‘Tsundoku’ Budaya Aneh Orang Jepun, Suka Beli Buku Tapi Tak Dibaca

Kita sering diwar-warkan dengan dakwaan orang ramai pada hari ini semakin kurang membaca buku. Namun, hakikatnya dakwaan itu kurang tepat kerana masih ramai lagi yang gemar membeli buku.

Ya, baca betul-betul, ‘membeli’ buku. Cuba tanya individu yang suka membaca di sekililing anda, atau diri anda sendiri jika anda gemar membaca. Berapa agaknya naskah buku yang dimiliki tetapi masih belum dibaca sehingga hari ini?

Gambar Hiasan(Foto: NAWT)

Jangan risau, bukan anda seorang sahaja yang melakukan sedemikian. Ia terjadi di seluruh dunia. Malah, perbuatan ini telah diiktiraf sebagai sebuah budaya di Jepun dan dikenali sebagai ‘tsundoku’. Gelaran ini juga bukanlah baru dicipta, ia telah digunakan sejak abad ke-19 lagi.

Tsundoku hadir dari gabungan perkataan bahasa Jepun iaitu ‘tsun’ dan ‘doku’. Tsun membawa maksud ‘untuk mengumpul’ manakala doku pula sering digunakan untuk memberi maksud kata kerja ‘membaca’.

Profesor Andrew Gerstle dari Universiti London berkata, fasa ‘tsundoku sensei’ sebenarnya sudah wujud dalam dunia penulisan sejak tahun 1879 lagi menurut penulis Jepun, Mori Senzo.

Beliau berpendapat fasa itu membawa makna berkaitan seorang guru yang mempunyai banyak buku tetapi tidak dibaca. Bagaimanapun, ia bukanlah digunakan untuk tujuan memerli sesiapa.

Berbeza Dengan Bibliomania

Mungkin ada di antara anda yang berpendapat bahawa ia mempunyai maksud yang hampir sama dengan ‘bibliomania’. Akan tetapi, pada hakikatnya ia membawa maksud yang berbeza.

Tsundoku lebih kepada keinginan untuk membaca buku tetapi tidak membacanya manakala bibliomania pula membawa maksud keinginan dan kemahuan untuk memiliki buku, menurut Kamus Oxford.

Jadi, anda yang mana satu? Tsundoku atau bibliomania, atau bukan kedua-duanya? Kongsikan bersama kami di ruangan komen.

Sumber: BBC, Treehugger

Sumber : SiakapKeli