banyak penyakit seperti tekanan darah tinggi dan diabetis. Beliau juga
dinafikan hak mendapatkan rawatan doktor, bertemu dengan pasukan guaman dan
hanya berkesempatan menemui keluarga sebanyak tiga kali.

Keadaan
penahanan yang menyedihkan ini didedahkan oleh Panel Semakan Penahanan, satu
panel terdiri daripada penggubal undang-undang Britain dan peguam-peguam kanan.
Panel tersebut termasuk Ahli Parlimen Reigate (Parti Konservatif), Crispin
Blunt, Ahli Parlimen Stockton Selatan (Parti Buruh), Paul Williams dan peguam
terkenal, Lord Edward Faulks. Selepas mengambil kira testimoni semua termasuk
keluarga dan sumber sahih berkenaan keadaan kesihatan Allahyarham, mereka
menyimpulkan penahanan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh
dianggap sebagai satu bentuk seksaan. Oleh sebab itu, apabila berita kematian
Allahyarham tersebar, salah seorang anggota panel iaitu Blunt berkata, “Kami
bimbang jika Dr Morsi tidak diberi rawatan perubatan segera, kerosakan pada
kesihatannya bersifat kekal dan boleh membawa maut. Dan sedihnya di sini,
pandangan kami akhirnya menjadi kenyataan.” Tidak diketahui di mana lokasi
sebenar jenazah dan lokasi pengebumian beliau berikutan keengganan kerajaan el-Sisi
membenarkan jenazahnya dikebumikan di Sharqiya.

RUJUKAN:

1.
BBC. (2019). Egypt’s ousted president Mohammed Morsi dies during trial. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-48668941

2.
BBC. (2019). Mohammed Morsi: A turbulent presidency cut short by the army. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-18371427

3.
Michaelson, Ruth. (2019). Mohamed Morsi, ousted president of Egypt, dies in
court. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2019/jun/17/mohamed-morsi-dead-ousted-president-egypt-collapses-after-court-session

4.
Mostyn, Trevor. (2019). Mohamed Morsi obituary. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2019/jun/17/mohamed-morsi-obituary

The post Sejarah Hidup Dr Mohammed Morsi appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots