Cortana Pada Windows 10 Dijangka Akan Dikemaskini Dengan Antaramuka Baru

Cortana merupakan fungsi pembantu maya yang membolehkan pengguna memberi arahan dan mendapatkan maklum balas secara pantas. Ia telah diperkenalkan pada Windows 10 sejak tahun 2015, dan kini ia bakal menerima kemaskini baru dengan rekaan yang lebih moden.

Paparan Cortana baru ini diperlihatkan oleh seorang pengguna di Twitter, @Albacore, dengan berkongsi beberapa kepingan tangkapan skrin Windows 10 binaan terkini. Ia kelihatan seumpama pembantu maya utama yang lain, dengan menyajikan paparan berbentuk bualan antara Cortana dan pengguna.

Seperti Cortana sebelum ini, anda boleh bertanya melalui arahan suara atau menaipnya pada ruangan di bawah fungsi ini. Untuk memudahkan anda memberi arahan baru, anda juga boleh mengaktifkan ‘clear conversation history‘ untuk memadam kesemua bualan terdahulu.

Fungsi ini telah hadir pada sistem operasi percubaan Windows 10 dengan binaan 18922. Dengan perletakkan fungsi ini pada versi percubaan, ia dijangka akan hadir pada versi Windows 10 akan datang apabila ia mencapai versi stabil.

Sumber : Amanz