“Iran Buat Kesilapan Besar”, Respon Trump Selepas Insiden Dron Ditembak Jatuh

Krisis yang berlaku di antara Iran dan Amerika Syarikat(AS) nampaknya kian meruncing. Pada minggu lepas, kerajaan AS telah menuduh Iran bertanggungjawab dalam serangan dua kapal tangki minyak di Perairan Oman.

Terbaru, pasukan keselamatan Iran didakwa telah menembak jatuh dron milik tentera AS pada Khamis, 20 Jun. Menurut Amerika, dron tersebut ditembak ketika berada di ruang udara antarabangsa oleh misil milik Iran.

Foto: BBC

Bagaimanapun, kerajaan Iran pula memberitahu bahawa dron jenis RQ-4 Global Hawk itu telah menceroboh masuk dalam ruang udara mereka di wilayah pantai selatan Hormozgan.

Sehubungan dengan itu, Presiden Amerika, Donald Trump dilihat telah memberi respon terhadap kejadian itu dengan mengatakan Iran telah melakukan kesilapan besar melalui akaun Twitter-nya.

Kejadian ini jelas mendapat perhatian serius daripada Presiden Amerika berkenaan selepas pasukan keselamatan Iran sebelum ini memberitahu bahawa insiden ini adalah satu ‘mesej yang jelas kepada mereka’.

Pada awal minggu lalu, Amerika dilaporkan telah menghantar seramai 1000 anggota tentera tambahan ke kawasan yang berisiko sebagai tindak balas terhadap tindakan yang diambil pasukan ketenteraan Iran.

Hubungan di antara Iran dan Amerika Syarikat menjadi semakin tegang bermula dari tahun lepas apabila kerajaan AS di bawah pimpinan Trump telah menarik diri daripada perjanjian nuklear yang telah ditandatangani Iran bersama kuasa besar lain pada 2015.

Dengan kejadian serangan kapal tangki dan insiden tembak jatuh dron oleh kerajaan Iran ini, nampaknya hubungan antara kedua-dua negara ini boleh dikatakan sebagai ‘retak menanti belah’.

Sumber: BBC, Al Jazeera 

Sumber : SiakapKeli