Risau Anak Rosak Barang Tuan Rumah, PDRM Kongsi Lima Tips Bawa Anak Kecil Beraya

Keindahan bulan syawal ini pastinya lebih indah diserikan dengan amalan kunjung mengunjung serta penganjuran rumah terbuka bagi merapatkan silaturahim sesama manusia.

Di samping dapat merapatkan silaturahim, amalan kunjung mengunjung serta penganjuran rumah terbuka ini juga banyak memberi kesan yang positif.

Antaranya ialah, dapat meluangkan masa bersama keluarga, dapat bertemu dengan sahabat handai yang telah lama tidak berjumpa dan banyak lagi.

Walaupun begitu, harus diingatkan bahawa setiap kunjungan anda sebagai tetamu di rumah orang lain, perlulah menjaga adab ketika berkunjung ke rumah tetamu. Sama ada adab pada diri anda sendiri mahupun keluarga.

Ini kerana, sejak kebelakangan ini banyak kes-kes yang telah tular di media sosial membabitkan anak-anak kecil yang datang beraya di rumah orang, namun menimbulkan masalah yang besar. Antara kes yang tular membabitkan kes tersebut adalah membunuh haiwan peliharaan tuan rumah, memecahkan cermin kereta tuan rumah, merosakkan tv tuan rumah dan sebagainya.

Akibat kelalaian ibu bapa yang terlepas pandang akan kelakuan anak mereka bermain ketika berkunjung di rumah orang, ianya boleh mendatangkan masalah kepada ibu bapa mereka sendiri serta tuan rumah tersebut. Secara tidak langsung, hal itu boleh menyebabkan ibu bapa kepada anak-anak mereka dipandang serong oleh orang sekeliling terutamanya tuan rumah tersebut.

Justeru, untuk mengelakkan perkara-perkara sebegini daripada berlaku kepada anda, ikuti perkongsian yang dikongsi oleh PDRM berkenaan dengan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kelakuan anak-anak kecil terkawal semasa beraya di rumah orang.

LIMA PERKARA YANG PERLU DIAMBIL PERHATIAN JIKA MEMBAWA ANAK KECIL BERHARI RAYA

Meskipun sudah masuk hari ke-16 kita menyambut bulan Syawal, masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini yang mengadakan amalan rumah terbuka bagi meraikan rakan, sanak saudara dan jiran tetangga.

Namun niat murni tuan rumah untuk mengeratkan silaturahim bertukar penyesalan apabila kanak-kanak ‘buas’ yang dibawa bersama oleh tetamu dewasa, tidak dipantau sehinggakan berlaku kematian haiwan peliharaan atau kerosakan harta benda.

Justeru itu, ibu bapa atau penjaga perlulah memainkan peranan dalam mengawasi tingkah laku anak-anak yang masih kecil, terutama apabila berkunjung ke rumah atau majlis keraian.

Di sini kami kongsikan lima perkara yang perlu diambil perhatian oleh para ibu bapa:

1. Berpesan kepada anak-anak supaya menjaga kelakuan sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah.

2. Sentiasa awasi tingkah laku mereka ketika bermain. Ibu bapa perlu memberi nasihat dan tunjuk ajar tentang perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan di rumah orang lain.

3. Sekiranya anda melihat anak-anak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, terus menegur dengan tegas dan bukan membiarkan mereka.

4. Ajar anak-anak untuk mengucapkan terima kasih di atas hidangan makanan dan menerima anda sekeluarga sebagai tetamu. Jangan sesekali membiarkan mereka merungut atau meminta sesuatu yang tidak disediakan oleh tuan rumah.

5. Jika berlaku kerosakan yang disebabkan oleh anak-anak, sebagai penjaga, anda perlu bertanggungjawab. Bersemuka dengan tuan rumah dan berbincang secara berhemah bagi menyelesaikan masalah tersebut. Jangan semudahnya membuat muka tidak bersalah dan beredar dari majlis.

Pesan admin, jika anda sememangnya mengetahui kelakuan anak lebih aktif daripada biasa, lebih baik tidak menghadiri jemputan yang diterima. Melainkan tuan rumah tidak mempunyai halangan dan memahami situasi anda.

Sumber: FB PDRM

Sumber : SiakapKeli