Dikaitkan Dengan Keganasan, Ulama Aceh Sepakat Haramkan Permainan PUBG

Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh secara sebulat suara telah mengharamkan permainan Player Unknown’s Battle Grounds (PUBG) dan permainan seangkatan dengannya.

Fatwa yang dipersetujui oleh semua 47 ulama anggota MPU tersebut diputuskan setelah mengkaji beberapa faktor yang menyebabkan permainan tersebut diharamkan mengikut fiqh Islam.

Menurut Wakil Ketua MPU Aceh, Teungku Faisal Ali, antara faktor tersebut ialah permainan tersebut dikatakan dapat meningkatkan semangat keganasan anak-anak dan mereka yang bermain game tersebut.

Selain itu, Faisal juga menyatakan permainan itu dapat memberi pengaruh negatif terhadap perilaku seseorang.

Fatwa tersebut dikeluarkan setelah berakhirnya persidangan ulama 2019 dengan tema ‘Hukum dan Kesan Game PUBG dan sejenisnya mengikut fiqh Islam, Informasi Teknologi dan Psikologi’ yang diadakan pada 17 hingga 19 Jun baru-baru ini.

Kebaikan dan keburukan permainan video

Ramai yang berpendapat bahawa aktiviti permainan video mempunyai kebaikan tersendiri. Seorang pengarang sains dan ahli teori media, Steven Johnson berpendapat bahawa tahap kompleksiti permainan video mampu meningkatkan kecerdasan pemainnya melalui proses penyelesaian masalah secara berulang kali.

Namun, hal ini berbeza bagi permainan berunsur keganasan. Walaupun ia turut membantu skil penyelesaian masalah dan koordinasi pemain, ia turut mendatangkan kesan negatif kepada pemainnya.

Bagi mengkaji kesan permainan berunsur ganas ke atas pembentukan sikap pemainnya, Ann-Christin, Gerda dan Birgit (2016) telah membuat kajian ke atas 167 belia berdasarkan Skala Psikopati Levenson yang menilai dari 2 faktor iaitu;

  1. Defisit interpersonal-afektif (sifat memanipulasi, pentingkan diri, tiada emosi dan empati terhadap orang lain)
  2. Disinhibition (tindakan impulsif dan penilaian risiko yang lemah)

Mereka mendapati pemain game berunsur keganasan mengalami defisit afektif interpersonal berbanding mereka yang tidak bermain game tersebut. Selain itu, kedua-dua pemain yang pernah atau masih bermain game tersebut menunjukkan unsur disinhibition yang signifikan berbanding mereka yang tidak bermain game tersebut.

Gambar hiasan

Selain itu, dalam artikel oleh Psychology Today, mereka menyimpulkan bahawa permainan video berunsur keganasan mempengaruhi minda pemain dengan mengaitkan keganasan dengan kepuasan hati.

Ganjaran diberikan apabila memburu dan membunuh pemain lain. Konsep ini dikatakan melanggar sensitiviti moral di mana emosi manusia direka untuk membenci keganasan dan merasa dihargai untuk membantu orang lain.

Sementara itu, kanak-kanak pula mempraktis simulasi keganasan permainan video secara beratus kali (jika bukan beribu kali) seperti membakar manusia hidup-hidup di dalam Postal2.

Hal ini merisaukan kerana kanak-kanak dan remaja lebih terdedah kepada pembentukan sikap yang negatif kerana minda mereka masih dalam proses perkembangan sehingga usia pertengahan 20-an.

Bukan sahaja ahli agama, golongan akademik juga menyarankan pengharaman penjualan permainan video berunsur keganasan kepada kanak-kanak.

Sumber: DetikNews, Psychology Today

Sumber : SiakapKeli