Pekerja Wanita Dipecat Hanya Kerana Balas Mesej Bos Guna Emoji

Seorang pekerja wanita di sebuah bar di Hunan, China telah dibuang kerja hanya kerana membalas mesej majikannya menggunakan emoji ‘OK’, menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Pengurus bar berkenaan telah tag pekerja berkenaan semasa menghantar mesej di grup WeChat pada minggu lepas dan meminta wanita berkenaan menghantar dokumen mesyuarat kepadanya. Dia kemudiannya membalas dengan emoji ‘OK’.

Pengurus tersebut tiba-tiba naik berang dan membalas, “Kamu patut menggunakan teks untuk membalas mesej yang diterima. Kamu tahu atau tidak peraturannya?”.

Beberapa minit selepas itu, pengurus tersebut meminta wanita itu untuk menghubungi bahagian pengurusan manusia dan menguruskan urusan perletakan jawatannya.

Emoji ‘OK'(Foto: Emojipedia)

“Ini adalah kejadian sebenar dan perletakan jawatan saya kini masih diproses,” kata wanita tersebut. “Saya telah bekerja bertahun lamanya dan ini kali pertama saya berdepan situasi tidak masuk akal sebegini”, tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, rakan-rakan sekerjanya juga bersetuju bahawa tindakan pengurus tersebut agak melampaui batas.

Tangkapan skrin mengenai perbualan yang dimaksudkan dalam kejadian itu telah menjadi tular dan telah ditonton oleh lebih 280 juta pengguna di laman blog popular China, Weibo.

Wanita itu telah menerima sokongan ramai pengguna di sana, di mana kebanyakan daripada mereka berpendapat perkara itu terlalu remeh untuk menjadi punca pemecatan beliau.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini berlaku. Menurut laporan akhbar Chongqing Chen Bo, seorang pekerja telah dimarahi oleh majikan selepas membalas ‘Um’ yang bermaksud ‘terima’ pada mesej dari majikannya dan dikatakan sebagai kurang berdisiplin.

Sumber: SCMP

Sumber : SiakapKeli